Tuesday, November 22, 2022

PERIHAL ULAMAK SU’

Daripada Abu Umamah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Akan terjadi dalam kalangan umatku suatu keadaan yang menakutkan. Lalu orang ramai meluru kepada ulamak mereka. Rupa-rupanya mereka itu (ulamak) adalah kera dan babi.” (Nawadir al-Usul lil-Hakim, at-Tirmiz no.858, Dzam al-Malahi, Ibn Abi ad-Dunya, al-Hilyah, Abi Nu’aim daripada jalur lain dengan sanad yang hasan)

Ibn al-Qayyim berkata:

“Maka penukaran rupa kepada kera dan babi betul terjadi dalam umat ini. Ia pasti berlaku ke atas dua golongan: 

Ulamak su’ yang berdusta ke atas Allah dan RasulNya yang menterbalikkan agama Allah serta syari’atNya. Maka Allah terbalikkan rupa mereka sebagaimana mereka menterbalikkan agamaNya.

Orang-orang yang melakukan kefasikan secara terang-terangan, mencerobohi apa yang diharamkan. 

Jika Allah tidak menukarkan rupa mereka di dunia, Allah tukarkannya di dalam kubur atau pada hari kiamat.” (Ighathah al-Lahfan min Masoedi asy-Syaitan, Ibn al-Qayyim)


Wednesday, November 16, 2022

DSAI TIDAK BERMORAL?


Saya ingin merujuk kepada kenyataan seorang pemimpin sebuah parti dari negeri Perak yang mengatakan DSAI seorang yang tidak bermoral, bekas panduan yang telah dijatuhi hukuman kerana salah laku seksual.

Soalnya adakah hukuman yang dijatuhkan itu selari dengan ajaran Islam?

Sama-sama kita renungi firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq;” -

(An-Nuur 24:4) 

Ayat ini menerangkan sesiapa yang menuduh wanita yang baik berzina hendaklah mengemukakan empat orang saksi bagi membuktikan tuduhanya. Jika tidak, dia dikira telah melakukan jenayah qazaf yang boleh dikenakan hukuman sebat 80 kali, hilang kelayakan sebagai saksi dan dia tergolong dalam kalangan orang yang fasiq.

Menurut Ibn Kathir, meskipun ayat di atas menyebut tentang beratnya hukuman ke atas orang yang menuduh perempuan melakukan zina tanpa mengemukakan empat orang saksi, namun ulamak sepakat bahawa tuduhan ke atas lelaki juga sama.

Ertinya seseorang yang dituduh melakukan zina atau liwat, tidak sabit ke atasnya perbuatan yang keji itu selagi penuduh tidak mengemukakan empat orang saksi.

Hal ini ditegaskan lagi dalam firman Allah yang bermaksud:

“Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.”

(An-Nuur 24:13) 

Maka, persoalannya adakah hukuman yang dijatuhkan ke atas DSAI selari dengan apa yang dituntut oleh hukum Islam?

Adakah pihak yang menuduh telah mengemukakan empat orang saksi yang memenuhi semua syarat-syarat sebagai saksi?

Jika jawapannya tidak, apakah hukumnya kalau kita mempercayai tuduhan itu dan bersetuju dengan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya? 

Takutlah kepada Allah dan muhasabahlah. Sama-samalah kita hayati firman Allah ini:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

(Al-Hujuraat 49:11) 


#tolakrasuah

#MalaysiaNegaraRahmah


Sunday, November 13, 2022

UNDI ADALAH SATU PERSAKSIAN. JADILAH SAKSI YANG ADIL!!!


Allah SWT berfirman maksudnya:

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil (ummatan wasata), supaya kamu layak menjadi orang yang memberikan keterangan (persaksian) kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu…..”

(Al-Baqarah 2:143) 


Menerusi ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW diamanahkan menjadi saksi ke atas umat manusia yang betanggungjawab memberikan keterangan tentang yang benar dan yang salah.


Saksi mesti tahu dengan yakin apa yang disampaikan.


Saksi mesti jujur dan adil, tidak boleh condong kepada mana-mana pihak berdasarkan emosi atau dipengaruhi oleh perasaan cinta kepada bangsa sendiri atau benci kepada musuh. Dalam hal ini Allah SWT berfirman maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Al-Maaidah 5:8) 


Saksi juga tidak harus sama sekali memberikan persaksian palsu atau menjadi saksi palsu. 

Anda dikira telah menjadi saksi palsu jika 

i. anda menyatakan apa yang anda tidak tahu, atau 

ii. anda memalsukan fakta yang anda tahu.


