Tuesday, July 19, 2005

Pengenalan Falsafah

1. Maksud falsafah:
Berasal dari perkataan:
Bahasa Arab: falsafah
Bahasa Yunani: philosophia. Philos bererti ‘cinta’ dalam ertikata yang seluas-luasnya, iaitu ingin dan berusaha untuk mencapai sesuatu yang diinginkan kerana keinginan itu. Sophia bererti bijaksana, pandai atau mengerti dengan mendalam.
· Oleh sebab itu, falsafah bermakna ‘ingin mengerti dengan mendalam, cintakan kebijaksanaan atau cintakan kebenaran.’ (Endang Saifuddin, 1982:75)
· Phytagoras (500-580SM), ahli matematik yang terkenal memperkenalkan falsafah dengan maksud ‘kecintaan terhadap kebijaksanaan dan menggunakannya dengan maksud perbahasan tentang tabiat sesuatu.’
· Plato (427-347 SM): falsafah tidaklah lain daripada pengetahuan tentang segala yang ada.
· Aristotles(348-322 SM): ‘falsafah ialah disiplin yang menyelediki asas dan sebab segala benda.’
· Al-Kindi (185-252H/801-866M): ‘falsafah ialah ilmu tentang kewujudan benda-benda, urusan ketuhanan dan urusan kemanusiaan.’
· Al-Farabi (257-339H/870-950M): ‘falsafah ialah ilmu pengetahuan tentang alam yang ada dan bertujuan untuk menyelidiki hakikatnya yang sebenar.’
· Rene Descartes – Bapa Falsafah Moden, Renaissance (1596-1650M): falsafah ialah satu disiplin yang dapat menjelaskan hakikat kebenaran tertinggi (ultimate truth).
· Horald H.Titus: Falsafah merangkumi 4 pengertian; sikap tentang hidup dan tentang alam semesta, satu kaedah pemikiran reflektif dan penyelidikan akliah, satu peringkat masalah, dan satu teori atau system pemikiran. (Endang Saifuddin, 1982:75)
· Max Hocutt: Falsafah; merangkumi asas sikap, kepercayaan dan konsep pemikiran seseorang.


Kesimpulan, falsafah ialah ilmu istimewa yang cuba menjawab masalah atau persoalan yang tidak dapat dijawab oleh pengetahuan biasa (knowledge). Ia adalah hasil dari daya usaha manusia dengan akal yang rasional, kritis dan integral untuk menganalisa objek-objek seperti hakikat alam semesta, kemanusiaan dan ketuhanan. Falsafah juga merupakan ilmu induk, sementara ilmu-ikmu lain adalah bahagian-bahagiannya. Kerana itulah kita dapati dalam sejarah perkembangannya berbagai definisi, skop dan sebagainya telah diberikan. Meskipun terdapat beberapa perbezaan kecil pentakrifannya di kalangan ahli falsafah, namun ia tetap selari dan saling menguatkan. Perbezaan ini seringkali dipengaruhi oleh kelainan disiplin ilmu, aliran pemikiran serta latar belakng ahli falsafah itu sendiri.

2. Falsafah Islam:

Islam bukanlah falsafah, ianya adalah agama wahyu yang bersifat rabbany, mutlak datang dari Allah SWT, suci dari kekurangan dan bersifat menyeluruh, sempurna, anjal (flexible), dan sesuai di semua tempat, masa dan zaman. Namun, Islam tetap membuka ruang kepada pemikiran manusia. Oleh sebab itu, segala pemikiran dan kebijaksanaan manusia dalam aspek-aspek kefalsafahan akan membentuk falsafah Islam jika ianya merujuk kepada neraca Islam.


3. Falsafah Sains:
Sains diambil dari perkataan Inggeris ‘science’. English Oxford Dictionary: sains adalah ‘satu cabang ilmu yang mengkaji sekumpulan pernyataan yang terbukti atau dengan fakta-fakta yang ditinjau dan disusun secara bersistem dan dihimpun dalam bentuk hukum-hukum umum dan ia termasuklah kaedah-kaedah yang boleh dipercayai untuk menghasilkan kebenaran baru dalam lapangannya sendiri.’
Sains juga dikenali sebagai satu disiplin yang menilai sesuatu tinjauan dan maklumat secara objektif, bukan secara subjektif, seperti dengan intuisi, sangkaan atau emosi. Ia juga merupakan percubaan mencari kebenaran dengan kaedah-kaedah yang rasional dan emperikal.
Gabungan di antara falsafah dengan sains dinamakan ‘falsafah sains’ atau ‘philosophy of science’. Falsafah sains berperanan menghubungkan falsafah dengan penyelidikan sains. Ia bermatlamat menyelidiki nature sains, metod saintifik dan logiknya sains, menerokai bidang-bidang yang bersangkut paut dengan sains dan memperkuatkan penemuan sains. (Reese,1980)
Kedudukan hubungan di antara falsafah dengan sains digambarkan oleh Einstein dengan kata-kata: “science without philosophy is blind and philosophy without science is empty”. Sesungguhnya penemuan teori-teori baru dalam bidang sains sering mempunyai implikasi terhadap persoalan falsafah.



Dipetik dari kertas kerja yang ditulis oleh Zulfikri bin Mohd Zain, Pengenalan Falsaha dan Konotasi Aksiologi atau Etika Islam dalam Sains dan Teknologi, dibentang dalam Bengkel Peengajaran Kursus Pendidikan Islam Semester 03 peringkat Diploma, UiTM.

No comments:

Post a Comment