Tuesday, March 30, 2010

PABILA IMAN BERTAKHTA DI JIWA

Dalam perjalanan pulang ke Madinah dari Peperangan Tabuk yang bersejarah itu, Rasulullah s.a.w. dikunjungi oleh 'Urwah bin Mas'ud ath-Thaqafiy, seorang ketua yang amat disegani, dihormati, dikasihi dan ditaati oleh kaumnya, Thaqif.

Ketika pertemuan itu, 'Urwah bin Mas'ud ath-Thaqafiy mengisytiharkan memeluk Islam. Lantas beliau meminta untuk pulang menemui kaumnya, menyeru mereka kepada Islam, agama yang baru saja dianutinya.

Rasulullah s.a.w. yang bimbang dia akan disakiti kaumnya bersabda: “Mungkin mereka akan membunuhmu!”

Ini kerana baginda mengetahui Thaqif adalah satu kaum yang degil, kasar dan kurang beradab walaupun dengan pembesar mereka sendiri.

'Urwah bin Mas'ud yang tahu kedudukannya di sisi kaumnya berkata dengan yakinnya: “Ya Rasulullah! Aku lebih dikasihi mereka daripada anak dara mereka sendiri”.

Kembalilah ‘Urwah ke Thaqif untuk menyeru kaumnya kepada Islam. Hatinya penuh mengharap mereka tidak akan membantah disaebabkan kedudukannya yang sangat mulia di sisi mereka.

Setiba di desanya, dia mencari tempat paling tinggi, lalu diseru sekelian penduduk Thaqif agar berkumpul dengan segera. Mendengar seruan seorang ketua yang disegani, penduduk Thaqif tidak berlengah. Mereka segera berkumpul, menanti penuh debar, apa yang akan diperkatakan.

Dia menyeru mereka agar memeluk Islam dan menyatakan bahawa dia telah melakukannya sambil mengucap syahadatain berulang-ulang di hadapan mereka semua.

Ucapan yang tidak diduga itu disambut dengan suara riuh rendah membantah keras tindakan meninggalkan agama nenek moyang dan tuhan-tuhan yang disembah zaman berzaman. Mereka tidak dapat mengawal diri lantas bertindak ganas membaling busur-busur panah kepadanya dari semua arah sehingga dia tumbang dalam keadaan menggelupur kesakitan.

Anak-anak suadaranya meluru mendapatkannya yang sedang bertarung dengan maut.
Dalam keadaan cemas mereka berkata: “Wahai Urwah! Apa katamu tentang darahmu ini?” Maksudnya adakah engkau mahu kami menuntut bela di atas kematianmu dan membunuh mereka yang telah membunuhmu!

Dengan tercungap-ngucap dia menjawab: “Ini adalah karamah (kemuliaan) yang Allah beri kepadaku, syahadah (mati syahid) yang Allah datangkan kepadaku. Maka tidak ada apa-apa keperluan untuk menuntut bela di atas darahku sebagaimana mereka yang syahid di medan perang bersama Rasulullah s.a.w. Maka jangan kamu bunuh seorangpun kerana membela kematianku. Dan jangan balas dendam ke atas sesiapapun keranaku.”

Apabila Nabi s.a.w. mengetahui kematiannya, baginda bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya perumpamaan ‘Urwah dengan kaumnya adalah sama dengan lelaki di dalam Surah Ya Sin dengan kaumnya” (lihat ayat 20 – 27)

Pengajaran:
Orang sanjungi kita tidak bermakna kita baik
Orang musuhi kita tidak bermakna kita jahat.

No comments: