Wednesday, August 19, 2009

Berdakwah Setiap Hari

Ramadhan adalah peluang yang dibuka untuk kita menambah pahala sebanyak-banyaknya. Antara amal yang dijanjikan pahala yang besar dan berkekelan ialah dakwah.
Serulah seramai mungkin manusia kepada kebaikan Islam.
Gunakan pelbagai media dan pendekatan.
Alat komunikasi sekarang begitu canggih, mudah, pantas dan murah. Malah ada yang percuma. Manfaatkan dengan sebaiknya.
Untuk lebih memudahkan anda, saya senaraikan 40 ungkapan yang anda boleh pilih setiap hari.
Ungkapan-ungkapan ini saya petik daripada maksud al-Quran, Hadis yang sahih, kata-kata sahabat dan ulamak terbilang.
Hantarkan kepada sesiapa yang ingin anda hantarkan melalui email, sms, facebook dan lain-lain.
Sekiranya Allah membuka hati seseorang menerima hidayah kerana usaha anda maka ganjarannya lebih baik daripada dunia dan segala isinya.

Marilah kita lakukan sama-sama dengan ikhlas dan kita kongsi pahalanya, insya Allah.

40 panduan SMS

1. Sesiapa yang selalu beristighfar, Allah jadikan untuknya jalan keluar daripada segala kesempitan dan kesusahan – maksud hadis
2. Sesungguhnya amal yang baik itu menjadikan hati bercahaya, wajah berseri, rezeki yang luas dan perasaan sayang di hati manusia.
3. Al-Aqso mendambakan doa anda. Banyakkan berdoa untuknya ketika anda berpuasa.
4. Perkara yang paling dikesali oleh ahli syurga ialah membiarkan satu detik berlalu tanpa mengingati Allah.
5. Aku memohon kepada Yang menghimpunkan kita di dunia yang fana ini agar menghimpunkan kita semula di akhirat yang kekal abadi.
6. Bayangkan kehidupan di dalam syurga yang kekal selama-lamanya dan kehidupan di dalam neraka juga kekal selama-lamanya. Kehidupan manakah yang menjadi pilihan anda?
7. Sesungguhnya hati akan berkarat sebagaimana besi. Pengikis dan penggilatnya adalah istighfar
8. Allah berfirman maksudnya: teman-teman rapat hari ini akan menjadi musuh pada hari qiamat nanti kecuali orang-orang yang bertaqwa. Maka pilihlah teman anda dari kalangan mereka.
9. Kebahagiaan yang sebenar adalah menghimpunkan kebahagiaan dunia dan akhirat. Caranya ialah beriltizam dengan Islam
10. Sekiranya anda ditimpa pelbagai masalah, jangan berkata: ”Ya Allah, saya ada masalah besar!” Sebaliknya katakanlah! ”Wahai masalah, saya ada Tuhan Maha Besar yang membantu saya menyelesaikan kamu!”
11. Menghina saudara anda kerana satu maksiat yang dilakukannya adalah lebih besar dosanya daripada maksit itu.
12. Di dalam hati ada bara penyesalan yang tidak bisa dipadamkan kecuali dengan ridha di atas segala ketentuanNya dan sabar menerima ujian
13. Menghabiskan malam dengan tidur, kemudian bangun pagi dengan penuh penyesalan lebih baik daripada menghabiskan malam dengan qiam (solat) kemudian bangun pagi dengan perasaan ujub (bangga dengan ibadah yang banyak)
14. Rintihan penyesalan hamba yang berdosa lebih disukai Allah daripada alunan zikir hamba yang ria’.
15. Manusia akan mengalami dua jenis penyakit: penyakit hati dan jasmani. Penyakit jasmani akan berakhir dengan kematian, penyakit hati akan mula dirasai selepas kematian.
16. Menundukkan kepala kerana penyesalan, itulah ketinggian
17. Mengaku silap itulah tindakan paling tepat
18. Kesedihan hati tidak mungkin diubati kecuali dengan kegembiraan mengenal Allah dan berhubung denganNya.
