Monday, November 28, 2011

Biarkan obor harapan terus menyala


Mari sama-sama kita renungi kisah Nabi Yusuf a.s. yang diceritakan di dalam al-Quran. Siapa yang ceritakan kepada kita? Allah Yang Maha Mengetahui segala-galanya. Ia bukan rekaan, bukan sesuatu yang diada-adakan. Ia suatu kisah kehidupan yang benar-benar berlaku. Diceritakan sebagai iktibar dan pengajaran sepanjang zaman.
Nabi Yusuf a.s., abang-abangnya mahu membunuhnya semasa dia masih kecil, tetapi dia tidak mati.
Mereka mahu melenyapkan semua kesan-kesannya, tetapi Allah angkat darjatnya.
Kemudian dia dijual sebagai hamba, tetapi akhirnya dia menjadi orang yang berkuasa.
Mereka ingin hapuskan kasih sayang dari hati ayah terhadapnya, tetapi sebaliknya perasaan itu tambah mendalam.
Maka jangan risau apa yang dirancang oleh manusia untuk menyakiti kita. Sesungguhnya kehendak Allah mengatasi segala-galanya.
Lihat babak-babak yang dilalui seterusnya…
Dia dimasukkan ke dalam penjara kerana kesalahan yang tidak pernah dilakukannya.
Di dalam penjara, dia merupakan ‘banduan’ terbaik sebagaimana diperakui oleh penghuninya “Sesungguhnya kami memandangmu termasuk dalam kalangan orang yang baik” (Yusuf:36)
Namun banduan lain keluar dahulu daripadanya, dan dia – walaupun baik – tetap meringkuk di dalam penjara beberapa tahun lamanya. Salah seorang temannya keluar untuk menjadi menjadi khadam, seorang lagi keluar untuk dibunuh, dan dia menunggu dan menunggu…
Akhirnya dia keluar untuk menjadi seorang penguasa di Mesir, bertemu dengan kedua orang tuanya, keluarga yang terpisah bercantum semula… alangkah bahagianya!!!
Maka sesiapa yang terasa lambatnya penyelesaian tiba, maka jadikan kisah Nabi Yusus a.s. ini sebagai obor harapan yang sentiasa menyala.

Sunday, November 27, 2011

Mengapa langit dan bumi enggan menangis?

Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi.” Ad-Dukhan:29

Dalam tafsirnya, Ibn Kathir berkata: maksudnya mereka tidak mempunyai amal soleh yang dibawa naik ke langit, maka langit tidak menangis kerana kehilangan amal soleh tersebut. Di bumi juga mereka tidak ada tempat yang mereka jadikan untuk menyembah Allah, maka bumipun tidak rasa kehilangan dengan kematian mereka. Lantaran itu layaklah mereka tidak diberi tempoh dan tidak dilewatkan dengan sebab kekufuran mereka, kejahatan mereka, jenayah mereka dan kedegilan mereka.

Al-Hafidz al-Musili meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Tidak ada seorang hambapun kecuali ada baginya dua pintu di langit. Satu daripadanya ialah yang keluar darinya rezekinya dan satu lagi pintu yang darinya masuk amalan dan perkataannya. Apabila hamba itu mati, kedua-dua pintu tersebut akan rasa kehilangan. Maka kedua-duanya menangis.” Lalu dia membaca ayat ini (Ad-Dukhan:29).

Disebutkan juga bahawa mereka tidak beramal dengan amal soleh di atas muka bumi yang boleh membuatkan bumi menangis kerana kehilangannya, dan tidak pernah dinaikkan ke langit kata-kata mereka yang baik juga amal mereka yang soleh yang boleh membuatkan langit menangis kerana kehilangannya.

Ibn Abi Hatim meriwayatkan dari Ubbad bin Abdullah, katanya: seorang lelaki bertanya Sayyidina Ali r.a.: “Adakah langit dan bumi akan menangis kerana kematian seseorang?” Beliau menjawab: “Sesungguhnya engkau telah bertanyaku soalan yang tidak pernah ditanya oleh seseorang sebelummu. Sesungguhnya tiada seorang hamba kecuali dia mempunyai tempat solat di dunia dan tempat naik amalannya di langit. Dan sesungguhnya Aali (kelaurga) Firaun, mereka tidak mempunyai amal soleh di bumi dan tidak ada amal yang dinaikkan ke langit. Kemudian beliau membacakan ayat (Ad-Dukhan:29)

Ibn Jarir berkata, Sa’eid Ibn Jubair berkata: Ibn Abbas r.a. dikunjungi seorang lelaki, lalu bertanya: “Wahai Abu al-Abbas, apa pendapat anda tentang firman Allah (ad-Dukhan:29)? Adakah langit dan bumi menangis kerana kematian seseorang? Ibn Abbas r.a. menjawab: “Ya! Sesungguhnya tidak ada seorangpun daripada makhluk ini kecuali baginya pintu di langit yang turun darinya rezekinya, yang naik darinya amalnya. Apabila seorang mu’min meninggal dunia, ditutup pintu yang menjadi saluran naik amalnya dan turun rezekinya. Maka dia akan kehilangan, lalu dia menangis. Dan apabila bumi kehilangan musalla tempat dia selalu solat dan berzikir, bumi juga akan menangis. Dan sesungguhnya kaum Firaun, mereka tidak mempunyai kesan-kesan amal soleh di bumi, dan tidak dinaikkan kepada Allah apa-apa kebaikan daripada mereka. Maka langit dan bumi tidak menangis kerana kehilangan mereka.”

Sufyan ath-Thauri berkata: “Bumi menangis kerana kematian seorang mu’min selama 40 pagi.”
Mujahid berkata: “Tidak mati seorang mu’min kecuali langit dan bumi akan menangis selama 40 pagi.” Dia ditanya: “Adakah bumi menangis?” Dia menjawab: “Adakah kamu hairan? Bagaimana bumi tidak menangis, padahal dia kehilangan seorang hamba yang memakmurkannya dengan rukuk dan sujud? Bagaimana langit tidak menangis, pada hal dia kehilangan seorang hamba yang takbirnya serta tahmidnya berdengung seperti dengungan lebah?”

“Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi.”

Menurut Sayyid Qutub, ungkapan dalam ayat ini menggambarkan betapa hina dan tidak bergunanya para dictator yang sombong dan bongkak itu. Tiada seorangpun di langit dan di bumi yang pedulikan mereka, tiada seorangpun yang berdukacita dan berasa kehilangan. Mereka hilang seperti hilangnya semut, sedangkan semasa hidup mereka memijak manusia dengan tapak kasut. Mereka pergi tanpa diiringi rasa sedih. Seluruh dunia membenci dan mengutuk mereka kerana dunia beriman kepada Tuhannya sedang mereka kafir. Mereka adalah ruh-ruh jahat, busuk dan terasing dari alam tempat mereka hidup.

Kalaulah mereka tahu, betapa ungkapan di atas menggambarkan betapa hinanya mereka di sisi Allah dan di sisi wujud ini keseluruhannya, nescaya mereka akan mengerti betapa mereka sebenarnya orang-orang terbuang dan tersingkir. Mereka tidak mempunyai ikatan keimanan dan apa-apa ikatan yang baik.

Sunday, November 20, 2011

Dan apa lagi selepas haji?

Nukilan: Mursyid Am Ikhwan Muslimin

Segala puji bagi Allah Rabbil-‘alamin, selawat dan salam ke atas Rasulullah dan mereka yang mengikutinya serta mendokongnya…

Kejayaan ummah terletak pada ketaatan yang berterusan:

Sesungguhnya antara tanda haji mabrur ialah muslim yang menunaikan haji itu terus istiqamah selepas hajinya. Dia tetap iltizam dalam ketaatannya kapada Tuhannya dan dia menjadi lebih baik daripada sebelumnya, itulah tanda ibadahnya diterima. Seorang salaf berkata: “Tanda mabrurnya haji ialah bertambah kebaikan selepasnya dan tidak mengulangi maksiat sekembalinya.” Al-Hasan al-Basri berkata: “Haji mabrur ialah dia kembali dalam keadaan zuhud di dunia, cinta kepada akhirat.”

Imam al-Banna berkata: “Alangkah besarnya keagongan Rububiyyah! Alangkah hebatnya kelebihan Uluhiyyah! Allah melimpahkan kurniaNya ke atas hamba-hambaNya, Dia mengundang mereka datang ke ‘rumah’Nya yang suci untuk mengampunkan dosa-dosa mereka, mensucikan hati-hati mereka, melipatgandakan pahala untuk mereka, membaharui ruh-ruh mereka, dan memberikan mereka limpahan kurnia yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia!”

