Sunday, August 18, 2013

Kebijaksanaan Mursi dalam memerintah dengan Hubb (kasih sayang)




Nukilan: Sobir Masyhur

Di dalam ucapan-ucapannya, Mursi sering berkata "Aku hendak memerintah kamu dengan hubb". Ia merupakan ungkapan yang tidak pernah menarik perhatianku sama sekali, dan aku tidak pernah peduli langsung.

Dan hari-haripun berlalu sehinggalah samseng yang gila lagi bodoh, as-Sisi menculik Presiden kami yang dipilih secara sah. Maka Muhammad Backus mengeluarkan kenyataan di dalam satu link mempersenda-sendakan orang bodoh dan kenyataan Mursi bahawa dia hendak memerintah dengan hubb.

Aku kembali kepada diriku, dan aku teringat ungkapan Mursi yang diulang-ulangnya lebih daripada satu kali. Aku berkata kepada diriku, ternyata bahawa sesungguhnya dia adalah seorang lelaki yang sungguh-sungguh melimpah ruah dengan sifat kemanusiaan. Tetapi dalam pemerintahan, tidak ada tempat untuk hubb, mesra dan kasihan belas. Dan dia pernah menangis kerana seorang ibu bersetuju membenarkan orang mengupah anaknya sebanyak 50 junaih (paun Mesir) supaya membaling molotov ke arah istana ittihadiyyah. Ibu itu meletakkan di dalam saku baju anaknya secubit kertas yang tertulis alamatnya untuk memudahkannya menemui mayat anaknya sekiranya dia mati dalam pertembungan di situ.

Dan aku terus berbisik kepada diriku: Mursi adalah seorang yang baik dan penyayang lebih dari yang sepatutnya. Dengan sifat kasihnya yang melampau itulah dia telah dipecat, yang mana itu merupakan kehancuran bagi tentera, polis, mahkamah dan rakyat. Sedangkan Mesir selama-lamanya tidak akan tegak berdiri tanpa presiden yang dipilih secara sah.

Hari-hari terus berlalu. Jutaan rakyat telah keluar berhimpun. Mereka mengangkat gambar Mursi di jalan-jalan. Mereka menciumnya dalam keadaan menangis seperti kanak-kanak yang memeluk ibunya yang telah meninggal dunia dan memanggil-manggilnya agar kembali hidup semula.

Kita melihat para demonstran mengangkat gambar-gambar Mursi berjam-jam lamanya tanpa penat dan jemu. Mereka melaungkan namanya. Bahkan dengan menyebut namanya sahaja di hadapan mereka sudah cukup untuk membuatkan airmata mereka mengalir. Mereka rindu untuk melihat wajahnya. Hati mereka terbakar, tidak tenang sehingga mereka mengetahui keadaan dirinya dan kesihatannya. Cinta mereka kepada Mursi mengatasi cinta Antarah kepada Ablah dan cinta Qais kepada Laila.

Para syuhada' yang mara ke depan berhadapan dengan tentera Mesir yang khianat ketika mereka menyerang Rabi'ah al-Adawiyyah, mereka mara dengan mengangkat dua senjata, iaitu Kitab Allah dan gambar Presiden Mursi. Dua senjata itulah yang membuatkan para pengkhianat dari kalangan tentera dan polis tidak lena tidur.
Aku mula memahami betapa mendalamnya ungkapan Mursi "Aku hendak memerintah kamu dengan hubb". Maka sekarang Mursilah yang menjalankan demonstrasi dan menggerakkan dunia dengan hubb sahaja, tanpa berhubung, tanpa menggunakan tentera, tanpa kereta kebal dan tanpa kapal terbang.

Sehinggakan sekarang ramai di kalangan pengikut-pengikut as-Sisi yang dungu muncul di media-media sambil berkata: Mursilah penyebab kepada apa yang berlaku. Mursilah penyebab kepada keluarnya para demonstran. Mereka berkata: kalau Mursi mengalah dan meletakkan jawatan, segalanya akan selesai.

Aku mula berfikir dan memerhati keadaan Mursi. Aku membandingkan gaya pemerintahannya dengan hubb (yang kebanyakan orang menamakannya lemah) dengan gaya as-Sisi yang memerintah dengan membakar penentangnya hidup-hidup (yang orang namakan sebagai tegas).

Maka aku dapati bahawa sesungguhnya Mursi jauh lebih cerdik dan mempunyai pandangan yang jauh lebih ke depan. Dia tidak terikut-ikut seruan kebanyakan orang yang mengangkat slogan memukul dengan tangan daripada besi.

Aku membandingkan antara natijah memerintah dengan hubb sebagaimana yang dilakukan oleh Mursi dengan memerintah dengan besi dan api sebagaimana yang dilakukan oleh pengkhianat as-Sisi.

Aku dapati bahawa Mursi mampu dengan gaya hubbnya menambah ekspot sebanyak 17% sepanjang pemerintahannya, mengurangkan impot sebanyak 11%, meningkatkan pelancongan sebanyak 25%, menambah hasil keluaran gandung, mengeluarkan monitor komputer dan motor bagi kereta pertama Mesir.

Ketika pemerintahannya, tidak ada mana-mana negara asing yang berani masuk campur dalam urusan dalaman negara. Tidak ada mana-mana pihak luar yang berani menjadi orang tengah antara Mursi dengan penentangnya.

Aku berkata kepada diriku: kalaulah Mursi mendengar gesaan setengah pihak supaya memukul dengan tangan besi penentangnya sebagaimana yang dilakukan oleh as-Sisi pengkhianat, nescaya zamannya membawa kita semua memasuki perang saudara, menghancurkan ekonomi dan pelancongan, merebaklah huru-hara sebagaimana telah berlaku sekarang, pemodal-pemodal asing akan lari sebagaimana sekarang ini syarikat-syarikat internasional di Mesir telah ditutup.

Aku baru faham bahawa Mursi adalah seorang lelaki yang pintar, orang yang paling berpandangan jauh dari kalangan kita, paling matang akalnya, paling stabil emosinya. Lebih daripada semua itu, dia merupakan seekur singa yang ditambat, yang mana kereta kebal, senapang, kapal terbang sekalipun tidak mampu untuk menggoncangkan walau sehelai rambut dari kepalanya. Dia akan mencabar semua itu dengan keberanian yang tiada tolok bandingnya.

Sungguh! Kereta kebal, senapang dan kapal terbang tidak mampu untuk menggoncangkan walau seurat rambut dari kepalanya. Cuba kamu semua ingat ucapan terakhirnya. Dia tidak tergagap-gagap atau tersasul-sasul. Dia berucap tanpa teks selama satu jam setengah dengan bahasa Arab Fusha (bahasa baku) sepenuhnya, dalam susunan yang cukup mantap, minda yang penuh sedar sampai ke tahap satu ketika dia menyebut maf'ul dengan baris depan, lalu dia mengulang kembali ayat itu dan membetulkan baris maf'ul, iaitu baris atas.

Sungguh mengkagumkan aku! Ya Allah! Seorang lelaki yang sedang menanti untuk dibunuh pada bila-bila masa, puluhan kereta kebal, kapal terbang dan senjata sedang mengepongnya, pengkhianat di dalam tentera boleh memerah darahnya pada bila-bila masa, dalam keadaan penuh bahaya dan genting itu, dia masih sedar akan kesilapan tata bahasa, lalu membetulkannya!

Betapa pintarnya engkau wahai Mursi sedangkan kami tidak menghargaimu. Kami hanya mengetahui nilai hargamu selepas kami melihat puak-puak yang bodoh dan dungu memerintah Mesir sekarang.

Tuan Mursi, kami wajib meminta maaf daripadamu kerana engkau telah berbuat baik, sedangkan kami sebaliknya, berbuat jahat.

Tunggu artikel berikutnya, kenapa Mursi tidak memecat as-Sisi dan mencabut akar umbi kerosakan menjalar di dalam negara dan di dalam diri sebahagian rakyat Mesir? 

No comments:

Post a Comment