Thursday, October 27, 2011

It’s Story Time

Suatu masa dahulu, ada seorang raja berasal dari salasilah raja-raja. Dia sangat kagum pada dirinya seolah-olah tiada makhluk ciptaan Allah yang lebih baik daripada dirinya. Dia sering berbicara tentang kebangsawanan darah yang mengalir di dalam tubuhnya. Di mana saja dia berada, dia dikelilingan oleh para penyair yang memuji-muji kehebatannya. Mereka mengarang syair, prosa serta puisi khusus untuk memuji dan memujanya.
Namanya terpahat di semua dinding-dinding istana, gambarnya tertera di mata wang emas dan perak kerjaannya.
Pada suatu hari, ketika angkatannya sedang berarak menuju ke satu destinasi, dia terpandang seorang lalaki sedang tekun menggali lubang-lubang kubur. Di sekelilingnya bertimbun-timbun tulang dan tengkorak manusia yang mana daging dan kulit yang membalutnya telah hancur di mamah bumi.
Dia berhenti lalu bertanya lelaki itu, apa yang sedang dilakukannya?
Lelaki itu berkata: “Patik berada di sini adalah semata-mata untuk berkhidmat kepada tuanku.”
Jawapan itu menimbulkan kehairanan yang tak terkira di hati raja. Dia berkata: “Bagaimana?”
Lelaki itu menghampirinya dan menjelaskan: “Tuanku, di tempat ini dulu telah berlaku satu pertempuran sengit yang menyebabkan ayahanda Tuanku terbunuh. Patik ingin mencari dan mengecami tulangnya untuk ditanam di tempat yang sesuai dengan kebesarannya. Namun, anehnya patik menemui sesuatu yang menakjubkan!”
Lelaki itu mengambil tulang-tulang dan membawanya ke hadapan raja sambil berkata: “Tuanku, ini semua tulang-tulang yang patik temui. Perhatikan betul-betul. Adakah tuanku dapat membezakan antara tulang raja dengan tulang rakyat jelata? Antara tulang orang kaya dengan tulang orang papa? Antara tulang panglima dengan tulang tentera biasa?
Sesungguhnya tulang-tulang semuanya sama di sisi tanah, wahai tuanku!”
Memang benar. Bumi sentiasa menanti. Perutnya sentiasa bersedia untuk menelan orang besar, yang sombong dan tertipu, yang berasa megah dengan apa yang dimilikinya di atas muka bumi. Namun tidak ada satupun daripada semua itu dapat dibawa bersama ke dalam perut bumi!
Kerana tanah tidak kenal siapa pemilik tulang. Semuanya sama. Semuanya akan dimamahnya.

No comments:

Post a Comment