Demikianlah, muslim yang mengerjakan haji pulang seperti hari dia dilahirkan ibunya untuk memulakan lembaran baru, kehidupan yang suci, bersih, tidak tercemar. Dia membawa tenaga baru yang hebat untuk melangkah ke medan kejayaan dalam hidupnya bersama Tuhannya, dirinya dan manusia. Itulah perkembalian yang terpuji dengan istiqamah yang tetap dan berterusan.

Rasulullah s.a.w. ditanya: “Apakah amalan yang paling afdhal?” Baginda menjawab: “Iman kepada Allah dan RasulNya.” Ditanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda menjawab lagi: “Kemudian jihad fi sabilillah.” Ditanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda menjawab: “Kemudian haji yang mabrur.” (Al-Bukhari dan Muslim). Haji mabrur ialah haji yang tidak diikuti dengan maksiat kepada Allah.

Keperluan umat kepada talbiah yang berterusan

Talbiah ialah cetusan suara roh. Ia bukan sekadar luahan lisan. Malah ia diterjemah oleh perbuatan.

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْك..

Ungkapan suci yang terpancar dari hati, menyahut seruan Allah berterusan sepanjang tahun. Mengisytiharkan janji setianya, ketulusan matlamat hidupnya, merentasi kepayahan, rintangan dan kepenatan kerana cinta dan rindu kepada Allah. Muslim yang menunaikan haji memulakan langkah mengislah diri menjauhi fasad, fujur (kejahatan), ilhad (mengingkari kewujudan Tuhan), ibahiyyah (free sex), kezaliman, menceroboh ke atas hak-hak orang lain, keganasan dan usaha yang boleh mendatangkan kemusnahan kepada apa saja. Maka segala puji, ni’mat dan kerajaan hanya milik Allah Yang Esa semasta-mata. Bukan milik mana-mana kekuatan meskipun kelihatan begitu gah sekalipun.

Sesungguhnya talbiah merupakan dendangan kemuliaan yang merupakan tuntutan revolusi umat Arab masa kini (Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; - al-Munafiqun:8). Ia merupakan selogan kemegahan bagi tanah air yang sedang melangkah menuju kebangkitan (Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. – Aali’Imran:139). Ia adalah laungan harapan bagi mereka yang beramal dan berjihad (dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman. – ar-Rum:47)

Imam al-Banna pernah menukilkan kesan dendangan ini dalam membentuk hidup bahagia: “Alangkah indahnya apabila kelopak hati mukmin berkembang menerima seruan dari Yang Maha Tinggi, sebagaimana kelopak bunga berkembang indah apabila menerima titisan air embun! Lalu ia menjadi mekar bahagia… setiap ketika terpantul dari lubuk hati kalimah suci لبيك اللهم لبيك

Seandainya umat merealisasikan makna talbiah, Allah menjamin akan menolongnya. Dia akan hancurkan singgahsana kebatilan sebagaimana yang kita saksikan sekarang, satu persatu hancur bergelimpangan dengan izin Allah, iaitu ketika mana rakyat menghayati talbiah dan bersumpah akan tetap cekal menghadapi kezaliman dan kerosakan. Maka umat telah membuktikan dengan menghulurkan syuhada’dan para pejuang yang terluka di Mesir, Tunisia dan Libya. Dan esok sedang menanti giliran di Yaman dan Syria dengan izin Allah.

Kesatuan umat Islam harapan seluruh insan

Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka…” (Al-Hajj:27-28)

Haji merupakan muktamar Islami yang besar, manifestasi iman yang gemilang yang disertai oleh pelbagai bangsa, puak, suku, lapisan pada satu masa, di tempat yang sama, mengalunkan kata-kata yang sama, melaksanakan amalan yang sama, menghadap ke matlamat yang satu, iaitu mengisytiharkan ubudiyyah, perhambaan dan kesetiaan kepada Allah Yang Esa. Itulah risalah, misi yang berpanjangan setiap tahun: kamu adalah kekuatan dengan kesatuan kamu, kamu adalah kekuatan dengan tautan hati kamu. Maka atas dasar apa kamu berpecah? Sesungguhnya telah tiba masanya sekarang untuk kamu realisasikan kewajipan kamu yang paling berharga yang termaktub di dalam firman ini (maksudnya): “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” Aali’Imran:103

Berwaspadalah kamu dari tipu daya musuh kamu. Mereka amat maher menggunakan senjata pecah belah dan berpuak-puak di kalangan kamu, yang sangat cekap menyebarkan perkara-perkara karut yang boleh melemahkan umat kita, mereka cuba mengalihkan matlamat, menimbulkan isu budaya, penjajahan bentuk baru dan berbagai-bagai slogan yang manakutkan. Jika kamu tidak berpegang teguh pada prinsip kesatuan dan iltizam di dalam satu saf, maka kamu akan ditimpa azab sebagaimana yang menimpa orang sebelum kamu, “Katakanlah: “Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah – berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain”. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.” Al-An’am:65

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Jabir r.a., apabila turun ayat ini baginda s.a.w. berkata: “Aku berlindung dengan WajahMu.”

Sesungguhnya kesatuan umat hari ini merupaka satu harapan selepas kita melihat bagaimana haji menggugurkan sempadan antara negara-negara, bahkan antara benua-benua, sempadan yang dicipta oleh manusia-manusia yang tamak, mementingkan diri dan individualistic. Sesungguhnya haji bukan saja membuatkan kita merasai kesatuan dunia Islam semata-mata, malah ia membuatkan kita merasai kesatuan bumi ini, kesatuan manusia dan kemanusiaan. Semasa haji wadak, Rasulullah s.a.w. telah mengisytiharkan secara jelas dan nyata dasar kebebasan, persamaan dan keadilan. Baginda menyeru: “Wahai sekelian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu satu dan bapa kamu satu. Ketahuilah bahawa tiada kelebihan bagi Arab ke atas ‘Ajam, dan tiada kelebihan bagi ‘Ajam ke atas Arab. Tiada kelebihan bagi merah ke atas hitam dan tiada kelebihan bagi hitam ke atas merah kecuali dengan taqwa.” (Al-Baihaqi). Baginda juga mengisytiharkan pengembalian hak wanita, kedudukan dan kehormatannya. Tegasnya, ia merupakan perisytiharan hak asasi manusia serta kemuliaan mereka, “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram ke atas kamu sebagaimana haramnya hari ini, di bulan ini dan di negeri ini!” (Muslim). Bilakah dunia akan sedar bahawa botol ubat untuk menyelamatkan dunia ada pada Islam yang merupakan system hidup dan penyelesai kepada semua permasalahan?

Sayyid Qutub pernah menukilkan tentang haji dan apa yang tersirat di sebaliknya: “Haji merupakan muktamar untuk bertaaruf, bertasyawur (mesyuarat), menyelaraskan langkah, menyatukan kekuatan, bertukar-bertukar pengalaman, barang dagangan, percubaan-percubaan dan mengatur urusan dunia Islam yang satu, yang lengkap dan melengkapkan sekali dalam setahun.”

Maka adakah umat telah memetik buah manfaat haji dalam kesatuan yang syumul dengan menggabungkan semua kekuatannya, mengumpulkan segala persediaannya dan menghimpunkan segala potensinya untuk membina kemajuan, memacu kebangkitan sebagai persediaan untuk memikul amanah dan menegakkan risalah? Sesungguhnya haji, selain ia merupakan satu ibadah dan taqarrub kepada Allah, padanya manfaat kemasyarakatan, kebudayaan, ekonomi, politik dan pendidikan. Ia merupakan saham besar dalam membina watan, meningkatkan kesedaran umat, menyelesaikan permasalahan, mengaktifkan pergerakan dan memantapkan halatujunya.

Janji bersama Allah yang kukuh

Sesungguhnya Imam a-Banna telah menyimpulkan kewajipan umat selepas haji dalam ucapannya kepada rombongan haji: “Wahai saudara-saudara, sesungguhnya kita sekarang berada di negeri haram, di hadapan Baitillahil-haram, zamzam dan Maqam Ibrahim. Kita berjanji kepada Allah dengan janji yang kukuh bahawa kita akan memikul beban jihad dan pengorbanan dalam menegakkan prinsip Islam yang tinggi dan ajarannya yang murni. Kita akan perangi dengan izinNya semua bid’ah dan khurafat yang diserapkan ke dalam agama kita yang dibina di atas dasar tauhid yang benar. Itulah fikrah yang sejahtera. Sesiapa yang merasinya, dia akan mengecapi kemanisan iman dan dia termasuk orang yang diterima di sisi Allah.

Ketahuilah bahawa kebahagian muslimin tidak akan terlaksana dan tidak akan berlaku kecuali dengan mereka menjadikan al-Quran al-Karim sebagai dustur (perlembagaan) dan undang-undang mereka. Ambil daripadaku kalimah ini: sesungguhnya Allah tidak menolong kaum yang fasiq yang meninggalkan agama mereka dan mengikuti jalan syaitan yang direjam. Pada hari kita kembali ke pangkuan al-Quran dan as-Sunnah, hari itu kita akan melihat pertolongan Allah tegak di hadapan mata kita kerana itu adalah janji daripada Allah. Dan janji Allah itu benar. Dia tidak memungkirinya. Bacalah firmanNya: “dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” Ar-Rum:47

Dan aku mengingatkan kamu wahai Ikhwan, kamu yang memikul dakwah ini, kamu berusaha menyebarkannya, kamu berkorban waktu, harta dan tenaga di jalannya, terutama pada masa kini, dengan apa yang telah ditegaskan oleh Imam al-Banna di tanah suci jalan-jalan yang menjamin kejayaan dakwah kamu. Beliau berkata: “Yang aku maksudkan bahawa dakwah Ikhwan Muslimin ialah dakwah yang ikhlas kerana Allah sejak hari pertama ia ditubuhkan. Ia diasaskan di atas taqwa kepadaNya, bersandarkan kepada keagonganNya. Inilah dakwah yang aku yakin untuk berjaya mesti ada dua perkara asas:

Pertama: kebersihan orang yang mendokongnya, kesucian jiwa mereka sehingga mereka layak menerima bantuan dan pertolongan daripada Allah Tabaraka wa Ta’ala

Kedua: hubungan hati-hati ini dengan da’i awwal s.a.w., hubungan ruhi yang kuat yang membawa kepada berpegang teguh dan mengikuti sunnahnya. Tidak akan baik akhir umat ini melainkan dengan apa yang membaikkan awalnya.

Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyampaikan. Wahai Tuhanku, maka saksikanlah.

Selawat dan salam ke atas Rasulullah, Allah Maha Besar dan segala puji bagiNya


p/s: mohon maaf kpd semua kerana terjemahan artikel sebelum ni tak dpt disempurnakan kerana musim haji dah lepas, mood dah lain. semoga yg ini bermanfaat utk kita semua.

Friday, November 04, 2011

Bicara hati Mursyid Am Ikhwan Muslimin

Dengan Nama Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, para sahabat, keluarga dan pengikutnya...

Wahai ikhwah dan akhawat yang ku kasihi kerana Allah,

Wahai muslimin dan muslimat diseluruh pelusuk bumi,

Bicara ini terpancar dari hatiku sempena hari kebesaran yang penuh keberkatan, Hari Raya al-Adha al-Mubarak serta 10 hari Zul-Hijjah yang merupakan hari paling afdhal untuk bertaqarrub kepada Allah. Hari paling baik daripada semua hari di atas muka bumi di sepanjang tahun.

Kita lihat apa yang dapat kita kaup faedah daripada hari-hari ini, apa pengajaran yang kita dapat ambil daripada perjalanan haji orang yang dipilih oleh Allah untuk pergi ke tempat suci itu, dan orang yang belum dipilih untuk menerima anugerah yang membahagiakan itu.

Pertama, ibadah-ibadah yang disyariatkan Islam bertujuan menghimpunkan umat seluruhnya. Bermula dengan solat yang ditunaikan secara fardi (perseorangan) dan jama’ei (berjamaah) di setiapa tempat, di peringat desa, kota, daerah dan negeri. Ketika mana kita berkumpul untuk solat, ia merupakan bentuk perhimpunan umat. Kumidian kita berhimpun ketika puasa. Meskipun kita laksanakan secara individu, tetapi seluruh umat menghayati perasaan yang sama, jadual hidup yang sama, menjalani proses pentarbiah roh dan jasad dalam kerangka ibadah yang sama. Selepas itu penyatuan umat seluruhnya dari seluruh pelusuk bumi merentasi sempadan masa dan geografi. Ini merupakansatu bentuk penyatuan umat yang unik, penyatuan di atas landasan pengabdian diri kepada Allah Tuhan semesta alam. Menginsafi dan mengiktiraf bahawa semua mereka adalah hambaNya, hanya Dia yang berhak mensyariatkan apa-apa hukum supaya dipatuhi oleh sekelian hambaNya.

