Tuesday, July 06, 2010

Pendidikan Seks Bukan Penyelesaiannya

Gejala zina dan seks bebas begitu membarah di kalangan masyarakat masa kini. Pelbagai cadangan dan saranan dikemukan untuk mengatasinya termasuk desakan dari beberapa NGO agar menyegerakan pelaksanaan pendidikan seks di sekolah.
Ingin ditegaskan bahawa yang menyebabkan manusia terjebak di dalam kancah maksiat bukan kerana kekurangan ilmu atau ketiadaan pengetahuan. Sebaliknya punca utama adalah kekurangan iman dan kerapuhan aqidah.

Rasulullah s.a.w. telah menceritakan sebagaimana diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa seorang pemuda telah jatuh cinta kepada sepupunya, tetapi cintanya itu tidak bersambut sehinggalah pada suatu hari sepupunya datang meminta bantuan kerana kaumnya ditimpa kebuluran. Kesempatan itu digunakan oleh pemuda itu untuk memenuhi nafsu syahwatnya yang sekian lama terpendam. Sepupunya itu tiada upaya lagi untuk menolak kerana memikirkan keadaan kaum keluarga yang sangat-sangat memerlukan bantuan. Di saat mereka berduaan, dalam suasana dan keadaan yang memungkinkan pemuda itu melepaskan hasratnya, si gadis berkata: takutlah kamu kepada Allah, jangan dipecahkan cincin melainkan dengan haknya!

Mendengar kata-kata itu, si pemuda terus bingkas lari meninggalkan sepupunya dengan longgokan emas yang telah dijanjikan untuk diberikannya selepas dia memenuhi runtunan nafsu syahwahnya.

Apa yang menyebabkan pemuda itu membatalkan niat jahatnya untuk berzina dengan sepupunya? Apakah dia mendapat ilmu tentang bahaya zina? Apakah sepupunya menghuraikan akibat melakukan zina dia akan diserang virus HIV dan sebagainya? Tidak!
Dia tidak meneruskan niat jahatnya adalah kerana mendengar peringatan agar bertaqwa kepada Allah. Itulah yang dikatakan hanya iman yang dapat membendung.

Tidak dinafikan ada ketika iman lemah. Ada masa orang beriman kalah. Tetapi kelemahan dan kekalahan itu bersifat sementara. Orang yang hatinya dilimpahi iman akan segera insaf dan sedar dengan sedikit peringatan dan nasihat.

Justeru, semua pihak mesti ikhlas, tegas dan berani kembali kepada ketentuan Allah. Masalah manusia tidak akan selesai kecuali dengan mengikuti panduan yang telah ditentukan oleh Allah Maha Pencipta.

No comments: