Monday, May 27, 2013

Jelajah USA 2013 - I


Hari Khamis 2 May 2013, jam 23.50 dengan berat hati aku melangkah meninggalkan tanah air yang panas membahang dengan pelbagai isu dalam menghadapi PRU 13 yang bakal berlangsung pada 5 May 2013. Aku bagaikan tersepit di antara dua panggilan; panggilan naluri keibuan yang ingin menyaksikan upacara penganugerahan ijazah kepada seorang anak, dan panggilan tanggungjawab sebagai rakyat dalam menentukan kepimpinan negara untuk tempoh lima tahun akan datang. Namun, aku seolah-olah tidak dapat membuat pilihan kerana visa dan tiket telah pun dibeli beberapa bulan sebelum perisytiharan pembubaran parleman dan penetapan tarikh PRU 13.

Penerbangan dengan American Airlines melalui jalan London, Chicago, Detroit mengambil masa lebih kurang 27 jam. Cuaca masih tidak menentu antara sejuk dan panas musim bunga. Musim sejuk yang baru berlalu meninggalkan pokok-pokok tidak berdaun. Banyak yang masih gondola. Namun pada masa yang sama ada setengah pokok yang telah galak berbunga menyerlahkan aneka warna yang sangat indah dan mempersona.

Dari lapangan terbang Detroit, singgah di sebuah masjid yang didirikan oleh penganut Syi’ah, merupakan antara masjid tertua dan terbesar di Amerika. Solat jamak Zohor dan Asar.

Kemudian menjamu selera di Restoran Arab, Alsaha.

4 May 2013, hari yang dinantikanpun tiba. Majlis Graduasi yang gilang gemilang mengikut tradsi ‘Orang Putih’. Berbeza dengan Majlis Konvokesyen yang pernah aku hadiri di sini. Suatu yang menarik, ketika menyampaikan ijazah, penyampai itu tidak menghulurkan tangan untuk bersalam dengan pelajar wanita yang memakai tudung. Diapun tahu menghurmati pegangan seorang muslimah. Sekalung tahniah buat anakku, Muhammad 'Aakif dan kawan-kawan seangkatan dengannya.


Pada malamnya, merupakan siang hari 5 haribulan 5 di Malaysia di mana sedang berlangsungnya pengundian di seluruh Negara. Sepanjang malam tidak dapat melelapkan mata disebabkan mata masih belum dapat disesuaikan dengan perubahan waktu siang dan malam dan sebab kedua pastinya kerana hati dihambat debaran mengikuti pelbagai karenah pengundian di pusat-pusat mengundi yang dilaporkan melalui internet, minit demi minit.

Pagi 5 May di sini aku dijemput mengisi dua slot ceramah kepada sekumpulan pelajar yang datang dari pelbagai pelusuk bumi USA, lelaki dan perempuan. 

Waktu itu, pengiraan undi dan pengumuman keputusan undian sedang berjalan. Pastinya sedikit sebanyak mengganggu penumpuan terhadap ceramah yang disampaikan. Boleh dikatakan, ceramah diselang seli dengan melihat keputusan setiap kali muncul pengumuman terbaru. Sedih dan hampa tidak dapat dipadam dengan mudah apabila keputusan tidak seperti apa yang diharapkan. Cuma, perasaan bersalah kerana tidak mengundi sedikit terubat apabila mengetahui kawasan tempat mengundiku tidak kalah, Alhamdulillah. Sebaliknya calon yang mengatakan dia yakin 101% akan menang itulah yang tumbang dengan izinNya.  Kalau ditakdirkan dia menang, pastinya aku akan rasa berdosa kerana menjadi sebahagian daripada sebab dia menang.

Urusan graduasi telah selesai, Alhamdulillah. Kini tiba pula urusan jelajah. 6 May, tempat pertama yang dituju ialah Holland, sebuah taman yang dipenuhi bunga tulip yang bermacam-macam bentuk dan warna yang indah.




Bersambung, in syaa’ Allah

No comments:

Post a Comment