Justeru, apabila kita melangkah kaki ke dalam manasik haji, kita hendaklah mempersiapkan diri bermula dari hati, iaitu hati berasa condong dan rindu untuk berangkat ke tanah suci sebagai menyahut doa seruan Nabi Ibrahim a.s. (Surah Ibrahim:37) yang mendoakan agar hati manusia terpaut kepada Baitillah dan mereka tetap menunaikan solat.

Musim haji pada tahun ini tiba dalam suasana bumi Arab didatangi musin bunga tsaurah mengukuhkan bahawa doa kita dan doa para hujjaj pada tahun-tahun sebelumnya tidak sia-sia. Allah telah qabulkan doa itu dengan membebaskan umat Arab dari cengkaman pemerintahan diktator. Maka kita amat memerlukan doa itu diteruskan dengan lebih lebat lagi. Kami hanya meminta daripada kamu doa. Apabila Allah ilhamkan kita untuk berdoa kepadaNya, maka Dialah yang akan memaqbulkannya. (Surah Ghafir:60) itulah janji Allah dan Dia tidak mungkir janji.

Kita pergi ke sana (Makkah) bererti kita telah berkorban harta dan tenaga. Maka kita wajib bersedia untuk berkorban apabila diminta untuk memelihara agama ini, memelihara tanah air kita dari dirampas, kebebasan, kehormatan dan kemuliaan yang dianugerahkan Allah kepada kita dari diperkotak-katikkan. Allah menjadikan kita sebagai insan. Kata-kata Sayyidina Umar yang masyhur “bilakah kamu memperhambakan manusia sedangkan mereka dilahirkan ibu mereka sebagai orang yang merdeka”? menunjukkan bahawa kemerdekaan merupakan hak asasi manusia yang paling utama yang mesti diperjuangkan oleh umat Arab dan Islam. Kebebasan kita tercerna apabila kita mengabdikan diri kepada Allah. Kemuncak kemerdekaan terletak pada ubudiyyah kepada Allah. Kita tidak tunduk dan tidak diperhambakan oleh selainNya walau sehebat manapun. Kita tidak tunduk kepada syahawat walaupun ia begitu menggelegak. Kita lihat akibatnya orang yang tunduk kepada syahawat sehingga membunuh dan menindas anak bangsa serta kaum keluarga sendiri.

Moga-moga mereka mengambil pengajaran, lalu mereka termasuk orang yang bahagia. Mereka tidak jadi orang yang celaka yang menjadi pengajaran untuk orang lain. Kita mulakan perjalanan haji dengan pengorbanan harta, bahkan kita memilih harta yang halal. Jika tidak, kita ditolak, haji kita tidak diterima. Pemilihan harta yang halal ini menjadi peringatan kepada muslim bahawa itulah yang sepatutnya cara hidup mereka, hanya bergantung kepada sumber yang halal sahaja sama ada makanan, pakaian dan segala-galanya. Jila tidak, doa tidak diterima.

Ini permulaannya. Kemudian niat yang ikhlas kerana Allah ‘Azza wa Jalla. Kumdian bila tiba, kita berkumpul di rumah Allah untuk tawaf sebagai mengecas hati kita di Kaabah. Lalu hati itu mendapat tenaga baru. Begitulah setiap kali solat walaupun tidak di hadapan kaabah, namun tenaganya tetap memberikan hati kesegaran yang berterusan.

Haji difardhukan hanya sekali seumur hidup. Maka kesannya pasti berpanjangan. Kesan ibadah haji seolah-olah bekalan untuk hidup sepanjang usia....

Bersambung insya Allah. Terpaksa berhenti, nak bersiap ke Arafah... moga coretan ini menjadi bekalan perjalanan hajiku insya Allah...