Monday, August 25, 2025

KEGIATAN OTAK SAAT KEMATIAN


Dalam satu kajian yang digambarkan sebagai titik perubahan dan diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Aging Neuroscience, para saintis buat kali pertama berjaya merakam aktiviti otak manusia ketika saat kematiannya.

Pesakit tersebut merupakan seorang lelaki berusia 87 tahun yang mengalami serangan jantung semasa sedang menjalani pemantauan aktiviti elektrik otak (EEG) akibat penyakit epilepsi. Para penyelidik berjaya merakam kira-kira 900 saat aktiviti otaknya, termasuk 30 saat sebelum jantungnya berhenti dan beberapa ketika selepas itu.

Apa yang mengejutkan, rakaman tersebut menunjukkan perubahan dalam gelombang gamma, delta, theta, alpha dan beta — corak gelombang otak yang biasanya dikaitkan dengan pengingatan semula memori, mimpi, dan keadaan meditasi mendalam. Penemuan ini menyokong idea bahawa otak mungkin menjalani satu proses seakan "putaran semula terakhir rakaman kehidupan" — satu pengalaman yang digambarkan oleh sesetengah individu sebagai "saat seluruh hidup terlintas di depan mata".

Laporan tambahan pada tahun 2025 mengesahkan pemerhatian ini, dan mencadangkan bahawa penemuan ini berpotensi mengubah cara kita memahami konsep kematian. Ia juga menimbulkan persoalan sensitif tentang masa yang sesuai untuk pendermaan organ serta batasan kesedaran dalam detik-detik terakhir kehidupan.

Dengan kata lain — dan ini mungkin mengejutkan — aktiviti otak mungkin masih berfungsi tanpa kita sedari walaupun selepas kematian. Justeru, pendermaan organ boleh menjadi faktor yang mempengaruhi aktiviti ini.

Namun begitu, perlu diingat bahawa ini hanyalah satu kajian terhadap seorang pesakit tunggal, yang juga berada dalam keadaan kesihatan tidak stabil (epilepsi dan serangan jantung). Maka, ia tidak boleh dianggap sebagai satu ketetapan umum untuk semua manusia. Ramai saintis menggesa agar kita berhati-hati sebelum mengaitkannya terus dengan konsep "pengimbasan kehidupan sebelum kematian", tetapi apa yang pasti, kajian ini mencabar tanggapan tradisional kita bahawa otak berhenti berfungsi serta-merta apabila seseorang meninggal dunia.



Tuesday, August 19, 2025

PEMANDU PERTAMA DI DUNIA

Pada Suatu Pagi Musim Panas Tahun 1888...

Pada suatu pagi musim panas tahun 1888, seorang wanita Jerman bernama Bertha Benz terjaga dari tidurnya dengan satu tekad dalam hati — tekad yang bakal mengubah wajah sejarah. Ia adalah keputusan yang tidak pernah berani diambil oleh suaminya sendiri, pencipta agung yang bernama Karl Benz.
Di atas meja dapur, Bertha meninggalkan sekeping nota ringkas yang berbunyi:
“Pergi bersama anak-anak melawat ibu.”
Satu ayat ringkas, tetapi ia merupakan permulaan kepada revolusi terbesar dalam dunia pengangkutan.

Karl Benz telah mencipta sebuah kenderaan aneh — beroda tiga dan digerakkan oleh enjin pembakaran dalaman menggunakan petrol. Ketika itu, mesin tersebut dilihat lebih seperti satu kegilaan berbanding keajaiban. Seluruh dunia mentertawakannya. Bahkan Karl sendiri ragu-ragu, takut sekiranya ciptaannya hanyalah satu khayalan.
Namun tidak bagi Bertha. Di matanya, tiga roda itu bukan sekadar besi dan paip, tetapi sebuah masa depan.

Pada waktu fajar hari itu, ketika suaminya masih lena, Bertha menolak kenderaan itu keluar dari bengkel secara senyap agar bunyi enjin tidak mengejutkan suaminya.
Dia duduk di belakang stereng — buat pertama kali dalam sejarah manusia, di sebelahnya dua orang anak kecil. Dengan tangan yang sedikit menggeletar, namun penuh tekad, dia menghidupkan enjin.
Pada detik itu, lahirlah pemanduan, dan buat kali pertama dalam sejarah, seorang manusia memimpin seluruh umat manusia ke arah dunia yang baharu.

