Monday, January 02, 2012

Harapan di tahun baru


Alhamdulillah masih panjang lagi usia kita hingga mencecah tahun 2012. Tahun baru selalunya disambut dengan penuh harapan, penuh semangat, penuh azam, penuh angan-angan yang indah dan membahagiakan.

Yang miskin berharap akan jadi kaya. Yang sakit berharap akan sembuh. Yang bujang berharap akan bertemu jodoh. Yang gagal berharap akan Berjaya. Yang keciwa berharap akan bahagia. Dan seterusnya…

Islam adalah agama yang mengajar umatnya agar jangan putus harap. Malah, berharap adalah satu ibadah. Dengan berharaplah manusia akan meneruskan usaha dan perjuangan dalam hidup ini.

Tanpa adanya harapan, yang sakit tidak akan berubat, yang jahil tidak akan belajar, yang miskin tidak berusaha mencari harta, yang gagal tidak akan berusaha memburu kejayaan.

Seorang yang arif berkata: “Kalaulah tidak ada harapan, akan terhentilah pengabdian hati dan seluruh anggota badan. Insan tidak akan terdorong untuk taat. Kalaulah tidak kerana hembusan angin pengharapan perahu amalan tidak akan belayar di lautan kemahuan.”

Di dalam surah Ghafir, Allah s.w.t. mengisahkan seorang hambanya yang soleh, lelaki mu’min dari keluarga Firaun yang terpaksa menyembunyikan imannya berani manasihati kaumnya yang kafir kerana berharap kepada perlindungan Allah.

“Dan (pada saat itu) berkatalah pula seorang lelaki yang beriman dari orang-orang Firaun yang menyembunyikan imannya: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? ‘ – sedang ia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu? Kalau ia seorang yang berdusta maka dia lah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau ia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta.” (Ghafir:28)

Di akhir ucapannya, setelah nasihatnya tidak diendahkan, dia berkata sebagaimana yang diceritakan Allah di dalam kitab sucinya bermaksud:
“(Kiranya kamu tetap berdegil sekarang) maka kamu sudah tentu akan mengetahui kebenaran apa yang aku katakan kepada kamu; dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya”. (Ghafir:44)

Maka dengan menyerahkan urusannya kepada Allah, apa yang dia dapat?
“(Dengan keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah) maka ia diselamatkan oleh Allah dari angkara tipu daya mereka; dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya,” (Ghafir:45)

Daripada Jabir bin Abadullah r.a., dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda tiga hari sebelum kewafatannya (maksudnya): “Jangan seseorang kamu mati kecuali dalam keadaan dia bersangka baik kepada Allah ‘Azza wa Jalla.” Riwayat Muslim. Ertinya apabila dia telah berbuat kebaikan, maka hendaklah dia bersangka baik dengan meletakkan harapan bahawa Allah akan menerimanya.

Daripada Anas r.a., dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah Taala telah berfirman (maksudnya): “Hai anak Adam! Sesungguhnya selagi mana engkau menyeru NamaKu dan berharap kepadaKu, Aku akan ampunimu, apapun keadaanmu dan Aku tidak peduli. Hai anak Adam! Seandainya dosamu mencecah langit, kmeudian engkau memohon ampun, akan Aku ampunkan dan Aku tidak peduli. Hai anak Anak! sekiranya engkau datang kepadaKu dengan dosa sebesar bumi, kemudian engkau menemuiKu dalam keadaan engkau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu, Aku akan mendatangimu dengan kempunan sebesar bumi juga!” Riwayat at-Tirmizi

Manakah harapan yang lebih besar daripada harapan seorang hamba yang berdosa selain daripada mengharap keampunan Tuhannya? Dan kalau harapan sebesar itupun Allah tunaikan, apalagi harapan yang lebih enteng daripada itu?

Bagaimanapun tidak semua harapan itu dituntut dan dipuji, ada harapan yang tercela dan dilarang.

Harapan yang dipuji ialah: Harapan seseorang hamba yang melakukan amal soleh. Dia berharap agar amalannya diterima dan diberi pahala. Dan harapan seseorang hamba yang berdosa, kemudian dia insaf dan bertaubat. Dia berharap agar Allah menerima taubatnya dan mengampuni dosa-dosanya.

Manakala yang dicela ialah harapan seseorang yang bergelumang dengan dosa dan maksiat, kemudian dia berharap Allah akan merahmatinya tanpa taubat, tanpa amal. Itu merupakan harapan paling palsu dan dusta semata-mata.
Harapan yang hakiki ialah engkau berenang meredah badai menuju ketepian pantai. Manakala harapan yang palsu ialah engkau terapung di tengah lautan yang bergelora sambil berharap pantai akan bergerak mendekatimu.

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum

    Salam kenal, mohon izin salin dan tampal ke blog saya sebahagian kata-kata indah di sini...

    http://permatainn.blogspot.com/2012/01/sentiasa-mengharap.html

    ReplyDelete