Thursday, April 05, 2007

Kecemerlangan dan Kegemilangan Keluarga Tanggungjawab Semua

Pendahuluan
Cemerlang dan gemilang dua istilah yang cukup indah. Senang disebut, manis didengar, seronok diimpi. Rasa-rasanya, satu lagi istilah yang mungkin tidak sengaja ditinggalkan oleh penganjur ketika merangka tajuk ini, iaitu terbilang.
Kecemerlangan adalah satu tahap pencapaian yang diharapkan apabila kita melakukan sesuatu perkara. Ia berbeza berdasarkan kayu ukur yang digunakan kerana bagi setiap keadaan, setiap individu, setiap tempat ada kayu ukur tersendiri yang tidak sama antara satu sama lain. Contohnya seorang pelajar yang dungu, malas, selalu ponteng kelas, belajar di sekolah yang tidak cukup kemudahan, kalau lulus kesemua subjek yang diambil di dalam peperiksaan SPMnya, baginya sudah cukup cemerlang walaupun tidak ada A. Sebaliknya pelajar yang bijak, gigih, bercita-cita tinggi, belajar di sekolah berasrama penuh yang cukup lengkap kemudahannya, kalau dapat 7 1A daripada 9 matapelajaran yang diambil, tidak menerima keputusan itu sebagai keputusan yang cemerlang!