INGAT! UNDI ADALAH SATU PERSAKSIAN.


Jika anda mengundi seseorang calon, maka anda telah memberikan persaksian anda bahawa dia benar-benar layak untuk menjadi wakil rakyat yang benar-benar membela dan memperjuangkan kepentingan rakyat.

Tetapi jika anda tidak tahu dengan yakin kelayakan calon yang anda pilih, atau anda hanya memilih berdasarkan sentiment kaum, kumpulan, kerabat, atau percaya kepada kempen yang tidak berfakta maka sebenarnya anda telah memberikan persaksian yang palsu. Anda telah menjadi SAKSI PALSU! 


Ingat! SAKSI PALSU amat besar dosanya di sisi Allah SWT.


Selain itu, jika anda memilih calon yang anda tahu ada calon lain yang lebih layak, maka anda sebenarnya telah mengkhianati seluruh rakyat dengan persaksian palsu yang anda berikan itu. 

Nabi SAW bersabda maskudnya:

“Sesiapa yang memberikan pendapat untuk saudaranya dalam sesuatu perkara sedangkan dia tahu bahawa kebaikan itu pada perkara yang lain (pendapat lain) maka dia telah mengkhianatinya”. Riwayat Abu Daud


Friday, November 11, 2022

FAHAMAN TAKFIRI YANG MEMBAHAYAKAN

Semakin menjadi-jadi fahaman melampau yang disebarkan oleh pihak tertentu bahawa dengan menyokong dan mengundi parti politik tertentu dalam PRU dapat masuk syurga dan sekiranya mengundi parti politik selainnya akan masuk neraha, wal’iyadzubillah.

Seolah-olah mereka tidak dapat membezakan antara agama dengan parti politik!?

Agama datang dari Allah Yang Maha Sempurna, Maha Adil, Maha Bijaksana, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha segala-galanya. Diturunkan untuk memandu hamabaNya ke jalan yang benar, jalan yang Dia redha, jalan yang membawa mereka kepada kehidupan yang selamat, sejahtera dan bahagia di dunia juga di akhirat.


Parti adalah sebuah pertubuhan politik yang ditubuhkan oleh manusia dengan tujuan tertentu.

Sepanjang sejarah umat Islam terlibat dalam pelbagai jenis pertubuhan yang membawa bermacam-macam aliran dan fahaman.

Dalam bab aqidah terdapat bermacam-macam mazhab

Dalam bab fiqh juga terdapat bermacam-macam mazhab

Mazhab-mazhab yang pelbagai itu tidak pula mengkafirkan antara satu sama lain.

Kenapa dalam bab politik kita tidak boleh menerima perbezaan pendapat dan perbezaan mazhab sampai mengkafirkan pihak yang tidak sealiran dan tidak sependapat dengan kita?


Adakah dalil tertentu daripada al-Quran atau hadis yang menunjukkan bahawa kita wajib ikut parti tertentu sahaja? Jika tidak tidak, jadi kafir dan masuk neraka?


Pertelingkahan yang paling besar dalam isu politik buat pertama kali berlaku adalah pada zaman pemerintahan Khalifah Ali bin Talib RA sampai tercetusnya peperangan Siffin dan peperangan Jamal yang mengorbankan puluhan ribu umat Islam. Namun kita tidak mendengarpun daripada pihak-pihak yang bertelingkah itu menuduh pihak lawan sebagai kafir dan masuk nereka!


Justeru, berfikirlah dengan tenang dan waras. 

Anda hendak pilih siapa, hendak kempen parti mana, silakanlah. Tapi jangan sekali-kali ambil alih hak Allah untuk menentukan siapa masuk syurga atau neraka!


Wednesday, November 09, 2022

ULASAN MANIFESTO PRU 15 - PN

RAFIZI RAMLI


Sementara itu, segarkan ingatan kita dengan kegagalan 18 bulan pentadbiran PN yang memecahkan beberapa rekod terburuk dalam sejarah negara.


MUHYIDDIN DAN PN TELAH GAGAL SELAMA 18 BULAN, PIMPINAN BERSATU TERPALIT DENGAN SKANDAL PERTAHANAN


Saya meneliti pelancaran manifesto Perikatan Nasional (PN) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam. Modal utama PN yang cuba disampaikan oleh Muhyiddin semalam berkisar kepada beberapa perkara sahaja:


1. Tawaran-tawaran populis sebagai gula-gula pilihanraya untuk memikat pengundi muda seperti pengurangan bayaran PTPTN kepada kumpulan sasar yang lebih besar


2. Rekod penyelewengan PN yang dikatakan lebih bersih dari BN dan PH


Sebagai Pengarah Pilihanraya dan jurucakap kempen PRU15 bagi pihak KEADILAN, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi reaksi awal kepada manifesto PN semalam. Saya yakin kepincangan-kepincangan pentadbiran PN selama 18 bulan dan tawaran manifesto akan terus mendapat perhatian rakyat sepanjang tempoh berkempen dua minggu ini.


