Wednesday, May 21, 2008

Menghormati Ulamak Menurut al-Ghazali

Imam Al-Ghazali yang mendapat gelaran Hujjatul Islam merupakan ilmuwan ulung yang sangat berjasa terhadap perkembangan dunia keilmuan Islam. Nama lengkap beliau ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali at-Tusi. Lahir di Tus, Khurrasan pada tahun 450H. Beliau wafat pada hari Isnin 14 Jamadil Awwal, 505H bersamaan 1111M di tempat kelahirannya, Tus.

Ayahnya seorang ahli sufi yang sangat warak. Kerjanya memintal dan menjual benang yang ditenun daripada bulu biri-biri. Beliau telah mendedahkan anak-anaknya dengan asas ilmu tasawuf.

Imam al-Ghazali mendapat pendidikan awal di kampungnya sendiri dalam bidang fiqh. Kemudian meneruskan kembara ilmu ke Jurjan. Beliau pernah berguru dengan beberapa orang ulamak terkenal pada zamannya. Antaranya Imam al-Juwaini di Naisabur dan Nizam al-Muluk di Muaskar. Melalui Nizam al-Muluk, al-Ghazali diterima mengajar di Madrasah Nizamiyah di Kota Baghdad.

Sebagai seorang ulamak yang cintakan ilmu, beliau sering bermusafir dan mengembara dari sebuah negara ke negara yang lain bagi menambah ilmu dan menyebarkannya. Tidak hairanlah jika beliau sangat dihormati oleh pemerintah Bani Saljuk dan Abbasiah kerana ilmunya yang mendalam dan mempelopori bidang ilmu falsafah. Imam al-Ghazali berpegang kepada prinsip bahawa ilmu dan keistimewaan para sufi tidak dapat dipelajari melalui buku-buku sahaja. Sebaliknya ia diperolehi melalui pengalaman atau merasainya sendiri. Falsafah beliau telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri para intelek Islam seperti ar-Rumi, Ibn Rusyd, Syah Waliullah dan ramai lagi.

Imam al-Ghazali adalah ulama dan pemikir Islam yang sangat produktif dalam penulisan. Hasil karya baliau meliputi pelbagai bidang ilmu seperti ilmu al-Quran, aqidah, ilmu kalam, usul fiqh, fiqh, tasawuf, mantiq, falsafah, kebatinan dan lain-lain.

Antara karya beliau yang sangat berpengaruh ialah: Ihya’ Ulum ad-Din.

Di dalam bab pertama kitab yang berharga itu, beliau membicarakan tentang kelebihan ilmu, orang yang berilmu atau ulamak dan orang yang mencari ilmu.

Mengenai kelebihan ilmu dan orang yang berilmu, beliau mengemukan beberapa nas al-Quran dan as-Sunnah yang berkaitan dengannya. Antaranya firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

”... Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat....” (Al-Mujadalah : 11).

” Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab Allah”. (Ar-Ra’d : 43).

Manakala Hadis pula, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
”Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan untuknya, diberinya kefahaman yang mendalam tentang agama”. Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
”Ulamak atau orang-orang yang berilmu merupakan pewaris Nabi-nabi ’alaihimus-solatu was-salam”. Riwayat Abu Daud dan lain-lain.
”Sesungguhnya Allah SWT, para malaikatNya, penduduk langit dan bumiNya, sehingga semut di dalam sarangnya dan ikan di dalam laut berselawat (mendoakan keberkatan) untuk orang yang mengajar manusia akan kebaikan” Riwayat at-Tarmizi.
”Apabila mati seorang anak Adam, terputuslah amalnya kecuali daripada tiga perkara: ilmu yang dimanfaatkan, anak soleh yang sentiasa mendoakannya dan sedekah yang berterusan manfaatnya”. Riwayat Muslim.

Diceritakan bahawa antara pesanan Luqman al-Hakim kepada anaknya: ”Wahai anakku, duduklah kamu di sisi ulamak dan bergaul rapatlah dengan mereka. Sesunggunya Allah SWT menghidupkan hati manusia dengan ilmu sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan curahan hujan lebat”.

Ayat-ayat serta Hadis-hadis di atas menunjukkan betapa tinggi martabat orang yang berilmu di sisi Allah dengan sebab ilmu yang dianugerahkan kepadanya. Sesuai dengan kedudukan dan kemuliaannya, Imam al-Ghazali menggariskan beberapa panduan adab-adab dan kewajipan terhadap mereka yang berilmu. Adab-adab tersebut kini tidak begitu dititik beratkan.

Antara adab yang disarankan ialah merendah diri kepada orang yang berilmu khususnya yang mengajar kebaikan kepada kita. Sehubungan adab ini Allah SWT berfirman maksudnya:
” Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya) atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya”. (Qaf : 37)
Ayat di atas menjelaskan ilmu tidak akan diperolehi kecuali orang yang mempunyai hati dan menumpukan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh. Mendengar dan memberi tumpuan kepada apa yang sampaikan adalah manifestasi sifat merendah diri.

Beliau berkata, pelajar hendaklah merendah diri kepada gurunya dan menerima nasihatnya seperti pesakit yang jahil merendah diri dan menerima nasihat seorang doktor pakar yang mahir. Sikap sombong dan meninggi diri adalah penghalang kepada masuknya ilmu ke dalam hati. Seorang penyair mengungkapkan:
Ilmu memusuhi jejaka yang sombong
Sebagaimana air mengalir memusuhi tempat yang tinggi

Selain itu kita tidak harus teragak-agak untuk berbakti kepada guru dan orang yang berilmu dengan mengharap pahala dari Allah SWT.

Al-Sya’biy menceritakan, pad suatu hari dia membawa kepada Zaid bin Thabit RA unta untuk ditunggangi Zaid selepas beliau selesai solat jenazah. Tiba-tiba datang Ibn Abbas RA memegang dan menarik unta tersebut ke arah Zaid. Zaid dengan rendah diri berkata kepada Ibn Abbas: ”Lepaskanlah unta itu wahai sepupu Rasulullah!”. Sahut Ibn Abbas: ”Baginilah kami disuruh memuliakan ulamak”. Maka Zaid mengucup tangan Ibn Abbas seraya berkata: ”Beginilah kami disuruh memuliakan ahli keluarga Rasulullah SAW”. Riyawat al-Tabraniy dan lain-lain.

Bertanya adalah satu daripada proses pembelajaran. Allah menyuruh kita bertanya jika terdapat kemusykilan sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
” maka bertanyalah kamu kepada Ahluzzikri (orang yang berilmu) jika kamu tidak mengetahui”. (Al-Anbia’ : 7)
Namun, dalam mengemukan soalan pelajar juga herus berhati-hati. Kata al-Ghazali, jangan bertanya sesuatu yang kamu belum bersedia untuk memahaminya. Beliau memetik kata-kata Sayyidina Ali RA yang bermaksud: ”Sesungguhnya antara hak orang yang berilmu ialah tidak menyoalnya terlalu banyak dan tidak mendesaknya menjawab apa yang disoal. Jangan dedahkan rahsianya, jangan mengumpatnya, jangan mencari kesilapannya. Jika dia tergelincir, terimalah permohonan maafnya. Muliakanlah dia dan hormatilah dia kerana Allah selagi mana dia menjaga titah perintah Allah”.


Shah Alam
27 April 2008

No comments:

Post a Comment