Wednesday, May 14, 2014

Ahmad Said Letak Jawatan

Ahmad Said meletak jawatan sebagai MB Terengganu dan mengisytiharkan keluar daripada UMNO, menjadi wakil rakyat bebas. Langkahnya keluar parti itu diikuti pula dua orang wakil rakyat lain daripada UMNO

Itulah antara tajuk berita yang hangat diperkatakan dalam sehari dua ini. Saya tidak pernah terlibat dalam sepak terajang gelanggang politik kepartian dan bukan juga pengulas politik semasa yang tajam pandangannya.

Hanya secara tiba-tiba peristiwa itu mengingatkan saya kepada kisah Umar bin al-Khattab r.a. memecat Khalid bin al-Walid r.a. yang terkenal sebagai panglima perang yang hebat dan berani itu. Abu Ubaidah r.a. yang dilantik sebagai pengganti Khalid menyifatkan Khalid sebagai "sebaik-baik amir (ketua), dan orang yang paling tegas terhadap musuh dari kalangan kuffar (orang-orang kafir)"

Selepas kewafatan Abu Bakar as-Siddiq r.a., Umar mengutus surat kepada Abu Ubaidah menyampaikan khabar kewafatan Abu Bakar dan melantiknya sebagai amir. Abu Ubaidah r.a. tidak menyampaikan isi kandungan surat itu kerana bimbang akan menjadikan tentera-tenera yang sedang berjuang lemah semangat, prestasi mereka akan terjejas.

Setelah mengetahui Abu Ubaidah belum membacakan surat itu kepada kaum muslimin yang berada di medan perang itu, Umar mengutus surat ke dua pada 26 Rejab tahu ke 13 hijrah. Surat itu antara lain, berbunyi: "Daripada hamba Allah, Umar. Kepada Abu Ubaidah bin al-Jarrah. Salam kepadamu. Sesungguhnya aku memuji Allah yang tiada tuhan melainkan Dia. Aku berselawat ke atas Nabi-Nya Muhammad s.a.w., waba'du. Sesungguhnya aku melantik engkau sebagai amir umat Islam (di medan perang). Maka janganlah engkau malu kerana sesungguhnya Allah tidak malu dalam perkara yang benar. Aku berpesan kepadamu supaya bertaqwa kepada Allah yang telah mengeluarkan engkau dari kufur kepada iman, dari sesat kepada hidayah. Sesungguhnya aku melantik engkau memimpin angkatan tentera yang dipimpin oleh Khalid. Maka pimpinlah tentera itu, dan lucutkan Khalid dari kepemimpinannya."

Surat itu terjatuh dari tangan Abu Ubaidah. Dia tidak bersetuju menurunkan Khalid dari mengetuai angkatan tentera kerana dia melihat keupayaan Khalid menggerunkan musuh, mengasihi sesama Islam, kemampuannya dalam memimpin serta pengalamannya dalam urusan peperangan. Abu Ubaidah meminta Muaz bin Jabal menyampaikan dan bermesyuarat dengan beberapa orang Sahabat. Akhirnya perkara itu sampai ke pengetahuan Khalid.

Khalid datang menemui Abu Ubaidah dan berkata: "Semoga Allah mengampunimu wahai Abu Ubaidah. Engkau terima surat daripada Amirul-Mukminin melantik engkau sebagai ketua (panglima), tetapi engkau tidak memaklumkan aku. Engkau solat di belakangku (sebagai makmum) sedangkan yang berkuasa adalah engkau!" (Dalam Islam, menjadi imam solat adalah hak ketua).

Perhatikan kata-kata Khalid. Dia tidak langsung mempersoalkan sebab dia dipecat? Yang dia rasa terkilan ialah, dia menjadi imam solat kepada ketuanya, padahal sepatutnya dia makmum!

Abu Ubaidah menjawab: "Dan semoga Allah mengampunimu wahai Khalid. Demi Allah aku tidak akan memberitahumu sehingga engkau mengetahuinya daripada orang lain. Aku tidak mahu memecahkan langkah perangmu sehingga ianya selesai semuanya. Kemudian aku akan beritahumu selepas itu. Aku tidak mahukan kekuasan dunia dan bukan kerana dunia aku bekerja. Sesungguhnya engkaupun tahu bahawa apa yang ada ini akan hilang dan lenyap. Kita adalah bersaudara dan kita penegak perintah Allah Ta'ala. Tidak ada mudarat bagi kita diperintah oleh saudaranya sama ada dalam urusan agama atau urusan dunia. Bahkan kita mengetahui bahawa yang memerintah itulah yang lebih dekat kepada fitnah dan lebih cepat terjatuh dalam kesilapan kecuali mereka yang diperihara oleh Allah. Dan mereka adalah sedikit.

Terdapat pelbagai tafsiran dikemukakan tentang sebab Umar memecat Khalid. Saya tidak berhajat untuk membentangkan pandangan-pandangan itu. Cuma ingin  mengajak kita semua menghayati keikhlasan generasi sahabat r.a. dalam perjuangan menegakkan agama suci ini. Sesungguhnya tindakan Umar memecat Khalid bukan atas kepentingan peribadi atau sebab permusuhan antara mereka. Itu adalah ijtihad Umar demi kemaslahan umat dan agama yang diamanahkan ke atas bahunya. Dan pemecatan itu tidak pernah mendatangkan kesan dalam hubungan persaudaraan mereka berdua.

Di penghujung pemerintahannya Umar ditanya, "tidakkah Amirul-Mukminin ingin mencadangkan seseorang sebagai pengganti?" Umar menjawab: "Kalau Abu Ubaidah masih hidup, aku mahu melantiknya. Bila aku berjumpa Tuhanku dan Dia bertanya kenapa aku lantik dia? Aku akan jawab, "Kerana aku mendengar hamba-Mu dan kekasih-Mu berkata, "Setiap umat ada "amin"nya. Dan "amin" umat ini ialah Abu Ubaidah". Kalau Khalid bin al-Walid masih ada, aku akan lantiknya. Kemudian aku akan menjawab kepada Tuhan-ku: "Aku pernah mendengar hamba-Mu dan kekasih-Mu berkata, Khalid adalah Saifullah (pedang Allah) yang terhunus ke arah musyrikin." (Siar A'lam an-Nubala')

Apa pula perakuan Khalid tentang Umar di hadapan Abu Darda' r.a.? "Dami Allah wahai Abu Darda' sekiranya Umar mati, engkau akan melihat perkara-perkara munkar akan berlaku." (Siar A'lam an-Nubala')

Dalam riwayat lain, seorang lelaki berkata kepada Khalid r.a.: "Wahai Abu Sulaiman, takutlah kepada Allah, sesungguhnya banyak fitnah telah muncul." Khalid menjawab: "Apakah berlaku fitnah sedangkan Ibn al-Khattab masih hidup? Sesungguhnya fitnah hanya akan berlaku selepas ketiadaannya." (Riwayat Ahmad)

p.s.
belum habis menulis, tiba-tiba terpandang berita Ahmad Said menyesal keluar UMNO dan akan kembali semula .....



No comments:

Post a Comment