Sunday, March 02, 2014

TARBIAH - MURABBIAH - MUTARABBIAH



Murabbiah adalah mukminah yang mendidik dan terdidik, yang mentarbiah dan ditarbiah.
Di dalam lapangan dakwah dan harakah, tarbiah tidak dapat dipisahkan. Malah, tanpa tarbiah dakwah tidak berkembang, harakah tidak akan maju ke hadapan.
Apakah maksud sebenar tarbiah dan kenapa ia begitu penting?
Dari sudut bahasa, tarbiah berasal daripada:
Rabba – yarbu – tarbiah yang membawa maksud subur dan bertambah.  Sebagai contoh, lihat firman Allah (Ar-Rum: 39)
Rabba – yarbi  – tarbiah membawa maksud membesarkan dan memelihara. Contohnya firman Allah (Asy-Syu’ara’: 18)
Rabba – yarubbu  – tarbiah membawa maksud: memperbaiki, mengawal dan mentadbir urusan sesuatu, menjaga dan memeliharanya. Contohnya firman Allah (Al-Isra’:24)
Berdasarkan maksud asal perkataan tarbiah, pakar-pakar ilmu pendidikan Islam mendefinisikan tarbiah adalah: “Satu proses bertujuan menyubur dan mengembangkan keupayaan, kemahiran seseorang untuk menghadapi tuntutan kehidupan yang pelbagai, atau satu proses pembinaan individu dengan binaan yang syamil supaya dia mampu berinteraksi dengan segala perkara di sekelilingnya atau menyesuaikan diri dengan suasana yang melingkarinya.”. Dalam konteks dakwah dan harakah, tujuan tarbiah adalah untuk melahirkan seorang ‘aamil dan mujahid yang akan mewarisi risalah dan menurunkannya generasi demi generasi hingga ke hari qiamat.
Justeru, murabbiah bolehlah diumpamakan sebagai seorang petani yang bertanggungjawab menanam dan menyuburkan tanamannya sehingga membesar dan menghasilkan buah yang ranum. Kemudian daripada buah yang ranum itu lahir pula biji benih untuk menumbuhkan pokok yang baru.
Seorang petani, sebelum memulakan kerja menabur dan menanam benih mestilah terlebih dahulu memiliki tanah tempat menabur benih. Maka murabbiah yang ingin menabur benih iman ke dalam hati mutarabbiahnya mestilah memiliki hati mutarabbiah itu terlebih dahulu.
Maka, perkara pertama yang wajib dilakukan oleh murabbiah ialah memiliki hati mutarabbiahnya. Bagaimana cara memiliki hatinya? Menurut Pepatah Arab, hati manusia akan condong kepada orang yang berbuat baik kepadanya.
Dengan berbuat baik kepadanya, cuba penuhi hajatnya, sentiasa mengambil berat hal keadaan dirinya, hati mutarabbiah akan dapat dimiliki.
Hal ini telah berlaku pada murabbi agung kita, Nabi Muhammad s.a.w. Peribadinya yang dicetak dan diwarnai dengan al-Quran itu mempesona dan memikat hati siapa saja yang mendekati dan menggaulinya.
Murabbiah juga mesti tahu, kerja seorang petani hanya menanam dan menjaga tanamannya dengan membaja, menyiram dan mengawal dari unsur-unsur perosak. Namun dia tidak berupaya untuk menumbuhkan tanaman itu dan mengeluarkan hasil yang diharapkan. Hasilnya adalah urusan Allah (Al-Waqi’ah:64). Maka murabbiah mestilah selalu berdoa dan bertawakkal kepada Allah agar usahanya berhasil lagi diberkati.
Seperkara lagi, tarbiah adalah satu proses yang berterusan. Pokok yang besar dan rendang tidak tumbuh dalam masa satu hari satu malam. Lantaran itu, tidak ada murabbiah kecuali dari kalangan orang-orang yang sabar. Sabar menghadapi karenah, sepak terajang mutarabbiah yang jahil dan mentah, sabar menunggu terbitnya hasil yang ranum dan manis, sabar menyantuni nafsu sendiri yang dibelenggu dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan.  Justeru, apabila Luqman menasihati anaknya supaya melakukan dakwah, beliau terus berpesan agar bersabar. “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Luqman:17)
Kesimpulannya, antara ciri-ciri penting seorang murabbiah ialah memiliki hati mutarabbiah, berdoa dan bertawakkal kepada Allah, serta sabar.

No comments:

Post a Comment