Monday, August 29, 2022

DOSA PENYEBAB PUTUSNYA IKATAN CINTA

Daripada Ibn Umar RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda maksudnya: “Demi Tuhan Yang diri Muhammad di TanganNya, dua orang yang berkasih sayang, tidak dipisahkan antara keduanya melainkan kerana dosa yang dilakukan oleh salah seorang daripada keduanya!”

Syaikh Abdul Hadi bin Hasan Wahbi berkata di dalam kitabnya: “Kesan-kesan Dosa Ke Atas Individu Dan Bangsa-bangsa”:

Baginda Rasulullah SAW tidak menyebut apa jenis dosa yang dilakukan. Ia menunjukkan apa saja dosa, boleh menjadi sebab berlakunya perpisahan antara dua orang yang berkasih sayang!! Mungkin antara suami dengan isteri, kaum kerabat dan lain-lain. Inilah yang tidak diperhatikan oleh kebanyakan manusia!

Hadith dikeluarkan oleh Imam Ahmad (2/68) no 5357, diakui sahih oleh al-Albani di dalam kitabnya “al-Silsilah al-Sahihah” (2/232).



M U H A S A B A H

23 Ogos 2022 adalah tarikh bersejarah buat DSNR dan buat seluruh rakyat Malaysia apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau bagi pertuduhan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menyampaikan penghakiman sebulat suara itu selepas prosiding dramatik di mana pihak pembelaan cuba menggugurkan beliau daripada pendengaran rayuan tersebut.
Beliau akan mula menjalani hukuman penjara hari ini (23 Ogos 2022), menjadikan beliau sebagai perdana menteri pertama dihantar ke penjara.
Najib, 69, disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.
Mahkamah Rayuan turut mengekalkan keputusan itu pada 8 Disember 2021.
Demikianlah secebis kisah perjalanan seorang hamba yang Allah beri peluang kepadanya menduduki takhta kuasa sebagai Perdana Menteri semenjak April 2009 hingga May 2018.
Keputusan yang dibuat oleh Yang Arif Hakim adalah berdasarkan keterangan saksi-saksi serta bukti-bukti yang berupa dokumen, gambar dan sebagainya yang dikemukakan oleh pihak pendakwaraya.
Itulah perjalanan penghakiman di dunia. Kita mungkin meragui keabsahan dokumen yang dikemukakan. Meragui kejujuran para saksi. Meragui kewibawaan pendakwaraya serta hakim-hakim.
Namun, jangan kita lupa suatu hari kita akan berhadapan dengan penghakiman yang maha benar dan maha adil.
Yang menjadi saksi bukan manusia. Tetapi anggota kita sendiri; kaki, tangan, telinga, mata serta kulit yang membalut tubuh kita.
“Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.”
(Yaa Siin 36:65)
“Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.”
(Fussilat 41:20)
“Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: "Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?" Kulit-kulit badan mereka menjawab: "Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata - telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).”
(Fussilat 41:21)
Maka ketika itu kita tidak akan dapat lari lagi, tidak ada siapa yang dibenarkan untuk menjadi peguam bagi membela dan berhujjah bagi pihak kita dan tidak akan diterima sebarang jaminan walaupun kita mampu untuk membayar dengan semua harta yang kita ada di dunia.
“Dan pada masa itu sekiranya tiap-tiap seorang yang berlaku zalim (kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain) itu mempunyai segala yang ada di bumi, tentulah ia rela menebus dirinya dengan semuanya itu (dari azab yang akan menimpanya); dan mereka tetap akan merasa sesal serta kecewa manakala mereka melihat azab itu; dan Allah putuskan hukum di antara mereka dengan adil serta mereka tidak akan dianiaya dengan keputusan itu.”
(Yunus 10:54)
Justeru, peringatan buat diriku dan DSNR muhasabahlah diri. Jadikan hukuman yang diterima pada hari ini sebagai peluang untuk bermuhasabah dan bertaubat. Jika benar anda telah melakukan jenayah menggunakan harta rakyat dan negara dengan cara yang salah, bertaubatlah kepada Allah, minta maaf kepada seluruh rakyat dan pulangkan hak rakyat dan negara sebelum anda dihadapkan di mahkamah akhirat di hadapan Allah Yang Maha Perkasa, yang tidak ada peguam akan membela serta seluruh anggota tidak akan menjadi saksi bagi pihak anda.
Ingatlah! Penjara di dunia ini walau sepanjang mana pun tempohnya tetap singkat berbanding dengan penjara di akhirat. Mungkin hikmah di sebalik pemenjaraan ini Allah hendak memberi peluang kepada anda membetulkan kesilapan dan menyelamatkan diri anda daripada azab yang lebih dahsyat di akhirat kelak.
“Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.”
(As-Sajdah 32:21)
*UMD*
26 Ogos 2022