Sunday, August 30, 2009

IKTIKAF




Iktikaf bermaksud berada dalam masjid dengan niat bertaqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah’Azza wa Jalla sesaat atau lebih, baik waktu siang atau malam. Ia adalah satu daripada ibadah yang disyari’atkan ke atas umat Islam. Hukumnya sunat kecuali jika bernazar untuk melakukannya. Maka ia jadi wajib.

Waktu serta Tempoh Iktikaf

Harus pada bila-bila masa siang atau malam. Disunatkan membanyakkan iktikaf pada bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada 10 hari terakhir kerana Rasulullah s.a.w. melakukannya sehingga baginda wafat, kemudian amalan itu diteruskan oleh isteri-isteri baginda.

Tiada had minimum atau maksimum untuk iktikaf. Sah dilakukan di waktu siang sahaja atau malam sahaja melainkan orang yang bernazar untuk iktikaf pada waktu-waktu tertentu, maka wajiblah terikat dengan nazarnya. Bagi mereka yang mensyaratkan puasa maka minimum iktikaf adalah satu hari.

Syarat Iktikaf

1. Muktakif atau orang yang beriktikaf itu mestilah muslim, berakal dan suci daripada hadas besar.
2. Niat.
3. Izin suami (bagi bagi wanita).
4. Di dalam masjid.
5. Puasa (pendapat segolongan ulamak)

Masjid Tempat Iktikaf

Iktikaf mesti dilakukan di dalam masjid. Hal ini disepakati semua ulamak berdasarkan firman Allah yang bermaksud: ”..... dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. ....” (Al-Baqarah:187)
Masjid yang paling afdhal untuk iktikaf adalah Masjid al-Haram, kemudian Masjid al-Nabawi dan seterusnya Masjid al-Aqsa. Selain itu, semua masjid adalah sama. Sekiranya seseorang bernazar untuk iktikaf beberapa ketika di masjid tertentu (selain daripada tiga masjid di atas), tidak wajib ke atasnya pergi ke masjid yang dinazarkan itu. Sebaliknya sah baginya beriktikaf di mana-mana masjid sekalipun dan dikira telah menunaikan nazarnya.
Setengah ulamak mensyaratkan masjid tempat beriktikaf itu mestilah masjid yang didirikan padanya solat Jumaat dan solat jamaah lima waktu. Ini supaya dia tidak meninggalkan Jumaat dan jamaah kerana tidak boleh keluar dari tempat iktikafnya.

Tempat Iktikaf Bagi Wanita

Menurut Mazhab Hanafi, wanita harus beriktikaf di mana-mana masjid termasuk masjid di rumahnya, iaitu tempat yang disediakan khusus untuk dia bersolat di situ.
Menurut Mazhab Syafi’e dan Hanbali, wanita harus beriktikaf di masjid yang tidak didirikan solat jamaah dan Jumaat padanya kerana kedua-dua solat tersebut (jamaah dan Jumaat) tidak dituntut dan tidak diwajibkan ke atas mereka. Namun tidak harus bagi mereka iktikaf di masjid rumahnya kerana iktikaf adalah satu ibadah khusus yang dilakukan di dalam masjid sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah di atas.

No comments:

Post a Comment