Monday, February 28, 2011

PELAWAK JUGA BOLEH BAGI NASIHAT

Kebiasaannya raja-raja akan berangkat ke balai tempat dia bersemayam selepas semua kakitangannya dan orang ramai berkumpul. Kemudian mereka semua akan berdiri tanda hormat apabila raja masuk. Dan seseorang raja tidak akan berdiri sama sekali untuk menghormati orang lain.

Pada suatu hari seorang buhlul (pelawak) yang cerdik masuk ke tempat raja bersemayam bersama orang ramai sebelum raja masuk.
Saat ketibaan raja, semua yang berada di dalam dewan itu pun berdiri. Secara diam-diam Buhlul pergi duduk di atas kerusi raja sebelum raja duduk. Maka rajapun tercegatlah di sebelah kerusinya yang telah diduduki oleh Buhlul. Tanpa berlengah, para pengawal pun segera menangkap Buhlul. Mereka memukul, menumbuk dan menyepak Buhlul di hadapan raja dan semua yang hadir. Buhlul menjerit, memekik, melolong dan menangis sekuat-kuatnya. Sebentar kemudian raja memerintahkan para pengawal agar menghentikan deraan terhadap Buhlul. Setelah deraan dihentikan berlakulah dialog berikut antara raja dengan Buhlul:
Raja: adakah pukulan dan deraan tadi menyakitkan kamu?
Buhlul : tidak, tuanku!
Raja : kalau begitu kenapa kamu menangis, menjerit dan melolong begitu rupa sedangkan kamu tidak sakit?
Buhlul : patik menangis dan melolong kerana kasihan dan simpati kepada tuanku, bukan kerana kasihankan diri patik.
Raja: bagaimana begitu? Bukankah kamu yang kena pukul? Jeritan dan tangisan itu datang daripada kamu?
Buhlul : patik duduk di atas kerusi ini tak sampai pun satu minit, patik dipukul dan didera oleh pengawal begitu rupa sebagaimana yang tuanku saksikan. Kalaulah tidak kerana tuanku yang perintahkan mereka supaya berhenti, mereka tidak akan berhenti. Sedangkan tuanku telah duduk di atas kerusi ini bertahun-tahun. Maka berapa banyak agaknya pukulan dan deraan yang akan tuanku terima daripada tentera Allah dan malaikat-Nya serta penjaga-penjaga neraka. Allah pula tidak akan mempertahankan tuanku! Jadi patik sibuk memikirkan hal tuanku daripada memikir hal diri patik. Itu yang membuatkan patik sangat kasihan kepada tuanku!

Apa tindakan raja selepas mendengar kata-kata Buhlul itu?
Agaknya kalau jenis raja yang hidup zaman sekarang, Buhlul itu dah mati sebelum sempat melafazkan kata-katanya….

Thursday, February 24, 2011

Perempuan dan syaitan

Tajuk di atas tidak bertujuan untuk membandingkan antara perempuan dengan syaitan, apa lagi menyamakan kedua-duanya. Sedia makluk bahawa syaitan adalah makhluk terkutuk, musuh bani Adam zaman berzaman. Manakala perempuan pula makhluk istimewa yang diciptakan untuk menjadi pasangan kepada kaum Adam, pasangan yang serasi, yang mampu memberikan ketenangan jiwa dan mendamaikan perasaan.

Khadijah binti Khuwailid, Hawwa, Sarah, Hajar, Aisyah رضى الله عنهن جميعا dan ramai lagi merupakan sebaik-baik contoh pasangan paling serasi yang bukan sahaja berperanan mendamaikan hati suami, malah menjadi tulang belakang yang sangat utuh dalam menampung perjuangan yang dipelopori suami masing-masing.

Namun di samping barisan wanita-wanita hebat itu, sejarah juga turut mencatatkan wajah-wajah hodoh sebahagian wanita yang hati mereka tidak dibaluti dengan iman dan taqwa. Maka jadilah mereka umpama syaitan atau lebih teruk lagi. Seorang ulamak daripada kalangan as-Salaf as-Soleh pernah berkata, “sesungguhnya aku takut kepada perempuan lebih daripada aku takut kepada syaitan!” Apabila ditanya alasannya, beliau menjawab, “Allah berfirman mengenai perempuan “إِنَّ كَيۡدَكُنَّ عَظِيمٌ” (maksudnya: “… sesungguhnya tipu daya kamu (orang perempuan) amatlah besar pengaruhnya.”) (Yusuf:28) Dan Allah berfirman tentang syaitan “…إِنَّ كَيۡدَ ٱلشَّيۡطَـٰنِ كَانَ ضَعِيفًا “ (maksudnya: “…sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.”) (An-Nisaa’:76)