Perjalanannya bukan mudah. Laluan berbukit, berlumpur, dan roda yang terbenam dalam tanah. Apabila minyak kehabisan, dia berhenti di sebuah farmasi kecil di bandar Wiesloch — dan di situlah, buat pertama kalinya dalam sejarah, sebuah farmasi menjadi stesen minyak pertama di dunia.
Apabila paip minyak tersumbat, dia tidak mengeluh. Sebaliknya, dia mengeluarkan pin topi dan membuka sumbatan itu.
Dan ketika brek menjadi lemah dan perjalanan hampir musnah, dia membaikinya menggunakan pin rambutnya sendiri.
Dia adalah seorang ibu, pencipta secara tidak sengaja, dan pemimpin tanpa rasa takut.

Perjalanannya mengambil masa 12 jam — penuh dengan kesabaran dan cabaran. Dalam masa itu, dia telah menempuh lebih 100 kilometer meneroka ke dalam yang tidak diketahui.
Bukan sekadar satu perjalanan, ia adalah lompatan besar dari zaman kereta kuda ke zaman enjin petrol.
Bertha tidak tahu bahawa tindakannya itu akan mengabadikan namanya dalam sejarah sebagai pemandu kereta pertama di dunia — orang pertama yang memegang stereng dan mengemudi kemanusiaan ke masa depan.

Apabila Bertha Benz kembali ke rumah pada penghujung hari itu, tiada siapa lagi yang berani mentertawakan "kereta pelik Benz".
Dengan keberanian hati dan kepercayaan kepada suaminya, seorang wanita telah membuktikan bahawa ciptaan itu bukanlah satu mimpi kosong, tetapi revolusi yang bergerak di atas roda.

Ini bukan sekadar kisah tentang sebuah mesin —
Ini adalah kisah tentang keazaman seorang wanita yang mendahului zamannya,
mencipta sejarah baharu,
dan membuktikan bahawa keberanian sahaja sudah cukup untuk menggerakkan dunia.

SUMBER:

https://www.facebook.com/profile.php?id=100090032363124



Wednesday, August 13, 2025

Wasiat Anas Jamal al-Syarif


Ini wasiatku, dan pesanan terakhirku.
Jika kata-kata ini sampai kepada kalian, ketahuilah bahawa Zi@nis telah berjaya membunuhku dan membisukan suaraku.
Pertama sekali, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Demi Allah, aku telah mengerah segala tenaga dan kekuatan yang aku miliki untuk menjadi sandaran dan suara bagi anak bangsaku, sejak aku membuka mata di lorong-lorong dan jalan-jalan sempit di Kem Pelarian Jabalia.
Harapanku adalah agar Allah memanjangkan umurku sehingga aku dapat kembali bersama keluarga dan orang-orang yang aku cintai ke tanah asal kami di Asqalan yang diduduki, “Al-Majdal”. Namun ketentuan Allah mendahului segalanya, dan kehendak-Nya pasti berlaku.
Aku telah hidup dengan segala pahit getir penderitaan, berulang kali merasai kesakitan dan kehilangan. Namun aku tidak pernah sekalipun berhenti menyampaikan kebenaran sebagaimana adanya — tanpa putar belit atau penipuan — semoga Allah menjadi saksi terhadap mereka yang berdiam diri, mereka yang redha dengan pembunuhan kami, mereka yang menyesakkan nafas kami, dan mereka yang tidak tergerak hatinya walau melihat jasad anak-anak dan wanita kami yang hancur, serta tidak menghentikan pembantaian yang telah menimpa rakyat kami selama lebih setahun setengah ini.
Aku berpesan kepada kalian tentang P@lestin, permata mahkota umat Islam, degupan jantung setiap insan merdeka di dunia.
Aku berpesan kepada kalian tentang penduduknya, dan anak-anak kecilnya yang tertindas, yang tidak sempat hidup untuk bermimpi dan merasai keamanan serta kedamaian, kerana tubuh-tubuh suci mereka telah digilis ribuan tan bom dan roket Israel, hancur berkecai dan berselerakan anggota mereka di dinding-dinding.
Aku berpesan agar kalian jangan dibisukan oleh belenggu, jangan dilemahkan oleh sempadan. Jadilah jambatan ke arah pembebasan tanah dan rakyat, sehingga mentari maruah dan kebebasan terbit di tanah air kami yang dirampas.
Aku berpesan agar kalian berbuat baik kepada keluargaku.
Aku berpesan tentang penyejuk mataku, puteriku tercinta, Syam, yang tidak sempat aku melihatnya membesar sebagaimana yang aku impikan.
Aku berpesan tentang anakku tersayang, Salah, yang aku ingin menjadi sahabat dan teman seperjalanan hidupnya sehingga dia dewasa, agar dia dapat memikul beban ini dan menyempurnakan perjuangan.
Aku berpesan tentang ibuku tercinta, yang dengan keberkatan doanya aku sampai ke tahap ini, yang doanya menjadi benteng dan cahayaku di sepanjang jalan. Aku berdoa agar Allah meneguhkan hatinya dan membalas segala kebaikannya terhadapku dengan sebaik-baik balasan.
Aku juga berpesan tentang teman hidupku, isteriku tercinta, Ummu Salah, Bayan, yang dipisahkan oleh perang daripada diriku selama berhari-hari dan berbulan-bulan, namun dia tetap setia pada janji, teguh bagaikan batang pokok zaitun yang tidak tunduk, sabar dan tabah, memikul amanah di saat ketiadaanku dengan penuh kekuatan dan iman.
Aku berpesan agar kalian bersama mereka, menjadi penopang mereka selepas Allah Azza wa Jalla.
Jika aku mati, maka aku mati tetap di atas prinsip. Aku bersaksi kepada Allah bahawa aku redha dengan ketentuan-Nya, beriman dengan pertemuan dengan-Nya, dan yakin bahawa apa yang di sisi Allah itu lebih baik dan lebih kekal.
Ya Allah, terimalah aku dalam kalangan para syuhada, ampunkanlah dosa-dosaku yang lalu dan akan datang, dan jadikanlah darahku cahaya yang menerangi jalan kebebasan untuk bangsaku dan keluargaku.
Maafkan aku jika ada kekurangan, dan doakan aku dengan rahmat, kerana aku telah pergi berpegang pada janji, tidak mengubah dan tidak menggantikan.
Jangan lupakan G@za…
Dan jangan lupakan aku dalam doa-doa kalian agar diampuni dan diterima.
Anas Jamal al-Syarif
06.04.2025

