And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Tuesday, May 01, 2012
Demi maruah
Antara sifat terpuji yang dimiliki dan diwarisi bangsa Arab zaman berzaman ialah pemurah, berpegang kepada janji dan mempertahankan maruah.
Maruah bolehlah diertikan sebagai harga diri, nama baik serta kehormatan diri, keluarga dan bangsa. Ia sangat berharga dan mereka sanggup menggadai nyawa demi mempertahankannya.
Berbagai kisah yang menarik tercatat di lembaran sejarah berkaitan dengan penjagaan maruah di kalangan mereka. Antaranya kisah seorang pengembara dengan pencuri.
Diceritakan bahawa seorang pengembara telah mengembara dari desa ke kota dengan menunggang seekur kuda dari jenis baka yang baik.
Setelah puas mengembara, tibalah masa untuk dia berangkat pulang menemui keluarga tersayang.
Dia memulakan perjalanan pada waktu dhuha meredah padang pasir yang luas saujana. Hatinya girang, jiwanya lapang laksana padang pasir yang sedang dijelajahi ketika itu. Wajah isteri dan anak-anak yang dirindui bermain-main di mata silih berganti.
Beberapa ketika meredah sahara, haripun mula meninggi. Bahang kepanasan bagaikan tidak tertanggung. Butiran-butiran pasir laksana bara api yang sedang menyala.
Tiba-tiba dia terserempak dengan seorang lelaki terhuyung hayang menahan kepanasan dengan sepasang kaki yang tidak berkasut sedangkan pasir-pasir yang dipijak laksana bara api yang sedang menyala.
Tanpa berfikir panjang, dia lantas turun dari kudanya dan mempersilakan lelaki itu naik. Dia berjalan kaki mengiringi lelaki itu di atas kuda kesayangannya. Lelaki itu berulang kali mengucapkan terima kasih sambil mendoakan agar dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki orang yang menolongnya itu.
Tak sampai beberapa meter berjalan, tiba-tiba lelaki itu memecut kuda itu dan berlari meninggalkan pengembara yang baik hati. Barulah dia sedar rupa-rupanya lelaki itu seorang pencuri. Apa yang dilakonkan sebentar tadi hanya helah semata-mata.
Seketika dia tergamam. Kemudian cepat-cepat dia menjerit: “Ya akhi! Tunggu sebentar, dengar dulu apa yang ingin aku katakan!”
Pencuri itu memberhentikan kuda dan menanti apa yang akan dikatakan oleh mangsanya.
“Ya akhi, kuda itu halal untukmu. Tapi aku minta kamu rahsiakan peristiwa ini dari diketahui orang. Jangan biarkan perkara ini tersebar di kalangan kabilah-kabilah Arab. Kalau mereka tahu perkara seperti ini berlaku, tentulah orang yang kuat tidak akan menolong orang yang lemah, orang yang menunggang tidak akan kasihan kepada orang yang berjalan kaki. Maka jadilah padang pasir suatu kawasan yang sunyi daripada maruah. Hilang maruah, hilanglah keindahan padang pasir ini kerana maruah adalah perhiasan baginya. Padang pasir adalah tempat bertandang kemurahan, kemuliaan dan ketinggian budi!”
Mendengar kata-kata pengembara itu, pencuripun berpatah balik. Malu dan menyesal di atas ketelanjuran diri sendiri. Dengan nada kesal dia berkata kepada pengembara: “Sesungguhnya kemuliaan itu akhlak yang terpuji, kemaafan itu tabiat yang baik. Maka maafkan kesilapanku. Sesungguhnya aku pulangkan kudamu wahai pengembara yang mulia kerana takut suatu hari nanti orang akan berkata ‘orang Arab berbuat jahat kepada orang yang berbudi kepadanya’, dengan itu hilanglah maruah dari pasir-pasir sahara ini.”
div dir="ltr" style="text-align: left;" trbidi="on">
No comments:
Post a Comment