Tuesday, February 22, 2011

FATWA YUSUF AL-QARADHAWI: DARAH GADAFI HALAL

Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia, Shaikh Yusuf al-Qaradhawi mengeluarkan fatwa harus dibunuh seorang penjenayah Libya, Muammar Gadafi yang telah melampau batas membunuh rakyarnya sendiri dengan melontarkan bom ke arah mereka dari kapal terbang dan menggunakan khidmat pembunuh upahan asing untuk membunuh rakyat sendiri.
Al-Qaradhawi, dalam temubualnya dengan al-Jazeerah pada petang Isnin 21 Feb meminta seluruh anggota angkatan tentera semua peringkat supaya jangan mendengar dan mentaati perintah Gadafi agar membunuh anak bangsa mereka kerana dengar dan taat dalam hal ini adalah haram. Sesungguhnya tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada al-Khaliq.
Al-Qaradhawi menyatakan dengan tegas, “Sekarang saya mengeluarkan fatwa supaya Gadafi dibunuh. Mana-mana anggota polis atau tentera atau orang perseorangan yang boleh menghalakan senapang ke arahnya maka hendaklah ia lakukan. Biar rakyat Libya dan umat seluruhnya dapat berehat daripada kejahatan lelaki gila ini serta kezalimannya”.
Tambah beliau lagi, “Tidak harus bagi mana-mana anggota polis atau tentera mentaati lelaki ini untuk melaksanakan perintah maksiatnya, kezaliman dan kedurjanaannya terhadap rakyat jelata yang merupakan hamba kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Sesungguhnya seorang pemerintah yang membunuh rakyatnya dengan cara yang begini kejam merupakan sebesar-besar kesalahan dan sebesar-sebesar dosa di sisi Allah ‘Azza wa Jalla. Aku ingin memperingatkan anggota tentera yang berada di sekiling Gadafi dan melaksanakan perintahnya ayat al-Quran yang mulia ini yang bermaksud: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar. ” (An-Nisaa’:93). Dan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya melenyapkan satu dunia ini lebih enteng di sisi Allah daripada membunuh seorang muslim”.
Al-Qaradhawi berkata lagi, “Sesungguhnya Gadafi telah hilang akalnya. Sejak dahulu dia dikatakan sebagai orang gila!” Kemudian beliau mengajukan ucapannya kepada Gadafi dengan berkata, “Sekiranya engkau benar-benar seorang ayah kepada rakyat Libya, maka adakah masuk akal seorang ayah membunuh anak-anaknya, mengupah pembunuh upahan untuk menghentam bangsamu? Zionis sekalipun ketika mereka menyerang Gaza tidak berbuat demikian”.
Al-Qaradhawi menyifatkan Saiful Islam al-Gadafi sebagai “Sebilah pedang daripada pedang-pedang jahiliah. Ucapannya adalah semata-mata untuk melaga-lagakan rahyat Libya antara satu sama lain”.
Kemudian al-Qardhawi berbicara kepada anggota tentera Libya dengan berkata, “Sebenarnya kamu mempunyai semangat patriotic yang tidak kurang daripada tentera Tunisia yang menolak arahan presiden mereka yang telah cabut lari, Zainal Abidin bin Ali supaya melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di sana. Semangat patriotic kamu juga tidak kurang dariapada tentera Mesir yang hebat yang mengawal revolusi di sana, di mana mereka tidak mengendahkan arahan presiden Mesir yang kini telah tersingkir, Husni Mubarak supaya menyekat kemaraan revolusi pada hari Jumaat al-Ghadhab (Hari Jumaat Kemarahan). Maka saya menyeru tentera Libya supaya jangan memukul bangsa sendiri. Jangan korbankan rakyat demi menjaga seorang manusia gila dan jangan ikut perintahnya supaya menghentam rakyat”.
Tidak ketinggalan, al-Qardhawi juga menyeru rakyat Libya dengan berkata: “Tetapkan pendirian kamu dan bersabarlah. Sesungguhnya semahal manapun pengorbanan yang terpaksa dicurahkan demi mencapai kebebasan yang memang mahal harganya, kamu mesti teruskan perjuangan. Sesiapa di antara kamu yang gugur syahid di sisi Tuhannya, dia akan ditempatkan di maqam yang mulia, di Firdaus yang tinggi “.
Beliau juga turut menyeru rakyat Tunisia dan Mesir, kerajaan-kerajaan Arab, pertubuhan-pertubuhan Islam, kesatuan-kesatuan Afrika dan PBB supaya tidak berdiam diri terhadap apa yang berlaku di Libya.
Beliau berdoa untuk rakyat Libya agar mendapat pertolongan dan kemenangan dalam perjuangan mereka dan Allah Yang Maha Perkasa akan membalas kezaliman Gadafi dengan pembalasan yang sewajarnya, yang dia tidak akan terlepas lari daripadanya.

