Tuesday, November 26, 2013

Wedding of the Year



Riuh dan heboh tentang berita Wedding of the Year yang tersiar di dalam media-media dua hari lepas.
Menurut satu sumber (http://www.rotikaya.com/perkahwinan-ditaja-rm13-juta-rozita-che-wan-zain-saidin-nafi-buat-pinjaman-bank/),
Pada majlis pengumuman tarikh perkahwinan mereka semalam, diumumkan pasangan ini telah mendapat tajaan dari pelbagai pihak yang bernilai RM13 juta (setakat ini). TIGA BELAS juta! Bukan TIGA juta. Saya tenung dan baca berulangkali, takut tersalah pandang atau tersilap baca. Namun, sah! Yang terpapar adalah 13.
Sumber itu menulis:
Berikut antara fakta menarik mengenai perkahwinan Rozita Che Wan & Zain Saidin
- Pasangan ini telah mengadakan sesi fotografi Jumlah kos pra-perkahwinan di beberapa lokasi menarik di Eropah dan Bali. Kos pra-perkahwinan mereka mencecah lebih RM30,000.
- Sewaktu majlis malam berinai nanti turut diadakan tarian joget lambak dan poco-poco.
- Sebagai kelainan, dulang hantaran ditukar dengan peti. Pasangan akan bertukar 9 peti berbalas 9. Bagi setiap satu peti akan berisi barang hantaran & semua hantaran dianggarkan bernilai RM100,000.
- Wang hantaran daripada Zain kepada Che Ta sebanyak RM23,200 iaitu simbolik kepada tarikh lahir Zain Saidin sendiri.
- Sementara untuk pembatalan air sembahyang, Che Ta bakal menerima mas kahwin bernilai RM9,300 (simbolik tarikh lahir Che Ta) berserta sebentuk cincin bernilai RM93,000.
- Tambah istimewa, pihak Habib Jewels akan menaja barang kemas yang bernilai RM10 juta. Barang-barang kemas yang direka eksklusif buat Che Ta itu akan digayakan oleh aktress tersebut pada hari persandingannya nanti.
- Busana yang akan dipakai oleh Che Ta pada malam berinai merupakan rekaan dari Bianco Mirmosa. Busana tersebut bernila RM55,000.
- Baju nikah (termasuk tajaan tiara) dan kasut bernilai RM150,000, rekaan Man Kajang. Baju persandingan pula bernilai RM100,000.
- Majlis ijabkabul akan dihoskan oleh Ahmad Fedtri Yahya. Manakala malam resepsi akan dihoskan oleh Datuk Mahathir Lokman.
Saya tidak berhajat untuk mempertikaikan perbelanjaan yang mereka curahkan untuk menyambut hari yang pastinya bersejarah untuk mereka kerana mereka mungkin akan berkata, “kami punya duit sendiri, kami mampu, kami… kami…”, macam-macam alasan yang boleh diberikan.
Cumanya kalau ikut sunnah, ikut ajaran Islam kita diajar supaya bersederhana seperti kata-kata ahli bijak pandai, “sebaik-baik perkara itu adalah yang pertengahan.” (Ramai yang menganggap ungkapan itu Hadis, tetapi tidak sahih sanadnya). Di dalam sepotong ayat, Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Al-Israa’:26-27)
Urusan yang boleh disempurnakan dengan belanja puluhan ribu, bukankah membazir namanya jika dihabiskan berjuta-juta? Nabi s.a.w. memang menganjurkan agar diadakan walimah untuk meraikan perkahwinan. Tetapi Baginda s.a.w. berkata seekor kambing pun sudah memadai. “Adakanlah walimah walaupun (dengan menyembelih) seekor kambing.” Muttafaq ‘alaih.
