Monday, December 25, 2006

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

AMALAN-AMALAN SUNAT DI BULAN ZUL-HIJJAH

Bulan Zul-Hijjah bermaksud bulan haji. Pada bulan inilah umat Islam menunaikan ibadah haji, rukun Islam yang ke lima. Berbahagialah mereka yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada bulan ini.

Banyak kelebihan yang disediakan untuk mereka yang membelanjakan harta, meninggalkan keluarga, meninggalkan keselesaan di tanah air semata-mata untuk menyahut seruan Allah menuju ke Tanah Suci bagi mengerjakan haji. Lantaran itu haji dikatakan sebagai puncak pengabdian, lambang ketauhidan yang paling unggul.

Kelebihan paling utama ibadah haji ialah terhapusnya segala dosa. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan haji di Rumah ini (Baitullah), semasa mengerjakan haji itu dia tidak mencarut dan tidak melakukan perkara-perkara yang di larang, dia terkeluar dari dosa-dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”

Di samping itu terdapat kelebihan-kelebihan lain semasa berada di tanah suci seperti solat di Masjidil-Haram ganjarannya 100,000 kali ganda dan solat di Masjid Nabawi pula 10, 000 kali.

Bagi umat Islam yang tidak terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini tetap berpeluang untuk menikmati kelebihan bulan Zul-Hijjah. Allah s.w.t. berfirman maksudnya: “Demi waktu fajar. Demi 10 malam. Demi hari yang genap dan hari yang ganjil…” Surah al-Fajr : 1-3.

Menurut Ibn ‘Abbas, Ibn az-Zubayr, Mujahid dan ramai dari kalangan mufassirin salaf dan khalaf, 10 malam yang disebut di dalam ayat itu ialah 10 malam pertama bulan Zul-Hijjah. Pendapat ini diperkuatkan dengan sepotong Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dari Ibn ‘Abbas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Amal salih yang paling disukai Allah ialah amalan yang dilakukan pada hari-hari ini (10 hari pertama bulan Zul-Hijjah). Sahabat bertanya: “Apakah lebih disukai daripada jihad fi sabilillah?” Baginda menjawab: “Ya. Lebih disukai daripada berjihad fi sabilillah, kecuali seorang lelaki yang pergi berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak membawa pulang sedikitpun kedua-duanya itu (semua harta dan jiwanya dikorbankan untuk jalan Allah)”

Hari yang ganjil adalah Hari ‘Arafah, iaitu hari ke 9. Manakala hari yang genap adalah Hari Nahar (hari Raya Haji) yang jatuh pada hari ke 10 Zul-Hijjah. Demikian pendapat Ibn ‘Abbas, ‘Ikrimah dan adh-Dhahhak.

Ayat al-Quran dan Hadis di atas menjelaskan betapa mulianya bulan ini di sisi Allah, khususnya 10 hari pertamanya sehingga dikatakan amalan hamba yang paling Allah suka ialah amalan yang dilakukan pada hari-hari tersebut.

Apakah amalan yang sebaiknya dilakukan? Terlalu banyak kebaikan yang boleh difikir dan di senaraikan.

Antaranya ialah berpuasa sunat, lebih-lebih lagi pada hari ‘Arafah (hari ke 9). Dalam hal ini Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Berpuasa pada hari ‘Arafah menghapuskan dosa selama dua tahun, setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Dan berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram) menghapuskan dosa setahun yang lalu” Riwayat Muslim.

Yang kedua adalah korban. Disunatkan pada hari ke 10, 11, 12 dan 13.

Korban adalah sunnah muakkadah. Ada ulamak yang menyebut sebagai sunnah wajibah bagi mereka yang mampu. Cukup satu korban sahaja bagi satu keluarga. Antara dalil-dalil yang berkaitan dengan korban ialah firman Allah bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.” Al-kauthar: 1-2)

“Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Apa-apa yang kamu nafkahkan itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya” Aali Imran : 92

Dalil daripada Hadis:

“Barangsiapa yang memiliki kemampuan (untuk membeli haiwan qurban), lalu tidak melakukannya (tidak berqurban), maka janganlah mendekati tempat solatku“ Riwayat Ahmad

Dari Ummu Salamah r.a. Rasulullah SAW bersabda "Apabila kalian telah melihat hilal bulan Dzulhijjah dan ada di antara kalian yang akan berkorban maka hendaklah ia tidak memotong rambut dan kukunya". Riwayat Muslim

“Amalan anak Adam yang paling Allah sukai pada Hari Nahar ialah menyembelih haiwan ternakan. Sesungguhnya haiwan-haiwan itu akan bangkit pada hari kiamat nanti bersama tanduk-tanduk, kuku-kuku dan bulu-bulunya. Sesungguhnya darahnya akan sampai kepada Allah sebelum ia menitis ke bumi. Maka laksanakanlah korban dengan sepenuh hati mu”. Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi

Para sahabat r.a. bertanya Nabi s.a.w. “Apa maksud ibadah korban ini?” Baginda menjawab: “Ini sunnah bapa kamu Ibrahim”. Mereka bertanya lagi: “Apa yang kita perolehi daripadanya?” Baginda menjawab: “Dengan setiap helai bulunya satu kebaikan.” Mereka berkata: “Bulu-bulu yang halus itu?” Baginda menjawab: “Ya. Dengan setiap helai bulu-bulu yang halus itu satu kebaikan”. Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi

Amalan-amalan lain adalah solat sunat, tilawah al-Quran, bersedekah, menuntut ilmu, berbakti kepada ibu bapa, menziarahi orang sakit, mengajak orang berbuat baik dan melarang berbuat jahat dan banyak lagi. Yang penting tanamkan azam di dalam diri untuk melakukan kebaikan di mana jua dan pada bila-bila masa. Apabila telah tersemat keazaman, muncullah ilham, terhasillah amalan.

2 Zul-Hijjah 1426 / 2 Januari 2006

No comments:

Post a Comment