Thursday, August 16, 2012

10 Panduan Menyambut Hari Raya

Hari raya fitrah, atau ‘eidul-fitri merupakan satu anugerah Allah kepada hamba-hambaNya yang telah menjalani ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadhan.

An-Nasa’e dan Ibn Hibban meriwayatkan daripada Anas r.a. katanya: Nabi s.a.w. telah tiba di Madinah. Di kalangan penduduk Madinah terdapat dua hari di mana mereka bermain bersuka ria pada dua hari tersebut. Maka baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah gantikan untuk kamu dengan dua hari yang lebih baik daripada keduanya: Hari (raya) al-Fitri dan al-Adha.

Daripada Aisyah r.a., beliau menceritakan bahawa Abu Bakar r.a. datang ke rumahnya pada Hari Mina (Hari Tasyriq). Pada ketika itu terdapat dua orang kanak-kanak perempuan sedang menyanyi sambil memalu kompang. Nabi s.a.w. pula menutup muka dengan bajunya. Lantas Abu Bakar mengherdik kedua-dua kanak-kanak perempuan itu. Maka Nabi s.a.w. menyelak mukanya lalu bersabda: “Wahai Abu Bakar, biarkanlah mereka berdua kerana hari ini adalah hari raya.” Murttafaq ‘alaih.

Jelas bahawa hari raya adalah satu anugerah, rahmat dari Yang Esa. Justeru, apa yang patut dilakukan ketika menyambut hari raya?

1. Takbir bermula dari tenggelam matahari akhir Ramadhan dan berakhir ketika imam keluar untuk menunaikan solat sunat hari raya. Firman Allah Ta’ala bermaksud: “…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah:185) Daripada az-Zuhri, dia berkata: “Adalah menjadi kebiasaan manusia bertakbir pada hari raya ketika mereka keluar dari rumah-rumah mereka sehingga mereka sampai ke tempat solat dan sehingga imam keluar (ke tempat solat). Apabila imam keluar, marekapun diam (berhenti dari bertakbir) dan apabila imam bertakbir (takbiratul-ihram), mereka bertakbir (takbiratul-ihram).” Riwayat Ibn Abi Shaibah. Lafaz takbir adalah:
الله اكبر الله أكبر لا إله إلا الله والله أكبر , الله أكبر ولله الحمد
Tambahan daripada itu adalah sesuatu yang baik. Kata asy-Syafi’ei, tambahan yang paling aku sukai ialah:
الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا ،لا إله إلا الله ولا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين ولو كره الكافرون، لا إله إلا الله وحده صدق وعده ونصر عبده وهزم الأحزاب وحده، لا إله إلا الله والله أكبر
kerana Nabi s.a.w. menyebut lafaz yang sedemikian di atas bukti Safa sebagaimana riwayat Imam Muslim.

Takbir disunatkan kepada semua pada malam hari raya, di masjid-masjid, di rumah-rumah, di jalan-jalan, secara bersendiri dan berkumpulan, orang yang bermuqim dan bermusafir.

2. Mandi. Imam an-Nawawi berkata di dalam kitab (al-Majmum’): Disunatkan mandi pada dua hari raya. Perkara ini tiada khilaf mengenainya dan telah menjadi pegangan. Telah diriwayatkan bahawa Ibn Umar melakukannya, di samping qias kepada sunat mandi pada hari Jumaat. Waktu sunat mandi adalah selepas terbit fajar, iaitu selepas masuk waktu subuh. Jika mandi sebelum itu, sebahagian ulamak berkata harus, sebahagian lagi berkata tidak dapat pahala sunat.

3. Berhias dengan memakai pakaian yang baru atau yang cantik jika tidak dapat mengadakan yang baru. Daripada Abdullah bin Umar r.a. katanya: Umar telah mengambil sehelai jubah sutera yang dijual di pasar lalu dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Dia berkata: “Ya Rasulullah, belilah jubah ini. Anda boleh berhias pada hari raya dan ketika menyambut rombongan (yang berkunjung dari jauh)”. Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya: “Sesungguhnya pakaian ini tidak sesuai.” Muttafaq ‘alaih. Nabi s.a.w. menolak baju tersebut kerana ia diperbuat daripada sutera, tetapi tidak membantah kata-kata Umar untuk berhias pada hari raya.

4. Makan sebelum keluar ke tempat solat hari raya. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. tidak keluar ke tempat solat pada hari ‘Eidul-Fitri sebelum baginda makan beberapa biji kurma. Dan baginda makan dalam bilangan ganjil. Di dalam syarah Hadis ini, Ibn Hajar berkata: hikmah baginda makan sebelum solat adalah untuk mengelak sangkaan sesetengah orang yang mungkin akan menyangka, wajib berpuasa sehingga selesai solat sunat hari raya.

5. Pergi ke tempat solat melalui satu jalan dan balik dari tempat solat melalui jalan yang lain. Jabir bin Abdullah r.a. berkata: Nabi s.a.w., ketika hari raya berjalan (waktu pergi dan pulang dari tempat solat) pada jalan yang berlainan. Riwayat al-Bukhari.

6. Sunat pergi ke tempat solat dengan berjalan kaki kerana itulah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada Ibn Umar dan Ali r.a.

7. Solat sunat hari raya. Ia sunat dilakukan di tanah lapang seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, kecuali terdapat halangan seperti hujan, cuaca terlalu sejuk dan sebagainya. Jika luput solat sunat pada hari raya, sunat diqadha pada keesokan harinya di waktu yang sama dilakukan secara bersendirian atau berjamaah tanpa membaca khutbah. Sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka gugur kewajipan solat Jumaat ke ata mereka yang telah menunaikan solat sunat hari raya. Mereka hanya wajib menunaikan solat Zohor. Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya telah berhimpun pada hari ini dua hari raya. Maka sesiapa yang mahu meninggalkan solat Jumaat, telah memadai untuknya solat hari raya. Namun kami tetap melaksanakan solat Jumaat.” Riwayat Abu Daud.

8. Sunat mendengar khutbah selepas solat. Ia tidak wajib, tetapi mendengar lebih afdhal. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya kami menyampaikan khutbah. Sesiapa yang suka duduk untuk mendengarnya, hendaklah dia duduk dan sesiapa yang suka untuk beredar, hendaklah dia beredar.” Riwayat Abu Daud.

9. Tahinah kepada satu lain. Terdapat beberapa riwayat bahawa para sahabat r.a. serta salaf as-soleh selepas pulang dari solat saling mengucapkan tahniah kepada satu sama lain dengan ucapan:
تقبل الله منا ومنكم
Walau bagaimanapun tiada riwayat yang thabit daripada Rasulullah s.a.w. mengenai ucapan itu. Maka ia tidak boleh dikatakan sunnah. Ia boleh dikatakan sebagai satu adat yang baik dan tidak bercanggah dengan Syariah.

10. Lahirkan kegembiraan dengan makan, minum serta hiburan yang harus. Daripada Aisyah r.a., beliau berkata: “Abu Bakar datang ke rumahku pada hari raya. Ketika itu terdapat dua orang kanak-kanak perempuan Ansar sedang menyanyikan lagu yang masyhur di kalangan orang Ansar berkenaan Hari Bu’ath (peperangan yang berlaku sebelum Islam). Dua kanak-kanak itu bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata: “Adakah terdapat seruling syaitan di rumah Rasulullah s.a.w.?” Maka Rasulullah menjawab: “Wahai Abu Bakar, bagi setiap kaum itu ada hari raya. Dan hari ini adalah hari raya kita.” Al-Bukhari.

Moga-moga puasa yang telah kita jalani dan hari raya yang kita rai penuh rahmah dan barakah daripada Allah ‘Azza wa Jalla.

No comments:

Post a Comment