Bidasan awal saya pada hari ini mencakupi perkara-perkara berikut:


PERTAMA: REKOD PENTADBIRAN PN YANG GAGAL SELAMA 18 BULAN


Pentadbiran Muhyiddin dan PN akan diingati kerana memecahkan beberapa rekod dalam sejarah negara kita.


Ia pentadbiran seorang Perdana Menteri yang paling pendek dalam sejarah negara iaitu 18 bulan.


PN juga ditubuhkan atas pengkhianatan wakil-wakil rakyat PH dan BN yang memesongkan mandat rakyat dalam PRU14 demi jawatan dalam kerajaan. Hasilnya adalah sebuah kerajaan persekutuan yang tidak stabil kerana mengumpulkan kembali musuh-musuh politik yang berpecah belah dari UMNO, BERSATU dan PAS tetapi duduk dalam satu kerajaan demi jawatan.


Sebab itu, tempoh pentadbiran 18 bulan PN diingati dalam lipatan sejarah negara sebagai tempoh yang paling sengsara dan paling tidak stabil.


Di bawah pentadbiran Muhyiddin dan PN sebagai Perdana Menteri, rakyat melalui dua tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang yang memusnahkan ekonomi rakyat biasa.


Tindakan-tindakan itu tidak pula berjaya menguruskan wabak Covid-19 dengan baik apabila negara mencatatkan 4.92 juta kes dan kematian 36, 482 orang (yang memuncak semasa PN mentadbir negara). Ini adalah rekod kematian yang paling tinggi yang berpunca dari satu wabak yang pernah dicatatkan dalam sejarah negara kita.


 


Kegagalan menguruskan wabak Covid-19 juga meninggalkan kesan ekonomi yang berpanjangan yang memusnahkan kehidupan rakyat terbanyak. Tempoh sengsara itu akan diingati selama-lamanya dengan peristiwa #BenderaPutih dan #KitaJagaKita apabila rakyat terpaksa bantu-membantu dalam serba kekurangan untuk meringankan beban golongan termiskin.


Pentadbiran Muhyiddin dicemarkan lagi apabila beliau menggunakan darurat untuk kekal berkuasa. Ia satu lagi rekod penggunaan darurat semasa aman yang terpanjang dalam negara kita sehingga menimbulkan kenyataan-kenyataan yang dilihat bercanggah dengan institusi raja-raja.


Muhyiddin akhirnya terpaksa meletakkan jawatan di kala jumlah kematian rakyat akibat Covid-19 semakin memuncak.


KEDUA: TAWARAN DALAM MANIFESTO TIDAK DILAKSANAKAN SEMASA MENJADI KERAJAAN


Antara tawaran-tawaran populis adalah potongan pembayaran balik PTPTN kepada golongan sasaran yang lebih besar iaitu termasuk peminjam yang tidak mendapat ijazah kelas pertama.


Muhyiddin dan PN lupa bahawa sejak 2018, BERSATU dan PN mengawal hala tuju dan pentadbiran PTPTN sepenuhnya melalui pemimpin kanan BERSATU iaitu Wan Saiful Wan Jan. Beliau adalah antara lantikan politik dari BERSATU yang pertama sebagai Pengerusi PTPTN.


Sepanjang empat tahun memimpin PTPTN, tidak ada satu penyelesaian menyeluruh yang dibawa Wan Saiful untuk menangani kemelut pembiayaan pendidikan tinggi negara. Akibat pentadbirannya yang lemah, PTPTN menjadi bahan kritikan rakyat yang hebat.


Logiknya, sebarang tawaran yang hendak dibuat mengenai PTPTN boleh dibuat serta merta dahulu semasa PN menduduki kerusi Perdana Menteri dan Pengerusi PTPTN.


Ia tidak berlaku. 


Sebab itu, adalah menjadi kebodohan untuk cuba memikat hati rakyat sekali lagi mengenai tawaran-tawaran PTPTN kerana peluang keemasan itu telah diberikan kepada PN selama empat tahun. 


Mereka gagal sebelum ini dan mereka akan gagal jika mereka dekat dengan PTPTN sekali lagi.


Lebih-lebih lagi apabila tawaran-tawaran itu tidak dibuktikan dapat dilaksanakan dalam keadaan kekangan kewangan yang ada. Sekarang pun, PTPTN terpaksa meminjam dari institusi kewangan swasta pada kadar komersial dan memberi pinjaman pada kadar yang lebih rendah, tanpa berjaya mengutip pinjaman sepenuhnya. Ia menyebabkan kedudukan kewangan PTPTN semakin pincang setiap tahun.


Jika sekarang pun PTPTN tidak mampu mempunyai aliran tunai yang stabil, bagaimana pula ia boleh berbelanja lebih banyak untuk memberi pelepasan pinjaman kepada golongan yang lebih besar.


KETIGA: PIMPINAN BERSATU/PN TERPALIT DENGAN SKANDAL BESAR NEGARA


Sehingga kini, Muhyiddin dan PN tidak pun menafikan keterlibatan pimpinan-pimpinan kanannya dalam skandal-skandal mutakhir negara.


Umum mengetahui bahawa Latiff Ahmad, bekas menteri BERSATU adalah tokoh politik yang dinamakan di dalam laporan audit forensik mengenai kelewatan projek LCS.


Syarikat Alizes Marine Ltd, sebuah syarikat palsu yang dinamakan terlibat menyeleweng sehingga lebih RM200 juta peruntukan projek-projek pertahanan laut negara adalah syarikat yang dikaitkan dengan Latiff Ahmad.


Sehingga kini, BERSATU tidak memberi sebarang penjelasan atau menafikan perkara ini. Latiff Ahmad pula tidak menyaman saya kecuali membuat satu laporan polis. Tindakan BERSATU seolah-olah mahu perkara ini dilupakan begitu sahaja oleh rakyat.


Dalam tempoh berkempen ini, saya akan tunjukkan pula bagaimana seorang lagi pimpinan kanan BERSATU, Ikmal Hisham Abdul Aziz (bekas Timbalan Menteri Pertahanan) terpalit dengan kontroversi perbekalan meriam artileri (self-propelled Howitzer, SPH) yang turut menjadi isu besar di kalangan pengurusan angkatan tentera.


Sehingga kini juga, Muhyiddin dan PN tidak berjaya menangkis bukti-bukti yang telah ditunjukkan setakat ini.


Sebab itu, Muhyiddin dan PN adalah golongan terakhir yang boleh mendabik dada kononnya mereka bersih. Semasa KEADILAN mengambil langkah berani mengisytiharkan harta, tidak ada seorang pun pemimpin dari BERSATU yang berani mengisytiharkan harta sedangkan pandangan umum rakyat ialah ahli politik yang tidak berani mengisytiharkan harta ada sesuatu yang disembunyikan.


Saya menyeru supaya pengundi-pengundi tidak lupa rekod kegagalan pentadbiran Muhyiddin dan PN selama 18 bulan. 


Walaupun tempoh 18 bulan itu bunyinya pendek, ia adalah tempoh yang paling sengsara yang mengakibatkan kematian yang paling tinggi dalam sejarah negara kita.


Memberikan undi kepada PN samalah seperti kita mengundang kembali pengalaman sengsara 18 bulan itu.


RAFIZI RAMLI

Sunday, November 06, 2022

DATANG HANYA SEKADAR UNTUK MERAMAIKAN?

Al-Qurtubiy menyebut dalam tafsirnya daripada Anas bin Malik RA yang menceritakan: 

“Aku melihat pada hari al-Qadisiyyah, Abdullah bin Ummi Maktum RA yang buta dengan memakai perisai di badannya. Tangannya memegang bendera hitam.

Seseorang bertanya kepadanya: “Bukankah Allah telah menurunkan ayat al-Quran mengecualikanmu daripada kewajipan menyertai peperangan?”

Beliau menjawab: “Memang benar. Tetapi aku ingin meramaikan pasukan muslimin dengan kehadiranku!”

Begitulah semangat dan cita-cita seorang yang memiliki jiwa perjuangan. Meskipun hanya sekadar untuk meramaikan dan tidak mampu untuk memberi sumbangan lebih daripada itu, beliau tidak mengelak dengan mencipta pelbagai alasan, pada hal Allah sendiri telah mengecualikannya, dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran. 

Maka bayangkanlah, jika kehadiran kita betul-betul memberi kesan dalam menentukan menang atau kalah seseorang calon dalam PRU yang akan datang?

Ingat undi anda menjadi sebab menang atau kalahnya calon yang layak atau yang tidak layak.

Dan anda bijak untuk membuat pilihan siapakah di antara mereka yang layak.

#tolakrasuah


Wednesday, November 02, 2022