Sunday, October 14, 2012

Cabaran menjadi ibu


Ibu. Sungguh indah nama itu. Seindah kasih dan cinta ibu kepada anak-anak. Seindah peranan serta kedudukan yang diberikan kepada ibu.

Mungkin tidak ada yang tidak pernah mendengar ungkapan bahawa syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu. Ungkapan yang lahir dari lidah seorang insan paling mulia yang tidak bercakap menurut hawa nafsu, malah dari hembusan wahyu Yang Maha Berkuasa.

Namun, siapa tahu betapa berat, betapa sukar cabaran yang harus dilalui oleh insan bernama ibu? Hanya yang bergelar ibu yang tahu seglanya. Dan alangkah moleknya apabila kita telah bergelar ibu dan telah merasai pahit getir menjadi ibu, maka kitapun mampu menghargai semua wanita yang telah dan bakal menjadi ibu? Apalagi ibu kepada kita sendiri dan ibu kepada orang yang dengan kewujudannya melayakkan kita bergelar ibu?

Sungguh tak terungkap oleh lidah, tak tercatat dek mata pena jerit perit yang dialami. Seawal waktu mengandung hingga saat melahirkan, menyusu dan membesarkan. Doa siang dan malam tak pernah jemu dan bosan supaya anak jadi soleh dan solehah penyejuk mata penenang hati di dunia dan akhirat.

Sampai umur tadika, hantar ke tadika. Pastinya pilih tadika yang berlandaskan Islam. Umur sekolah hantar ke sekolah. Habis sekolah masuk ipt. Keluar ipt anakpun dapat kerja dan kemudian kawin, dapat anak dan ibupun jadi nenek.

Berakhirkah sudah cabaran sebagai ibu? Sebenarnya, inilah cabaran yang sebenarnya. Kerana pada kita inilah masa ibu melihat hasil kerja tangannya, sama ada anak itu menjadi orang seperti yang diimpikan atau sebaliknya.

Ya! Bila anak sudah berkahwin!

Berkahwin maknanya anak menjadi anggota dua keluarga atau lebih. Bagaimana anak membawa diri di rumah mertuanya? Tentulah mertuanya akan menilai perangai dan tingkah laku anak sebagai hasil didikan kita, ibunya.

Kalau anak tak tahu layan kita sebagai ibunya, kita tegur, marah atau diam. Muhasabah diri sendiri, mungkin silap kita tak didik dengan sempurna. Tapi kalau anak tak tahu layan ibu atau ayah mertuanya, bagaimana? Mungkin akan terbayang di mata dan hati mereka silap besanlah agaknya?

Kalau anak pergi ke rumah mertua, tahukah dia ambil hati, gembirakan mertuanya walau hanya dengan menulung lipat kain dan basuh sebiji periuk yang kotor di dalam sinki?

Kalau ibu atau ayah mertuanya sakit, tahukah dia layan, tanya khabar sakit apa, bila sakit, sudah ambil ubat atau belum atau hanya diam membisu seribu bahasa? Atau sekali sekala jenguk di muka pintu tanya nak makan apa? Tahukah dia bahawa orang sakit bukan nak makan atau minum, tapi dia nak belaian, usapan dan perhatian? Kena ajar jugakah semua itu? Tidakkah dia belajar ketika ibu menjaganya sewaktu dia kecil dahulu?

Semuanya menjadi cabaran yang menggoncang hati ibu. Rupanya mendidik anak bukan sekadar menghantar mereka masuk tadika, sekolah, ipt, ikut sistem tarbiah mustawa 0 berapa. Tapi perlu diajar supaya mereka dapat menyelami betapa dalam pahit getir hati ibu, mampu mendongak ke puncak pengharapan seorang ibu, mampu memahami jalur-jalur pemikiran insan bernama ibu.

Ya Allah, ampuni dosa hambaMu yang hina dan lemah ini sekiranya aku tidak berjaya mendidik anak yang berbakti kepada ibu bapa mereka dan tidak menjadi menantu yang berguna kepada ibu bapa mertua mereka. Padahal Rasul-Mu s.a.w. terlah bersabda bahawa Engkau hanya akan redha pada seseorang hamba jika ibunya redha. Jangan hukum mereka kerana dosaku ya Allah...


No comments:

Post a Comment