Anas bin Malik r.a. melaporkan: “Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengadakan walimah semasa perkahwinan Baginda dengan isteri-isterinya sebagaimana walimah semasa perkahwinannya dengan Zainab. Baginda mengutusku supaya mengundang orang ramai. Mereka dijamu roti dan daging sehingga mereka kenyang.” Anas berkata lagi: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memilih Sofiyyah untuk dirinya. Baginda keluar untuk menyambut Sofiyyah sehingga Baginda sampai di Thaniyyah as-Sohbaa’. Selepas bersama malam pertama, disediaka hais (sejenis makanan campuran tamar, minyak sapi dan tepung gandum), dihidangkan di atas dulang yang kecil. Kemudian Baginda berkata: “Jemputlah orang-orang di sekelilingmu.” Maka itulah walimah perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Sofiyyah r.a.” Muttafaq ‘alaih. Itulah walimah perkahwinan insan bernama Muhammad s.a.w., sebaik-baik makhluk, contoh terbaik untuk seluruh bani Adam.
Berkenaan dengan tajaan. Rasulullah s.a.w. menggalakkan supaya pihak yang berada membantu pasangan yang ingin berkahwin supaya mereka tidak terjebak di dalam kancah zina. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tiga golongan berhak mendapat pertolongan Allah; mujahid yang berjuang di jalan Allah, mukatab (hamba) yang ingin menunaikan bayaran untuk membebaskan diri dari perhambaan dan orang yang berkahwin kerana hendak memelihara kesucian dirinya.” Riwayat at-Tirmizi, al-Baihaqi dan Ahmad.
Maksudnya orang yang hendak berkahwin dengan tujuan mengelakkan diri dari maksiat dan zina, tetapi mereka tidak mampu. Maka mereka berhak untuk mendapatkan pertolongan. Pastinya dari orang-orang yang berkemampuan. Jadi, dalam kes Wedding of the Year ini, mereka berkemampuan. Sebelum ada tajaan mereka sudah persiapkan RM200,000. Itupun sudah terlalu besar.
Pihak yang bermurah hati ingin menaja, walaupun mereka bebas untuk menaja siapa saja yang mereka suka, tentulah lebih besar faedahnya kalau dihalakan wang tajaan itu kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Ramai pasangan muda mudi kita yang mengikat pertunangan bertahun-tahun lamanya tidak dapat berkahwin kerana belum cukup belanja. Dan berapa pula di kalangan mereka yang bercouple sama ada bertunang rasmi atau tidak dan sudah terlajak. Akhirnya putus begitu saja tanpa sempat ke jinjang pelamin kerana pelbagai halangan, khususnya masalah kewangan. Golongan inilah sebenarnya yang lebih berhak mendapat tajaan.
Dinyatakan pihak Habib Jewels akan menaja barang kemas yang bernilai RM10 juta. Barang-barang kemas yang direka eksklusif buat Che Ta itu akan digayakan oleh aktress tersebut pada hari persandingannya nanti. Maha Suci Allah!
Kalau 10 juta itu dibahagikan kepada anak-anak muda yang ingin berkahwin untuk selamatkan diri dari zina, andaikan setiap pasangan diperuntukkan 100,000 untuk dijadikan maskahwin, hantaran, kenduri dan pendahuluan untuk beli rumah mampu milik, maka 10 juta itu boleh dibahagi kepada 100 pasangan. Alangkah besar faedah dan ganjarannya di sisi Allah. Faedah kepada masyarakat dan Negara kerana dapat mengurangkan zina, kelahiran anak luar nikah dan bayi-bayi yang dibuang laksana sampah. Atau tak perlu 100,000, 10,000 sahaja setiap pasangan, maka 1,000 pasangan akan dapat diselamatkan. Maha Suci Allah! Dan begitulah dengan 3 juta yang disumbang oleh pihak lain-lain.
Sebagai peringatan untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat yang dikasihi, mari sama-sama kita fahami dan hayati Hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin (amalannya) didengari (oleh manusia), Allah akan perdengarkannya. Dan sesiapa yang ingin (amalannya) dilihat (oleh manuisa), Allah akan perlihatkannya.” Riwayat al-Bukhari.

1 comment:

  1. Cukup menginsafkan. Jazakallahu khairan kathira.

    ReplyDelete