19. Mungkin sedekah yang sedikit lebih cepat diterima oleh Allah daripada sedekah berjuta-juta. Maka segeralah memberi sedekah, jangan difikir berapa nilainya.
20. Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya
21. Sekiranya anda memerlukan cahaya untuk keluar daripada kegelapan, bacalah surah al-Kahfi pada setiap malam Jumaat
22. Peluang keemasan untuk memiliki sebuah rumah di dalam syurga: solat sunat 12 rakaat setiap hari
23. Dua mata tidak akan disambar api neraka: mata yang menangis kerana takut kepada Allah, mata yang berjaga mempertahankan agama Allah
24. Seandainya Allah jadikan engkau buta, dapatkah engkau melihat apa yang Allah larang engkau lihat? Tentu tidak! Jadi, engkau melihat perkara yang haram kerana nikmat penglihatan yang Allah berikan!
25. Seandainya Allah jadikan engkau pekak, dapatkah engkau mendengar apa yang Allah larang engkau dengar? Tentu tidak! Jadi, engkau mendengar perkara yang haram kerana nikmat pendengaran yang Allah berikan!
26. Seandainya Allah jadikan engkau bisu, dapatkah engkau cakap apa yang Allah larang engkau cakap? Tentu tidak! Jadi, engkau cakap perkara yang haram kerana nikmat pertuturan yang Allah berikan!
27. Seandainya Allah jadikan engkau lumpuh, dapatkah engkau kerjakan apa yang Allah larang engkau kerjakan? Tentu tidak! Jadi, engkau kerjakan perkara yang haram kerana nikmat kesejahteraan anggota yang Allah berikan!
28. Sesungguhnya Allah lebih gembira menerima taubat hambaNya daripada ibu yang menyambut kepulangan anaknya yang telah lama menghilang
29. Allah jadikan mati dan hidup kita untuk menguji siapa yang paling baik amalnya.
30. Makanan yang paling baik bagi seseorang ialah yang diperolehi daripada hasil usahanya sendiri
31. Setiap kebaikan ada nilai walau sekecilmana sekalipun
32. Senyuman adalah sedekah paling mudah, tak perlu modal namun keuntungannya tidak ternilai
33. Sesiapa yang menunjukkan jalan kebaikan, baginya pahala orang yang melakukan kebaikan itu
34. Abdullah bin Umar r.a. pernah berkata: seandainya mataku mengeluarkan setitis airmata kerana takut kepada Allah, lebih aku sukai daripada aku bersedekah seribu dinar
35. Manusia paling bodoh ialah orang yang mengikut hawa nafsu dan berangan-angan bahawa Allah akan memasukkannya ke dalam syurga – maksud hadis riwayat Ibn Majah.
36. Seandainya semua manusia diseru supaya masuk ke dalam neraka kecuali satu orang, maka aku berharap satu orang itu adalah aku. Dan seandainya semua manusia diseru supaya masuk ke dalam syurga kecuali satu orang, maka aku takut satu orang itu adalah aku – kata-kata Umar bin al-Khattab
37. Janganlah seseorang kamu mati kecuali dalam keadaan dia bersangka baik kepada Tuhannya – maksud hadis riwayat Muslim
38. Apabila terdapat empat perkara pada seseorang, maka dia adalah munafiq tulin sekalipun dia sembahyang, puasa dan mendakwa bahawa dia muslim. Empat perkara itu ialah: apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, apabila diberi amanah dia khianati dan apabila bertengkar dia zalim dan melampau - maksud hadis muttafaq ’alaih.
39. Sesiapa yang tidak ridha menerima ketentuan Allah, maka tidak ada penawar untuk mengubati kebodohannya itu.
40. Ikatan iman yang paling kukuh ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah – maksud hadis riwayat Ahmad

1 comment:

  1. Salam ustazah. Terima kasih atas saranan hari ini.ngasobah

    ReplyDelete