Keluarga Cemerlang
Kini ramai pihak memperkatakan mengenai kerapuhan institusi keluarga. Sebuah perkahwinan yang belum boleh dikira matang, terputus akibat konflik melanda rumah tangga. Harapan setinggi gunung yang diletakkan pada awal usia perkahwinan kadangkala memakan diri sehingga membuatkan ada pasangan yang sanggup melakukan tindakan kurang bijak kerana tidak boleh menahan lagi dugaan yang menimpa.
Kita juga sering dikejutkan dengan kejadian-kejadian tragis yang menghakis kekentalan sebuah institusi kekeluargaan. Umpamanya, kes pembunuhan anak-anak oleh ibu atau bapa kandung mereka sendiri dan kes perceraian yang semakin meningkat. Kejadian-kejadian seumpama ini menunjukkan betapa institusi keluarga pada hari ini sedang menghadapi pelbagai tekanan dalam mengharungi kehidupan yang amat mencabar di abad ini. Keluarga yang sepatutnya menjadi tempat menyuburkan kasih sayang, tempat berlindung yang selamat dan sejahtera bagi setiap ahli telah bertukar menjadi sebaliknya. Ibu bapa yang sepatutnya menjadi pelindung kepada ahli keluarganya serta suami/isteri yang sepatutnya berkasih sayang dan cinta mencintai telah bertindak menyimpang dari fitrah dan naluri kekeluargaan yang sepatutnya.
Ramai berpendapat institusi sosial yang kelihatan semakin luntur, rapuh dan tidak bermaya ialah institusi keluarga. Pembangunan fizikal yang begitu hebat berlaku tidak dapat mengangkat martabat keluarga. Sebaliknya sebagai unit terkecil institusi masyarakat, institusi keluarga dalam pengertian yang sebenarnya kian terancam dan kian pupus.
Roh sesebuah keluarga hampir tidak dapat dirasakan oleh anggota keluarga itu sendiri. Walaupun anggota keluarga dari segi fizikalnya tinggal di bawah bumbung yang sama tetapi hati, jiwa dan perasaan tidak bertaut. Wujud jurang yang sebahagiannya begitu dalam di sana sini. Jurang interaksi, jurang komunikasi, jurang kasih sayang dan kecintaan tanpa disedari semakin hari semakin meninggalkan kesan negatif yang tidak mudah diperbaiki dan ditangani.
Berbalik kepada keluarga cemerlang dan gemilang, apakah kayu ukur kita?
Untuk mengukur kecemerlangan sesebuah keluarga tidaklah terlalu sukar. Kita perhatikan istilah keluarga itu sendiri yang diterjemahkan daripada bahasa Arab ’USRAH’.
Huruf-huruf itu boleh dicerakinkan kira-kira begini:
U – untukmu
S – sayangku
R – rinduku
A – aman bagiku
H – harmoni buatku
Sebuah keluarga dikira cemerlang apabila setiap ahlinya menyayangi antara satu sama lain. Kesayangan yang mendalam menjadikan mereka sentiasa merindui setiap anggota keluarganya. Setiap ahli benar-benar berasa aman dan bahagia apabila berada di sisi keluarga tercinta lantaran suasana serta hubungan yang harmoni dan toleransi.
Tanggungjawab
Tanggungjawab membina keluarga yang cemerlang dan gemilang tidak seharusnya dibebankan ke atas pihak-pihak tertentu sahaja. Sebaliknya ia mesti dilihat sebagai tanggungjawab bersama semua pihak secara bersepadu.
Negara adalah satu keluarga besar di mana pemimpin tertinggi adalah ketuanya. Ketua negara wajib mempastikan setiap dasar yang digubal, baik dasar politik, ekonomi, pendidikan, penyiaran, pengangkutan dan sebagainya tidak menjejaskan kesejahteraan institusi keluarga. Begitu juga dengan undang-undang, peraturan dan akta.
Suami atau bapa adalah ketua kepada institusi keluarga yang dipimpinnya. Allah s.w.t. telah berpesan kepada semua ketua keluarga ”Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” At-Tahrim:6
Isteri atau ibu juga mempunyai tanggungjawab yang tidak kurang pentingnya. Antara yang disebut di dalam al-Quran ialah: ”....maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka)....” An-Nisaa’:34.
“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan juga seorang ayah karena anaknya, dan waris pun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” Al-Baqarah:233
Kepada anak-anak Allah berpesan: ”Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.” Luqman:14
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil". Al-Israa’:23-24
Ahli masyarakat tidak boleh memandang sepi apa yang berlaku di sekitarnya. Kepada semua umat Allah berpesan: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.” Al-Maa-idah:2
Dalam hubungan ini, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mencegah dengan tangannya. Jika tidak berkuasa, cegahlah dengan lisan. Jika tidak berkuasa, cegahlah dengana hati, dan itu merupakah selemah-lemah iman” Riwayat Muslim
Kewajipan-kewajipan yang diutarakan di atas semuanya merujuk kepada satu perkara sahaja, iman dan taat kepada Allah SWT. Perinciannya memerlukan waktu yang khusus dengan penglibatan semua pihak.
Kenyataan media Jamaah Islah Malaysia sempena sambutan minggu keluarga JIM dengan tema “ KELUARGA ITU SATU ANUGERAH ! HARGAILAH IA “, pada 10 Mac 2007/ 20 Safar 1428, mengandungi beberapa cadangan yang perlu diberi perhatian.
Cadangan-cadangannya:
1. Setiap ahli keluarga sentiasa bersyukur dan menghargai nikmat keluarga yang telah dianugerahkan ALlah SWT kepada kita serta berusaha bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan institusi ini bagi mencapai kebahagian dunia dan akhirat
2. Setiap ahli keluarga dibekalkan/didedahkan dengan kefahaman agama yang mantap sebagai bekalan kekuatan untuk menghadapi cabaran hidup serta berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada di dalam keluarga masing-masing
3. Bapa selaku ketua keluarga memainkan peranan sebagai ketua untuk mengemudikan, mengukuhkan institusi keluarga, memenuhi hak-hak ahli keluarga, mempunyai sikap penyayang & pelindung kepada ahli keluarga mereka, menjadi contoh yang terbaik (“role model”) dalam mendidik anak-anak untuk menghayati prinsip hidup yang baik dan menyuburkan suasana musyawarah dan semangat berpasukan di dalam rumahtangganya
4. ”Hari Keluarga Malaysia” diraikan setiap tahun di seluruh negara sebagai satu manifestasi peringkat kebangsaan terhadap kepentingan mengukuh dan mempertahankan institusi kekeluargaan di negara ini,
5. Pihak kerajaan menyediakan sumber tambahan untuk memberikan keutamaan dan penumpuan mendidik masyarakat supaya bersifat ”sayang keluarga”. ”Sayang Keluarga” melibatkan usaha pencegahan melalui program pembangunan sumber manusia (untuk ahli-ahli keluarga), penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas terhadap jenayah/kesalahan keluarga, merangka kurikulum pendidikan yang mesra-keluarga dan memastikan pihak pengurusan di tempat kerja (sektor kerajaan, swasta & syarikat individu) menyediakan peruntukan kewangan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti kekeluargaan di kalangan ahli-ahli keluarga pekerja.
6. Pihak media elektronik melakukan pengislahan berterusan dengan mengulangi iklan-iklan dan slot-slot tertentu yang menekankan mengenai kepentingan mewujudkan keluarga bahagia di samping mengelakkan slot-slot, siaran rancangan dan iklan-iklan yang memaparkan keganasan dan kebiadaban terhadap ibubapa. Dalam pada itu, pihak media cetak pula digesa agar meningkatkan kuota ruang dan sokongan terhadap penulisan berbentuk kekeluargaan.

Penutup
Dari keluarga lahirnya manusia, di dalam keluarga mereka membesar dan tercerna. Keluarga cemerlang cemerlanglah produknya. Siapakah yang menentukan kecemerlangannya? Saya dan anda semua!
Maznah binti Daud
9 Rabiul-Awwal 1428 / 28 Mac 2007
Untuk Seminar Keluarga, UPSI 3 April 2007.

No comments:

Post a Comment