Thursday, April 23, 2009

Seorang Mulhid Memeluk Islam Selepas Membaca Al-Quran.



Banyak ayat yang menjadi sebab seorang yang dulunya kafir memeluk Islam. Hal sebegini berlaku sejak zaman permulaan Islam sehingga ke hari ini. Dari masa ke masa kita temui pelbagai kisah menarik bagaimana seorang musyrik mendapat hidayah lalu memeluk Islam.

Kisah yang akan dipaparkan di sini adalah mengenai seorang mulhid (orang yang tidak percaya kewujudan Tuhan) yang sangat-sangat benci kepada agama dan tidak percaya sama sekali kepada Tuhan. Dia sering mengejek dan mempersendakan orang-orang yang beriman. Katanya: Kalau betul Allah itu wujud, kenapa Dia tidak muncul dan menunjukkan diriNya?

Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui telah memberikan satu pengajaran yang cukup berkesan terhadap kesombongan hamba yang dungu dan degil itu.

Pada suatu malam dia didatangi mimpi yang tak terduga. Dia lemas dipukul ombak di lautan yang bergelora. Dalam kecemasan berhadapan dengan kematian, tiba-tiba dia menjerit memanggil: Oh Tuhan!
Jeritan kuat yang terpantul dari mulutnya sendiri itu membuat dia terjaga. Seluruh tubuhnya menggeletar luar dan dalam, lahir dan batin. Perasaan hairan menyelinap ke dalam fikirannya, bagaimana mungkin dia memanggil Tuhan sedangkan dia seorang yang tidak pernah percaya kepada Tuhan?

Malam berikutnya dia didatangi mimpi yang sama dan berlaku seperti malam pertama. Dia mula resah dan diserang perasaan takut dan panic. Akhirnya dia bertekad untuk membaca al-Quran.
Mulalah dia membaca al-Quran dengan penuh minat. Apabila tiba satu ayat,
وَإِذَا مَسَّكُمُ ٱلضُّرُّ فِى ٱلۡبَحۡرِ ضَلَّ مَن تَدۡعُونَ إِلَّآ إِيَّاهُ‌ۖ فَلَمَّا نَجَّٮٰكُمۡ إِلَى ٱلۡبَرِّ أَعۡرَضۡتُمۡ‌ۚ وَكَانَ ٱلۡإِنسَـٰنُ كَفُورًا
Yang bermaksud: “Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah)”. (Al-Isra’ 17:67)
dia benar-benar terpukau. Fikirannya diselubungi tanda tanya bagaimana kata-kata ini boleh dikeluarkan oleh seorang manusia lebih 1400 tahun lalu, pada hal dia (Muhammad SAW) hidup di padang pasir, tidak pernah belayar di dalam laut? Bagaimana dia tahu keadaan yang dialami oleh orang yang hampir lemas serta dapat menceritakan dengan begitu tepat sekali?

Maka tiada lagi alasan kecuali akur kepada jawapan yang lahir dari fitrahnya sendiri. Kitab ini tidak mungkin ditulis oleh manusia, apa lagi seorang yang buta huruf seperti Muhammad. Jadi dari manakah datangnya kitab suci ini kalau tidak dari Tuhan Yang Maha Mengetahui yang cuba dipadamkan dari fitrahnya selama ini?

Leburlah segala kesombongan. Lenyaplah kekufuran. Dia tunduk, akur kepada kebenaran. Sesungguhnya tiada Tuhan yang layak dan berhak diimani dan disembah kecuali Allah.

Sahabat, usah keberatan untuk menghadiahkan kawan yang belum Islam senaskhah al-Quran (pastinya yang mengandungi makna dalam bahasa yang difahami kawan itu). Siapa tahu hadiah itu menjadi sebab dia mendapat hidayah dan memeluk Islam? Andai benar terjadi anda akan mengutip pahala yang lebih baik daripada dunia dan segala isinya!

Kisah di atas dipetik dari laman web: http://kaheel7.com

No comments:

Post a Comment