Tuesday, April 26, 2011

Doa untukmu

Antara perkara yang membahagiakan seseorang ialah rasa disayangi dan dihargai.
Seorang sahabat menceritakan kepada saya, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ditemui mati membunuh diri di landasan keretapi yang terletak kira-kira 50 km dari rumahnya. Untuk sampai ke situ dia mesti menukar haluan dan menukar keretapi beberapa kali. Di dalam biliknya ditemui sekeping nota yang ditulis sebelum dia membuat keputusan nekad untuk membunuh diri. Di dalam nota tersebut dia mencurahkan isi hatinya bahawa dia berasa sangat sunyi, hidup sendirian tanpa siapapun mempedulikannya. Ayah dan ibunya sibuk dengan kerjaya masing-masing. Sekiranya dalam perjalanannya nanti dia bertemu dengan seorang manusia yang senyum kepadanya, dia akan batalkan niat membunuh diri.
Ya! Hanya seorang yang senyum sudah cukup untuk dia rasa dihargai akan kewujudannya di muka bumi ini. Dan penemuan mayatnya di tempat yang begitu jauh dengan menaiki beberapa gerabak kereta api, membuktikan bahawa sepanjang perjalanan itu tiada sekuntum senyumanpun yang dilemparkan ke arahnya!
Lantas, untuk apa dia hidup di dunia ini?
Namun mukmin tidak akan mengalami semua itu. Walaupun tiada seorang manusiapun yang sudi melemparkan sekuntum senyuman atau mengungkap sekelimah ucapan sayang, mukmin tidak akan rasa kesepian. Allah sentiasa bersamanya, cinta Allah melimpah ruah meresapi seluruh jiwanya. Membaca kitab Allah, penuh dengan ungkapan cinta kepada sekelian makhluk-Nya, terutama yang memiliki sifat tertentu yang dianjurkan-Nya. Sesungguhnya Allah cinta kepada orang yang bertaubat dan membersihkan diri dari najis dan kekotoran, cinta kepada orang yang sabar, cinta kepada orang yang bertaqwa, cinta kepada orang yang berbuat kebaikan, cinta kepada orang yang mengikut Nabi s.a.w., cinta kepada orang berperang di jalan-Nya dalam satu barisan yang tersusun kukuh.
Tidak cukup sekadar itu, sekelian makhluk diperintahkan agar mencintai hamba yang dicintai Allah. Makhluk yang paling pantas menyahut perintah itu tentulah para malaikat yang tidak kenal erti derhaka. Renungkan ayat-ayat di bawah yang menceritakan betapa intimnya para malaikat dengan manusia yang dicintai Allah:
- Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu dan peliharalah mereka dari azab Neraka.
- Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka dan (masukkanlah bersama-sama mereka): Orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
- Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya).
(Ghafir 40: 7, 8, 9)

No comments:

Post a Comment