Sumber:
http://egyptwindow.net/news_Details.aspx?News_ID=11308

Ikhwan Muslimun akan menubuhkan parti politik “Al-Hurriyyah wa al-‘Adalah”


Ahmad Sabi’ melaporkan:

Al-Fadhilah al-Ustaz Dr. Muhammad Badi’, Murshid ‘Aam bagi Jamaah Ikhwan Muslimun menegaskan bahawa Maktab Irshad (majlis pimpinan tertinggi jamaah) telah membuat ketetapan pada hari ini untuk memulakan langkah menubuhkan sebuah parti politik bagi jamaah yang diberi nama “Al-Hurriyyah wa al-‘Adalah” (kebebsana dan keadilan). Beliau akan mengumumkan nama-nama anggota pengasas dalam beberapa hari terdekat. Apabila segala proses persediaan telah disiapkan, Ikhwan akan mula mengambil langkah-langkah yang diperlukan mengikut undang-undang pertubuhan yang ada.
Di dalam satu sidang media di sini, Murshid berkata bahawa langkah ini selari dengan hala tuju dan polisi jamaah sebagaimana telah diputuskan oleh majlis syura sejak sekian lama yang antara lain mengandungi ketetapan bahawa jamaah mesti menubuhkan sebuah parti politik.
Beliau turut menekankan bahawa penubuhan parti politik ini juga selari dengan kehendak dan cita-cita rakyat Mesir yang menghendaki masa depan yang lebih cerah dan lebih baik yang akan memungkinkan Mesir tercinta kembali menempatkan dirinya sebagai pemimpin dan memainkan peranannya dengan lebih berkesan.
Seterusnya beliau menambah, ahli jawatankuasa pengasas di peringkat dalaman jamaah telahpun dibentuk. Ahli jawatankuasa ini dipertanggungjawabkan untuk menyediakan draf terakhir bagi gerak kerja parti, program-program dan segala yang diperlukan bagi penubuhan sebuah parti seperti perlembagaan, polisi dan sebagainya. Semua itu akan dimuktamadkan bersama Majlis Shura Jamaah kemudian akan diisytiharkan pada masa yang sesuai.
Beliau juga menegaskan bahawa keanggotaan parti akan dibuka kepada semua rakyat Mesir yang menerima program parti serta halatujunya.

Tuesday, February 15, 2011

APA ORANG LAIN KATA TENTANG MESIR?


Barack Obama: kita wajib mendidik anak-anak kita supaya mereka jadi seperti pemuda Mesir

Perdana menteri Italy : Tidak ada yang baru pada Mesir. Sesungguhnya orang-orang Mesir seperti biasa memang pencipta sejarah

Perdana Menteri Norway : Hari ini kita semua adalah orang Mesir

Presiden Austria : Rakyat Mesir merupakan bangsa paling hebat di muka bumi dan mereka berhak mendapat hadiah Nobel untuk keamanan

Perdana Menteri British : Kita wajib ajar revolusi Mesir di sekolah-sekolah

CNN :Buat pertama kali dalam sejarah kita melihat satu bangsa bangkit memberontak kemudian mereka membersihkan jalanraya-jalanraya selepas itu

Sunday, February 13, 2011

Hadiah buat pemuda revolusi Januari

Sebuah puisi nukilan seorang rakyat Mesir menggambarkan keeagumannya terhadap kebangkitan anak-anak muda di Mesir sehingga dia merasa seolah-olah dia baru dilahirkan semula oleh anak-anak muda itu.

Kami tunduk kagum dan hormat kepada pemuda dan pemudi Mesir. Sesungguhnya tidak cukup kalimah untuk kami ungkap bagi menyatakan penghargaan kami terhadap apa yang mereka lakukan. Kebangkitan rakyat yang gemilang yang tiada tandingan dalam sejarah bangsa di persada dunia.
Kepada mereka kami hadiahkan puisi ini, yang kami beri jodol:

Hadiah buat pemuda revolusi Januari

Di dadaku terpahat rasa cinta membawa namamu
Wahai anakku, aku merayu kepadamu jangan sebut namaku
Jangan engkau tulis ayahmu adalah fulan
Kemuliaan besar bagiku
Aku dinasabkan kepadamu duhai anakku
Aku dinasabkan kepadamu duhai anakku
Dan aku akan mengisytiharkan satu mukjizat paling besar
Aku akan menghebahkan bahawa anakku telah melahirkan aku!