Wednesday, August 06, 2025

Monday, August 04, 2025

HAMAS PERLU SERAHKAN SENJATA?

Perkongsian penting oleh Dr. Yahya Ghoneim dan analisis yang hebat, beliau berkata:

Seorang rakan bertanya kepada saya:
“Apakah senjata yang kamu seru agar pihak pejuang pertahankan itu? Apa yang telah dilakukan oleh senjata itu? Bukankah lebih baik jika Hamas menyerahkan senjata mereka agar rakyatnya selamat?”

Saya menjawab:

Itulah senjata yang telah membunuh lebih daripada dua puluh ribu tentera Israel,
Senjata yang telah mengeluarkan seratus ribu tentera Israel dari medan pertempuran,
Senjata yang telah memusnahkan lebih separuh kereta kebal dan kenderaan tentera Israel,
Senjata yang telah menguras simpanan senjata Amerika dan Eropah demi menyokong Israel,
Senjata yang telah berperang melawan Israel, Amerika dan Barat hampir dua tahun,
Senjata yang menghalang Israel daripada menguasai walau seinci pun tanah Gaza,
Senjata yang telah dibuat dengan tangan dan gigi mereka sendiri, dan dinamakan sempena nama pemimpin serta para syuhada mereka,
Senjata yang musuh mereka tidak tahu jaraknya, cara kerjanya, atau bagaimana untuk melumpuhkannya,
Senjata yang tidak dibeli dengan pinjaman riba, tidak melibatkan komisen berbillion, dan tidak tunduk pada syarat antarabangsa.

Dan, wahai sahabatku, sekiranya mereka menyerahkan senjata mereka waktu petang, mereka akan disembelih waktu subuh, dan kaum mereka akan dihapuskan waktu tengah hari, dan belum pun malam menjelma, Gaza akan kosong daripada penduduknya, sementara syarikat-syarikat Amerika akan datang membina ‘Trump Riviera’ di sana!

Kita, wahai sahabatku, adalah umat yang tidak membaca sejarahnya, dan tidak menyedari penderitaan masa lalunya.
Organisasi Pembebasan Palestin pernah menyerahkan senjatanya dan meninggalkan Lubnan, lalu rakyat Palestin yang tidak bersenjata disembelih di Sabra dan Shatila, dan pemimpin mereka diburu dan dibunuh di Tunisia dan tempat-tempat lain!

Kita, wahai sahabatku, sedang berhadapan dengan musuh yang paling hina, paling jahat, paling rendah, paling kotor, paling dengki dan paling biadab yang pernah dikenal dalam sejarah.
Namun, kita adalah kaum yang jahil.

#GazaBerjuangDanAkanMenangDenganIzinAllah
Dr. Yahya Ghoneim