Menolak sindiran Hadi pada konsep Madani

KOLUM | Menolak sindiran Hadi pada konsep Madani
Dikemaskini: 9:00 AM

Beberapa tulisan Abdul Hadi Awang kelihatan tidak selesa dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tidak diketahui, apa punca kebencian beliau begitu kuat sehingga kandungan sindiran beliau terhadap konsep tersebut kadangkala tidak masuk akal dan tidak rasional.

Makalah ringkas ini cuba menjelaskan konsep Madani yang mungkin masih kabur dari pandangan Presiden PAS itu.

Madani


ADS

Tamadun - peradaban

Apa beza antara peradaban dan tamadun?

Peradaban itu daripada kata adab. Tamadun pula daripada kata da-na دان yang antara maksudnya adalah agama dan pembalasan.

Dari da-na itu, datang kalimah al-Din (agama), tamadun dan Madinah. kata Madani adalah ambil dari kata Madinah.

Kamus dewan mendefinisikan Madani sebagai: Ar maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan (bukan masyarakat, generasi dsb): usaha untuk membentuk masyarakat ~dengan menyemaikan nilai-nilai murni kekeluargaan; kurikulum itu juga terarah kepada pembinaan masyarakat

Bermaksud madani menjurus kepada kemajuan pada tiga perkara besar: (1), pemikiran, (2) spiritual, dan (3) material.

Apa itu adab?

Peradaban berasal dari kata adab. Apabila disebut adab, bukan bermakna perbuatan yang terpamer. Ekoran itu, ada beza antara kata adab, akhlak dan suluk.

Perkataan suluk yang diterjemah dengan akhlak juga tidak tepat. Hal ini kerana, suluk adalah sesuatu perbuatan yang baik, tetapi tidak semestinya datang dari hati yang jujur dan tulus.

Ada manusia jadi baik kerana mahu mencari keuntungan. Contoh, seorang peniaga yang senyum kepada pembelinya, sebab kalau tidak senyum, dia bimbang pelanggannya lari.

Senyum dia itu ada faktor keuntungan perniagaan. Bukan datang dari jujur hatinya. Ini disebut suluk.

Ataupun seperti orang yang tidak rasuah, sebab takut kena tangkap dengan SPRM. Bermakna, kalau tidak kerana undang-undang, mungkin sahaja dia terjebak dengan rasuah.

Ini disebut sebagai suluk.

Adapun akhlak dari akar kata kha-la-qa yang diterjemah sebagai asal sesuatu ciptaan. Dalam al-Quran, ada disebut;

“Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi” (Surah ali-Imran, ayat 90)

Al-Quran menyebut ciptaan langit dan bumi digunakan perkataan kha-la-qa kerana itu adalah asal ciptaan. Namun, apabila ciptaan itu berhadapan dengan proses, seperti ciptaan manusia berasal dari tanah yang diproses, maka digunakan perkataan ja’ala. Firman Allah;

“Ketika berkata tuhan kamu kepada malaikat, aku jadikan pada bumi ini khalifah” (al-Baqarah, ayat 30)

Apabila manusia itu disebut berakhlak, bermaksud perbuatan baiknya sudah sebati dengan hidupnya - bukan buat-buat dan bukan berlakon.

Kalau dia tidak rasuah, bukan kerana dia takut undang-undang, tetapi memang dia benci rasuah. Kalau dia senyum, bukan kerana dia tidak mahu pelanggannya lari, tetapi itu memang dari jiwanya yang baik.

Itu baru disebut sebagai akhlak, bukan lagi suluk. Suluk itu masih berlakon, sedangkan akhlak, itu diri dia yang sebenar.

Untuk membentuk akhlak, bermula dengan adab. Adab adalah pembinaan terhadap hati manusia. sebab itu ada pepatah menyebut:

Tuhanku telah ajar adab kepadaku, lalu adab aku menjadi baik. (ini bukan perkataan Nabi, tetapi kata-kata hikmah)

Konsep adab ini dalam ilmu tasawwuf disebut sebagai proses membuang sifat mazmumah (keji). Dalam bahasa ahli tasawwuf disebut dengan takhalli. Kemudian mengisi sifat mahmudah (terpuji) yang disebut tahalli. Mencapai kesempurnaan yang disebut sebagai al-Insan al-Kamil atau disebut juga sebagai tajalli.

Apabila hati manusia itu baik, maka terpamer dari sudut perbuatan yang baik. Dalam sahih al-Bukhari ada hadis bahawa Nabi berkata:

"Ketahuilah, dalam jasad manusia ada seketul daging. apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota badannya. Kalau buruk daging itu, maka buruk seluruh jasadnya. Ketahuilah daging itu adalah hati. (al-Bukhari, hadis no: 52).

Bagi individu, dari hati yang capai tahap tajalli akan melahirkan akhlak. Dari kerangka masyarakat pula, dari peradaban akan melahirkan tamadun.

Adab ini perlu dibudayakan. Apabila berbudaya, akan terbina masyarakat yang baik. Apabila adab sudah berbudaya, maka masyarakat itu adalah masyarakat yang mempunyai peradaban dan bertamadun.

Masyarakat yang mempunyai peradaban akan melahirkan tamadun yang baik. Semua bangsa dalam dunia ini boleh membina tamadun, tetapi tidak semestinya mempunyai peradaban. Hal ini kerana, ada tamadun tanpa peradaban, makanya mereka baik bukan kerana dari Nurani mereka, tetapi factor kepentingan material.

Pembentukkan peradaban kepada tamadun adalah akar bagi fikrah madani yang diperkenalkan oleh sekian ramai ulama Islam seperti al-Farabi, tetapi peliknya konsep sebegini dibenci dan diperli oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.


WAN JI WAN HUSIN ialah seorang pendakwah bebas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.