Friday, March 23, 2007

Wanita dan Pembangunan Ummah

Manusia diciptakan dari satu jiwa, iaitu Adam a.s. Daripadanya Allah ciptakan Hawa sebagai pasangan untuknya. Dan daripada keduanya Allah ciptakan manusia pelbagai bangsa dan warna yang terdiri dari lelaki dan wanita, bertaburan di serata pelusuk dunia. Hal ini dijelaskan di dalam firman Allah yang bermaksud: “Hai sekelian manusia! Bertaqwalah kamu kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari satu jiwa. Dan Dia menciptakan daripada jiwa itu pasangannya. Dan Dia telah kembang biakkan daripada keduanya keturunan yang ramai dari lelaki dan perempuan”. An-Nisaa’:1.

Oleh kerana lelaki dan wanita berasal dari satu jiwa, maka Islam meletakkan ke atas bahu kedua-duanya tugas yang sama berat di dalam mengabdikan diri kepada Allah, membina dan membangunkan umat. Firman Allah bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penulung kepada sebahagian yang lain; mereka menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar, mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, meraka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang akan diberi rahmat oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”. At-Taubah:71.

Justru apabila kita meneliti setiap kebangkitan dan kemajuan yang dicapai oleh sesuatu umat, pasti akan kita temui nama-nama kaum wanita sebaris dengan nama-nama kaum lelaki.

Umpamanya, Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail a.s. diketahui sebagai orang yang bertanggungjawab mendirikan Kaabah, Rumah Allah yang dimuliakan, kiblat orang Islam ketika bersembahyang, maka apa kurang dengan jasa isterinya Hajar yang membuka Kota Mekah, tapak tempat berdirinya bangunan Kaabah? Sesungguhnya ketabahan serta pengorbanan Hajar tidak harus dilupakan. Bayangkan betapa sepi hatinya ditinggalkan suami tersayang bersama anak kecil yang belum mengerti apa-apa, di suatu lembah yang kering tandus, betapa keperitan yang dialaminya apabila melihat alam sekeliling yang gelap gelita ketika malam menjelma. Tiada suara yang kedengaran kecuali denyutan jantungnya dan tangisan bayinya yang kehausan. Demikian kehendak serta ketentuan takdir Yang Maha Kuasa; tertegaknya kota suci yang mulia atas keimanan dan ketabahan hati seorang wanita!

Dari lembaran sejarah kota suci Makkah, kita beralih kepada sejarah kebangkitan Bani Israel. Setelah sekian lama hidup tertindas di bawah penguasaan Firaun yang zalim, Allah Ta’ala menghendaki kebebasan dan kemuliaan untuk mereka melalui Musa a.s.

Musa dilahirkan dalam suasana yang amat gawat. Maharaja Firaun sedang mengganas membunuh setiap bayi lelaki yang baru lahir akibat percaya kepada telahan seorang tukang sihir yang mendakwa seorang bayi lelaki yang dilahirkan pada waktu itu bakal menggoncang keutuhan singgahsana kebesarannya.

Bagaimana Musa terselamat dari angkara Firaun yang durjana itu? Siapakah yang bertanggungjawab menyelamatkannya?

Sesungguhnya yang bertanggungjawab secara langsung melindungi nyawa Musa adalah wanita!

Wanita-wanita yang berjasa itu terdiri dari bondanya, kekandanya dan bonda angkatnya, permaisuri Firaun sendiri.

Renungkan urutan detik-detik peristiwa penuh kecemasan yang dilalui oleh seorang bayi yang belum mengerti apa-apa serta peranan, kebijaksanaan dan ketabahan yang ditunjukkan oleh bondanya, kekandanya dan bonda angkatnya. Firman Allah Ta’ala bermaksud:

“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia. Dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka letakkanlah dia di dalam peti dan lepaskanlah dia ke sungai. Dan janganlah engkau berasa bimbang dan jangan pula berdukacita. Sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari rasul-rasul Kami”. Al-Qasas:7

Berbekalkan iman yang kental kepada janji Allah ‘Azza wa Jalla, ibu yang penyayang ini rela melepaskan bayinya yang suci ke dalam sungai dan melihatnya dengan penuh rasa pilu dan sayu yang tidak terungkapkan.

“Dan (sepeninggalannya) hati ibu Musa menjadi kosong! Sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah)”. Al-Qasas:10

Dengan keimanan dan ketabahan hati seorang ibu, Musa terselamat dari dibunuh apabila orang-orang Firaun menyerbu dan menggeledah rumahnya mencari bayi lelaki yang baru lahir!

Namun, ancaman maut belum berakhir. Sekali lagi Musa terperangkap. Dia dipungut oleh orang-orang Firaun lantas dengan segera mempersembahkan bayi yang tidak berdosa itu kepadanya. Pastinya Firaun tidak berlengah memerintahkan agar bayi itu dibunuh sebagaimana ribuan bayi yang telah dibunuh sebelumnya. Lalu siapakah yang menghalang Firaun dari melakukan perbuatan kejam itu? Tidak lain seorang wanita yang bijaksana: Asiah, permaisurinya. Allah berfirman maksudnya:

“Dan (tatkala melihat bayi itu) berkatalah isteri Firaun: “(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Al-Qasas:9

Dengan pujuk rayu seorang wanita, Musa terselamat. Pastinya dia bukan sebarang wanita. Jika tidak masakan dia berani mencanggahi keputusan sang maharaja yang zalim dan bengis! Dia adalah wanita yang pintar, cekal dan bersamangat kental.

Kemudian sekali lagi Musa menghadapi saat-saat yang amat kritikal apabila dia hampir kebuluran kerana enggan meminum susu para wanita yang dibawa kepadanya. Maka sekali lagi muncul seorang wanita.

Gadis kecil yang diperintahkan si ibu agar memerhati dan mengekori adik kecilnya hanyut di bawa arus. Dia tidak putus-putus memerhati dari jauh dalam keadaan yang penuh waspada agar tidak timbul sebarang suasana yang mencurigakan, yang akibatnya boleh membahayakan nyawa adik kesayangannya. Apabila mengetahui keluarga diraja sedang dihimpit kebuntuan melayan kerenah si bayi yang tidak mahu disusui, dia segera mengatur strategi. Dia menawarkan diri kepada pihak istana untuk mencarikan seorang wanita yang boleh menyusui dan mengasuh bayi istimewa itu.

“Dan Kami jadikan dia (Musa) dari mulanya enggan menyusu dengan perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya. (Melihatkan hal itu) kakaknya berkata: “Mahukah aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu serta mereka tulus ikhlas kepadanya?” Al-Qasas:12

“Maka dengan jalan itu Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita; dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar……” Al-Qasas:13

Demikian kebangkitan seorang rasul yang ditakdirkan oleh Allah untuk menyelamatkan kaumnya yang sekian lama ditindas oleh penguasa yang zalim. Suatu kebangkitan yang terpaksa menempuhi detik-detik yang mendebarkan bermula dari saat kelahirannya. Apa yang perlu diperhatikan ialah betapa setiap kali melewati saat kecemasan, dia diselamatkan oleh seorang perempuan.

No comments:

Post a Comment