Friday, July 02, 2010

Hadapi kezaliman dengan tabah, pertahankan hak dengan berani!

Seorang penulis Mesir yang terkenal, Ahmad Amin menukilkan satu kisah benar yang berlaku di sebuah kampung di Mesir pada awal kurun ke 20 di dalam bukunya “Qamus al-‘Adat wa at-Taqalid al-Misriyyah” yang diterbitkan oleh Dar asy-Syuruq di Beirut.

Begini kisahnya:

Seorang pekerja di sebuah ladang (al-Fallah) tiba-tiba mendapat rezeki melimpah ruah. Dia membeli sebuah perahu besar yang dikenali di kampungnya dengan nama zahabiyyah. Kemudian dia memakai pakaian yang cantik, mahal serta mewah. Dia duduk di atas perahunya yang terapung-apung belayar di permukaan sungai Nil.
Ketika itu, tuan ladang tempat dia bekerja, seorang yang garang dan keras hati terpandang keadaan pekerjanya. Dia memerintahkan kuli-kulinya supaya menyerang zahabiyyah dan menangkap al-Fallah.
Al-Fallah diheret ke hadapan tuan tanah (TT) dan berlakulah soal jawab antara keduanya:

TT : Sejak bila seorang pekerja ladang boleh menaiki zahabiyyah yang baru?

Ai-Fallah: Ini adalah nikmat anugerah tuan, keadilan tuan dan ihsan tuan wahai majikanku. Dan ini tentunya sesuatu yang menggembirakan tuan kerana ini adalah dari kurniaan tuan dan kebaikan tuan!

TT: Mana mungkin pekerja-pekerja ladang menyerupai tuan mereka dan manaiki zahabiyyah?

Al-Fallah: Aku berlindung kepada Allah daripada menyerupai tuan aku. Siapalah aku? Aku adalah seorang hamba dari kalangan hamba-hamba tuan. Segala yang saya usahakan hasilnya semua milik tuan.

TT: Jika kamu tidak ingin menyerupaiku, kenapa kamu beli zahabiyyah dan kamu menaikinya di Sungai Nil seolah-olah kamu adalah salah seorang daripada tuan-tuan di negeri ini? Adakah kamu mahu kamu dilihat oleh pekerja-pekerja lain, supaya mereka percaya bahawa kamu mempunyai kedudukan dan darjat yang tinggi?

Al-Fallah: Astaghfirullah wahai majikanku. Sekiranya tuan rasa apa yang aku lakukan ini satu keaiban, maka aku menjadikan Allah dan Rasul-Nya sebagai saksi bahawa aku tidak akan ulangi lagi menaiki zahabiyyah selama-lamanya. Aku bertaubat di hadapanmu wahai majikanku. Aku harap tuan terima taubatku.

TT: Taubatmu diterima, tetapi aku akan lakukan sesuatu yang menyebabkan kamu tidak akan ulangi lagi kesalahanmu selama-lamanya.

Tuan tanah memerintahkan kuli-kulinya agar mengikat al-Fallah dan menyeretnya di atas tanah sehingga bajunya yang bersih cantik dicemari lumpur. Kemudian baju itu dikoyakkan. Mereka memukulnya sesuka hati sehingga mengalir darah dari kedua lututnya, kedua kakinya dan belakangnya, sedang tuan tanah ketawa terbahak-bahak sambil mengulang-ngulang ejekan: baginilah caranya supaya kamu tidak lupa selama-lamanya kedudukan kamu yang hina dina wahai al-Fallah!

Pengajaran: Tidak guna merendah diri di hadapan orang zalim. Mereka memang tidak berhati perut. Sama ada kita lawan atau tidak, mereka tidak akan bersimpati pada kita. Maka pertahankan hak kita walaupun terpaksa berkorban nyawa, kita mati sebagai orang yang mulia.

No comments: