Sunday, August 09, 2009

BISIKAN CINTA RAMADHAN

Bisikan 1

Pujilah Allah dan bersyukurlah kepadaNya sebanyak-banyaknya kerana menyampaikan kita kepada Ramadhan sekali lagi.
Berapa ramai orang yang bersama dengan kita pada bulan Ramadhan tahun lalu, kini telah pergi mengadap Ilahi.
Maka pujilah Allah sebanyak-banyaknya. Bersyukurlah di atas peluang yang masih terbentang untuk kita mendekatkan diri kepadaNya, menambah pahala dengan melakukan kebaikan di bulan yang mulia penuh barakah ini.

Bisikan 2

Jadikan Ramadhan sebagai landasan untuk meluncurkan azam dan melancarkan misi meninggalkan maksiat secara besar-besaran.
Katakan:
selamat tinggal kepada maksiat!
Selamat tinggal kepada perangai jahat!
Hamburkan ucapan itu di wajah syaitan terlaknat!
Pergi engkau!
Pergi dari sisiku segala yang menjauhkan aku dari Tuhanku!
Bergembiralah menyambut janji Allah, taufiq dan hidayahNya. Dia pasti akan memimpinmu ke jalan yang diridhaiNya.

Bisikan 3

Ramadhan adalah bulan al-Quran.
Galilah makna-maknanya, fahamilah ayat-ayatnya, nikmatilah kelazatan membacanya!
Peruntukkanlah masa tertentu setiap hari untuk mendampinginya dengan membaca, memahami dan menghayati. Carilah kitab tafsir yang mudah difahami. Ia akan membantu memudahkan kita memahami kalam suci Allah Rabbul 'Izzati.

Bisikan 4

Jangan kita termasuk dalam golongan mereka yang pada siang hari tidur dan menganggur, malam berjaga membuat maksiat dan mungkar.
Sebaliknya penuhi waktu siang dengan zikir dan tilawah, waktu malam dengan solat dan ibadah.

Bisikan 5

Banyakkanlah infaq di bulan Ramadhan khususnya mereka yang dianugerahi rezeki yang berlebihan.
Beramai orang miskin dan kelaparan menanti ihsan dan belas kasihan kita. Bahagiakan hati kita dengan melihat mereka bahagian menerima pemberian dari kita.

Bisikan 6

Jangan berbuka puasa dengan perkara yang dilarang seperti menghisap rokok, menonton adegan lucah, cerita-cerita yang mempersendakan ajaran Islam, menghina kitab Allah serta rasulNya. Atau menghabiskan masa dengan mendengar musik dan lagu-lagu yang mengasyikkan dan tidak mengajak kepada kebaikan.

Bisikan 7

Banyakkan berdoa lebih-lebih lagi waktu sedang berpuasa. Nabi s.a.w. telah mengkhabarkan kita bahawa doa orang yang berpuasa itu tidak akan ditolak. Maka berdoalah untuk diri sendiri, keluarga, saudara-saudara seagama yang berselerak di seluruh pelusuk muka bumi ini. Doakan dengan penuh keikhlasan agar Dia membantu perjuangan kita menegakkan agama dan mendaulatkan syari’ah.

Bisikan 8

Bagi yang berkemampuan, kunjungilah Baitillah, tunailah umrah dan ziarahilah masjid Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya satu umrah di bulan Ramadhan menyamai satu kali haji bersama Nabi s.a.w.

Bisikan 9

Ketahuilah bahawa setiap malam di bulan Ramadhan Allah s.w.t. membebaskan sebilangan hambaNya dari api neraka. Iaitu hamba-hambaNya yang telah menyempurnakan puasa, mendirikan solat di waktu malam, membanyakkan amal kebaikan. Jangan lupakan peluang ini. Rebutlah anugerah agung ini dengan bersungguh-sungguh. Moga-moga diri kita termasuk dalam golongan hamba yang terpilih, bebas dari api neraka.

Bisikan 10

Hadiri majlis ilmu dan majlis zikir. Sesungguhnya itulah tempat kunjungan orang-orang yang beriman, tempat singgah orang-orang yang soleh. Allah s.w.t. berbangga menyebut nama-nama hamba-hambaNya yang berada di dalam majlis zikir di hadapan para malaikat yang berada di alam tinggi. Apabila kita bangun untuk beredar dari majlis zikir, kita bangun dalam keadaan dosa-dosa kita telah diampunkan. Alangkah bertuahnya.
Maka jangan beralasan untuk hadir ke majlis zikir.

Semoga Allah memberkati kita, mengampuni dosa-dosa kita, mengikhlaskan hati-hati kita dan menerima amalan kita. Amin

No comments:

Post a Comment