And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Sunday, August 21, 2011
Wahai insan, siapakah kamu?
Nukilan Imam Hasan al-Banna.
“Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu – (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? -
Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya;
Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun kejadianmu. “ (Al-Infitar: 6-8)
Wahai insan, siapakah kamu?
Adapun kami, para mukmin yang benar, kami berkata: kamu adalah ruh (ciptaan) Tuhan yang amat seni, hembusan ruhNya yang suci murni, ruh daripada ciptaan Allah. Dia menciptakan kamu dengan TanganNya, Dia meniupkan ke dalam jasad kamu daripada ruhNya, dan Dia menganugerahkan kamu kelebihan-kelebihan yang banyak berbanding dengan makhlukNya yang lain. Dia perintahkan malaikat sujud kepada kamu, Dia ajarkan kamu nama-nama semua perkara, Dia kemukakan kepada kamu amanah lalu kamu menyanggupinya. Dia curahkan ke atas kamu nikmat zahir dan batin, yang nyata dan tidak nyata. Dia sediakan untuk kamu semua yang di langit dan di bumi. Dia memuliakan kamu dengan kemuliaan yang sebenar-benarnya. Dia menicptakan kamu dengan ciptaan yang paling indah, paling sempurna, Dia menyediakan kamu dengan persediaan yang secukup-cukupnya. Dia anugerahkan kamu pendengaran, penglihatan, hati dan fikiran. Dia menerangkan kepada kamu dua jalan, memberikan kamu dua pilihan, mempermudahkan kamu merentasi jalan-jalan yang kamu mahukan. Dia menjadikan kamu berupaya meredah lautan, meneroka awan, mendahului arus eletrik, meleburkan atom. Dengan fikiran dan kekuatan yang ada pada kamu, kamu mampu menebusi lapisan-lapisan langit yang tinggi.
Maka adakah kamu fikir ada yang lebih hebat, lebih tinggi, lebih suci dan lebih mulia daripada kamu?
Ubatmu ada padamu tetapi kamu tidak nampak
Ubatmu daripada dirimu tetapi kamu tidak sedar
Kamu sangka kamu adalah sebutir jirim yang kecil
Padahal di dalam dirimu terperusuk alam yang sangat besar!
Dan kamu, selepas kehidupan di dunia yang singkat ini akan hidup kekal abadi tiada penghujung. Kamu hidup, kemudian dibangkitkan dan dihimpunkan. Kamu akan memulakan kehidupan yang mulia di negeri yang penuh kenikmatan dan keagongan. Seandainya kamu memahami rahsia tanggungjawab kamu di dalam hidup ini, pastinya kamu akan mengikhlaskan amal kamu untuk Tuan yang memiliki dirimu, yang berhak dan layak kamu sembahNya.
FirmanNya bermaksud:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu.
Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (Az-Zariyat: 56-58)
Dan tiadalah kematian yang kita takutkan itu melainkan suatu perpindahan dari kehidupan sekarang kepada kehidupan yang akan datang.
Dan tiadalah jasad ini melainkan sebuah sarang tempat kamu terkurung di dalamnya, sehelai pakaian yang akan kamu tanggalkan bila tiba masanya. Selepas itu kamu akan kembali ke hari pembalasan. Moga-moga Allah rahmati hambaNya yang arif ketika beliau bermadah:
Aku adalah seekur burung dan jasad ini adalah sangkarnya
Aku akan terbang meninggalkannya dan sarang ini tinggal menanggung beban
Aku di dalam bentuk rupaku dan jasadku ini bajuku untuk satu waktu
Aku kini bermunajat kepada Tuhanku dan aku melihatNya terang-terangan
Jangan kamu sangka mati itu mati, ia tidak lain hanyalah perpindahan dari sini ke sana!
Golongan materialis berkata: kamu wahai insan hanyalah segenggam tanah, setitik mani dari tulang sulbi yang dicampakkan ke dalam rahim. Kamu akan binasa bersama hari yang kamu lalui, kamu akan ditelan oleh batu nisan. Kamudian tidak ada apa-apa lagi selepas itu! Siapakah yang akan menghidupkan tulang belulang yang telah hancur luluh?
Demikian juga kata-kata golongan ini dari kalangan mereka yang terdahulu,
“Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman”. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.” (Al-Jatsiah: 24)
Golongan mereka masa kini pula berkata, “Kamu adalah gabungan unsur-unsur kebendaan dan perkembangan fisiologi dari satu tahap ke satu tahap. Perasaan, fikiran, kefahaman, kehendak dan keazaman, semua itu lahir daripadan percaturan benda-benda yang tidak bernyawa, hasil gabungan tanah dengan air semata-mata. Tiadalah kehidupan ini melainkan hari-hari yang kita lalui yang boleh dihitung. Masa inilah kita membina bangunan, merebut peluang menggapai kepuasan diri.”
Dunia tidak lain hanyalah makan, minum dan tidur
Jika perkara itu tidak kamu perolehi, maka ucapkanlah kepada dunia ‘selamat tinggal!’
Demikianlah wahai saudarku, isu kehidupan. Jika kamu perhati dengan halusi, kamu fikir dengan teliti, kamu tidak termasuk dalam golongan yang mensia-siakan kehidupan mereka, yang menghinakan keinsanan mereka, nescaya kamu akan dapat menetapkan matlamat hidup kamu dan mengetahui dengan jelas jalan kamu.
Apa yang aku ingin nasihatkan kamu ialah kamu ambil masa bersendirian di waktu malam atau siang untuk kamu melihat yang manakah antara dua pendapat tadi yang lebih baik dan lebih afdhal untuk kehidupan individu dan jamaah. Sehingga kamu benar-benar berpuas hati dengan pendapat pertama yang mana itulah fitrah, maka hadapilah dirimu, sempurnakan kelebihannya, angkat dia dari bergelumang dengan perkara remeh temeh dan mengejar matlamat yang tidak bermakna. Kamu berhubung dengan Tuhanmu yang Maha Tinggi, kamu sucikan dirimu dengan mengingatiNya, mentaati perintahNya, muraqabah serta takut kepadaNya. Sesiapa yang mengenali dirinya, sesungguhnya dia telah mengenali Tuhannya.
Sesungguhnya kamu telah dicalonkan untuk memikul satu tugas
Sekiranya kamu benar-benar menyedarinya dan menghargainya
Maka pelihara dirimu jangan sampai kamu akan mencurahkan air mata penyesalan.
Dan jangan hairan sekiranya ada di kalangan manusia yang memilih pendapat kedua kerana kita berada di antara dua persimpangan, sama ada fitnah atau hidayah!
“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.
Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.” (Al-A’raf: 175-176)
Moga-moga Allah ilhamkan kami dan kamu kepada kematangan dan tunjukkan kita jalan yang benar dan lurus. Amin.
amin .
ReplyDelete