عصام رشوان

Friday, February 11, 2011

Kenyataan IKHWAN sempena kejatuhan Mubarak dan rejimnya

(قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ المُلْكِ تُؤْتِي المُلْكَ مَن تَشَاءُ وتَنـزِعُ المُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وتُذِلُّ مَن تَشَاءُ بِيَدِكَ الخَيْرُ إنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ)
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Aali-‘Imran:26)

Wahai rakyat Mesir yang sabar dan tabah, wahai wira-wira kebebasan dan pendokong kebenaran, wahai orang yang berkorban dan penebus keadilan, kami mengucapkan tahniah kepada kalian seorang, seorang, lelaki dan perempuan, pemuda dan pemudi, kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan, muslimin dan masihiyyin, tahniah daripada lubuk hati kami yang paling dalam. Kami genggam tangan kalian dan kami kucup dahi kalian. Kami memuji Allah kerana telah menyingkirkan awan mendung yang mencengkam hati-hati kita, dictator yang zalim dan melampau batas. Dia telah menyahkan daripada rakyat Mesir yang hebat lumpur hitam sehingga terpancarlah kepada dunia logam yang sangat berharga. Sesungguhnya rakyat Mesir, sekalipun mereka sangat sabar namun tidak rela menyerah. Mereka bangkit menentang kezaliman, cintakan kebebasan dan kemuliaan. Maka tahniah kepada kamu di saat-saat yang mulia lagi diberkati yang merupakan natijah yang sangat besar bagi revolusi yang diberkati.

Dan kepada kamu wahai syuhada’, wahai orang yang telah mengorbankan nyawa di jalan Allah, demi membebaskan keluargamu dan tanah airmu, tahniah yang setulusnya kepada kamu. Moga kamu ditempatkan di tempat paling tinggi di sisi Yang Amat Pemurah, di syurga paling atas di sisi Tuhan Maha Penyayang. Di samping itu, kami rakamkan rasa dukacita kami yang amat mendalam kerana berpisah dengan kamu. Namun kami rasa terhibur kerana sebenarnya kamu tidak mati, tetapi kamu hidup di dalam syurga dalam keadaan gembira dan bahagia.
ولا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ * فَرِحِينَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ ويَسْتَبْشِرُونَ بِالَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ ولا هُمْ يَحْزَنُونَ
“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Aali-‘Imran: 169-170)

Dan syabas kepada tentera Mesir yang hebat, yang mengawal revolusi sejak mereka mula turun ke jalanraya. Mereka mengawal keamanan orang ramai dan kepentingan awam selepas anggota polis berlepas tangan dan bertempur dengan penunjuk perasaan. Pihak tentera telah menolak cubaan untuk melaga-lagakan mereka dengan rakyat. Itu tidak menghairankan keran sesungguhnya tentera adalah tentera rakyat! Anak-anak mereka adalah anak-anak kepada rakyat. Kami yakin bahawa kekuasaan yang diamanahkan kepada mereka buat sementara akan dipindahkan kepada ahli politik dengan cara yang selamat demi memelihara demokrasi dan negara civil serta mendirikan institusi pemerintahan berlandaskan undang-undang dan pemilihan yang bebas dan bersih.

Dan kepada semua penunjuk perasaan di setiap ceruk Mesir, terutama para pemuda kami berkata kepada kalian: sesungguhnya marhalah (peringkat) yang paling senang telah berakhir sekalipun ia sangat pahit dan perit, iaitu peringkat menghancurkan rejim yang fasid. Adapun peringkat seterusnya, itu lebih sukar dan mencabar, iaitu peringkat membina pemerintahan baru berlandaskan asas-asas yang betul. Pemerintahan berlandaskan menghormati kebebasan untuk semua, menjamin hak asasi manusia serta kehormatan mereka, pembahagian hasil Negara dengan cara yang adil dan saksama, menegakkan prinsip keadilan dan persamaan, membuka peluang yang sama kepada semua warga, melaksanakan keadilan social, membina institusi-institusi Negara berlandaskan nilai murni dan undang-undang yang baik, menentang kezaliman dan kerosakan, memerangi kediktatoran dengan serius, tanpa maaf dan tolak ansur.
Wahai rakyat Mesir yang mulia, sesungguhnya dengan rahmat Allah kamu telah mencapai kemenangan yang besar. Maka wajib ke atas kamu memeliharanya. Ini menuntut kamu sentiasa sedar dan berjaga-jaga secara berterusan, bersikap positif, bersatu hati, berkasih sayang dan selalu berhubung antara satu sama lain. Semoga Allah beri taufiq kepada kita sekelian, meneguhkan gerak langkah kita di atas jalan kebenaran dan merealisasikan harapan kita demi umat, bangsa dan tanah air kita.
(وقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ ورَسُولُهُ والْمُؤْمِنُونَ)
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan….” (At-Taubah:105)

الإخوان المسلمون
القاهرة في: 8 من ربيع الأول 1432هـ= الموافق 11 من فبراير 2011م

Monday, February 07, 2011

Tunggu...!!

