Wednesday, May 19, 2010

Generasi Rabbani

Ubai bin Ka'ab r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengutusnya ke suatu daerah di Madinah untuk memungut zakat harta dari penduduknya. Ikuti kisahnya dalam melaksanakan misi tersebut:

Aku mengunjungi seorang lelaki dan meminta supaya ditunjukkan senarai harta yang ada padanya. Setelah membuat kiraan, maka aku mendapati dia hanya wajib membayar zakat sebanyak seekor anak unta. Lalu aku berkata kepadanya: "Serahkan kepadaku seekor anak unta. Ia merupakan sedekah yang wajib (zakat) ke atas kamu".

Lelaki itu menjawab: "Anak unta masih kecil. Ia belum mengeluarkan susu dan belum boleh ditunggangi. Ini untaku yang telah cukup umur, besar dan gemuk. Ambillah yang ini".

Aku menjawab: "Aku sekali-kali tidak akan mengambil lebih daripada apa yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. kepadaku. Di sana Rasulullah s.a.w. tidak jauh dari tempatmu. Jika kamu mahu menemuinya dan menawarkan apa yang kamu tawarkan kepadaku itu, lakukanlah!
Sekiranya baginda terima tawaranmu, aku terima. Jika baginda menolak, maka aku juga menolaknya".

Lelaki itu berkata: "Bawalah aku bertemu Rasulullah s.a.w."

Dia mengikutiku bertemu Rasulullah s.a.w. dengan membawa bersama unta yang ditawarkan kepadaku. Setelah sampai, dia berkata kepada baginda: "Wahai Nabi Allah, aku didatangi utusanmu untuk mengambil zakat hartaku. Demi Allah! Sesungguhnya tidak pernah datang seorang Nabi atau utusan Nabi sebelum ini untuk mengambil zakat daripada hartaku. Maka aku telah senaraikan semua harta milikku dan tunjukkan kepadanya. Dia memberitahuku bahawa aku wajib membayar seekor anak unta yang tiada susu dan tiada layak untuk ditunggangi. Tetapi aku minta supaya dia ambil untaku ini yang telah cukup umur, yang besar dan gemuk. Dia tidak mahu mengambilnya. Sekarang aku datang untuk menyerahkannya kepadamu, ambillah daripadaku ya Rasulullah!"

Baginda bersabda: "Memang apa yang dikatakannya itulah yang wajib ke atas kamu. Tetapi sekiranya kamu secara sukarela mahu memberi yang lebih baik, Allah akan memberi ganjaran pahala kepadamu dan kami menerima pemberianmu itu".

Lelaki itu berkata: "Inilah untaku ya Rasulullah. Ambillah!"

Maka Rasulullah s.a.w. perintahkan supaya diambil untanya sambil baginda mendoakan keberkatan untuknya dan hartanya.

Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim.

No comments:

Post a Comment