And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Monday, April 02, 2012
Doa Yang Power
Di sebuah kampung yang kecil, terdapat seorang tukang besi dikenali sebagai Abu al-Yusr. Ketika dia menempa besi untuk menjadikan sesuatu, dia memanaskan besi dengan api kemudian membentuk besi tersebut dengan tangannya tanpa berlapik. Orang ramai yang melihatnya sangat kaget dan hairan, bagaimana dia boleh memegang besi yang sangat panas dan tangannya tidak terbakar atau melecur sedikitpun?
Mereka bertanya, bagaimana dia boleh memegang besi yang panas itu? Dia menjawab, bahawa itu terjadi berkat doa seorang wanita solihah. Lalu dia menceritakan kisahnya dengan panjang lebar. Katanya:
Sewaktu muda dahulu saya menghabiskan usia dengan berniaga. Saya mempunyai sebuah kedai di suatu kampung kecil seperti ini. Kebanyakan penduduknya adalah faqir. Saya pula memiliki harta yang banyak dan perniagaan saya sangat laris.
Jiran saya adalah seorang wanita cantik, ibu kepada beberapa orang anak yatim. Dia sangat miskin dan hidupnya susah. Suatu hari, dia datang ke kedai saya untuk meminjam wang buat membeli makanan dan pakaian untuk anak-anaknya. Saya bersetuju untuk memberikan apa yang dia minta dengan syarat dia membenarkan saya menidurinya. Lantas diapun mengamuk, memukul dan mencerca saya. Serta merta dia keluar dari kedai saya sambil mulutnya mengomel dengan ayat-ayat yang saya tidak memahaminya.
Pergilah dia mencari seseorang yang boleh menolongnya. Beberapa hari berlalu, tidak ada juga insan yang mampu menolongnya. Dia kembali semula kepada saya dalam keadaan yang amat menyedihkan, namun saya tetap meletakkan syarat yang sama. Dia tetap menolak syarat saya dan pulang dalam keadaan hampa.
Apabila keadaan bertambah mendesak, dia datang lagi merayu-rayu meminta tolong dan sayapun tetap dengan syarat yang telah saya letakkan. Dia menangis sepuas-puasnya. Namun dalam keadaan yang tidak mampu ditolak mengenangkan nasib anak-anak yang kelaparan, dia menerima syarat saya.
Saya menyuruh dia masuk ke dalam store supaya perbuatan kami tidak dilihat oleh seseorang. Saya masuk bersama dengannya dan kunci rapat-rapat semua pintu. Saya pun bersedia untuk memenuhi nafsu yang sekian lama terpendam. Dia berkata, “Kamu sudah kunci semua pintu wahai Abu al-Yusr?”
Saya menjawab penuh yakin, “Ya! Semua pintu telah saya kunci.”
Dia berkata, “Ada satu pintu lagi yang kamu belum kunci.”
Saya bertanya, “Pintu yang mana satu?”
Dia berkata, “Pintu Allah! Sesungguhnya kamu tidak akan dapat menutupnya. Sesungguhnya Allah melihat kamu ketika kamu mencerobohi apa yang diharamkannya. Dia lebih dekat dengan kamu daripada urat lehermu. Dan Dia akan menyoalmu tentang diriku pada hari Qiamat kelak.”
Mendengar kata-katanya itu, gelora syahwah di dalam diriku menjadi kaku. Saya beristighfar dan menyesal di atas ketelanjuranku. Lantas saya berkata kepadanya, “Wahai saudara perempuanku, ambillah apa saja daripada hartaku, doakan untukku dan simpankan rahsiaku.”
Tak terkira gembiranya dia. Dengan segera dia mengangkat tangan ke langit dan berdoa, “Ya Allah, ya Tuhanku! Haramkan ke atasnya api di dunia dan akhirat!”
Kemudian dia mengambil sekadar memenuhi keperluannya dan terus keluar.
Inilah kesan doanya di dunia, di mana besi yang panas tidak membekas di tanganku. Dan saya berharap di akhirat nanti doanya juga akan menyelamatkanku.
No comments:
Post a Comment