Kemenangan itu beriringan dengan kesabaran
Kesudahan orang yang zalim adalah kerugian
Ketentuan adalah milik Allah
Dan ketentuanNya pasti berlaku
Sekalipun mengambil masa yang lama atau sebentar Cuma
Apabila bertembung kebenaran dengan kebatilan
Sehingga tiba ke puncak yang paling sengit
Dan semua pihak telah menggunakan segala upaya yang ada padanya
Untuk menyerang dan mengalahkan musushnya
Itulah detik paling getir...
Kebatilan mencecah mercu kekuatannya yang paling tinggi
Sedang pihak yang benar pula tertimpa ujian paling getir
Keteguhan di saat yang genting inilah menjadi titik perubahan
Di sini bermulanya ujian paling sukar ke atas iman orang yang beriman
Seandainya mukmin dapat bersabar dan meneguhkan pendiriannya
Maka segala sesuatu akan berubah mengikut kemaslahatannya.
Di sinilah kebenaran memulakan pendakiannya ke mercu kemenangan
Dan kebatilan mula mengggelunsur ke bawah menuju kemusnahan
Maka terlaksanalah janji Allah yang dinanti....

Petikan daripada nukilan Sheikh Muhammad al-Ghazali رحمه الله

Friday, February 04, 2011

BERSAMA MENYAMBUT ERA DEMOKRASI DI MESIR

Memorandum kepada Amerika Syarikat

4 Februari 2011

Kami, rakyat Malaysia yang prihatin, penegak kebenaran, kebebasan, keadilan, hak asasi manusia dan demokrasi, percaya bahawa pergolakan di Mesir sekarang ini mesti berakhir dengan kemuncak tuntutan rakyat Mesir dipenuhi.

Selepas tiga dekad pemerintahan yang zalim, rakyat Mesir tanpa mengira kepercayaan agama, kedudukan sosial atau kumpulan sekutu telah membuat tuntutan dasar untuk perubahan rejim. Hosni Mubarak mesti meninggalkan takhta presidennya segera.

Inilah satu-satunya tuntutan yang dibawa semasa Perarakan Sejuta Manusia ("million man march") pada 1 Februari 2011. Peristiwa seterusnya telah menjadi semakin buruk dengan tindakan ganas yang dimulakan oleh penyokong Hosni Mubarak ke atas perhimpunan aman di Medan Tahrir. Keganasan ini boleh merebak.

Amerika Syarikat jelas mempunyai pengaruh yang besar ke atas Hosni Mubarak. Sudah tiba masanya bagi Amerika untuk menyatakan pendiriannya, tanpa syarat, bahawa Mubarak mesti berundur. Peralihan dan transisi yang baik ("the orderly transition") mesti bermula dengan Hosni Mubarak berundur. Dengan cara itu sahajalah Amerika Syarikat boleh mendakwa bahawa ia mendengar suara rakyat Mesir.

Rakyat Mesir berhak kepada perubahan rejim. Rakyat Mesir berhak kepada kebebasan, hak untuk menentukan dan membina masa depan mereka sendiri.

Kami dengan ini, atas semangat solidariti bersama rakyat Mesir, menuntut perkara-perkara berikut:

1. Bahawa Hosni Mubarak mesti berundur serta merta;

2. Bahawa Amerika Syarikat mesti menggesa agar Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan serta merta;

3. Bahawa Masyarakat antarabangsa bertindak untuk:

a. memastikan keganasan tidak berlarutan,
b. memberi tekanan ke atas Hosni Mubarak untuk meninggalkan takhta persidennya serta merta,
c. meminta agar kerajaan perpaduan ("government of national unity") ditubuhkan yang akan berperanan sebagai "care taker",
d. membantu mengadakan pilihanraya adil dan saksama yang diselia oleh pihak antarabangsa;

4. Bahawa semua rejim yang zalim terutama di Timur Tengah mesti mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa yang sedang berlaku dan mendengar suara rakyat mereka

Parti-parti politik, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Rakyat Malaysia yang Prihatin