Wednesday, July 09, 2014

Setiap amalan anak Adam itu untuknya, kecuali puasa

“Setiap amalan anak Adam itu untuknya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku akan memberikan ganjarannya.” Muttafaq ‘alaih dan ini adalah lafaz dari riwayat al-Bukhari.

Sesungguhnya risalah Islam secara keseluruhannya merupakan risalah tarbawiyyah yang didatangkan untuk membawa kebaikan kepada seluruh umat manuisa, mengeluarkan mereka dari menghambakan diri kepada makhluk kepada menghambakan diri kepada Khaliq, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat. Allah s.w.t. telah menerangkan dengan jelas tugasan yang dipertanggungjawabkan ke atas Rasul yang diutuskanNya di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang yang Ummiyyin, seorang Rasul dari kalangan bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Jumuah:2)

Maka asas risalah Nabi ialah tarbiah dan tazkiatun-nafs. Islam menjadikan tujuan paling utama ibadah ialah membawa manusia kepada pengislahan dan taqwa. Ibadah sebenarnya bertujuan untuk membersihkan jiwa, mendidik dan melatihnya.

Justeru, solat adalah madrasah untuk mentarbiah, melatih (tahzib) dan membetulkan (taqwim) tingkah laku. “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-‘Ankabut:45)

Zakat juga madrasah untuk mentarbiah jiwa dan membebaskannya dari belenggu nafsu sayangkan harta dan hidup mementingkan diri semata-mata. “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (At-Taubah:103)

Haji pun madrasah untuk mentarbiah dan membentuk diri berakhlak mulia. “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” (Al-Baqarah:197)

Demikian puasa di bulan Ramadan, tidak terlepas daripada tujuan serta landasan ini. “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah:183)

Maka, tujuan paling utama disyariatkan puasa adalah untuk mendidik para mukmin mencapai darjat taqwa. Lebih istimewa lagi, Allah telah jadikan puasa dan bulan Ramadan penuh dengan elemen-elemen tarbiah yang tidak terdapat pada bulan-bulan serta ibadah lain daripada puasa. Puasa dan Ramadan adalah madrasah yang mengandungi manhaj yang lengkap dengan objektifnya, wasilah-wasilahnya, aktiviti-aktivitinya seperti tilawah al-Quran, qiamullail, i’tikaf, sedekah, berdakwah dan lain-lain, dilengkapi pula dengan biah dan suasana persekitaran yang membantu ke arah mencapai objektif yang disasarkan.  “Apabila masuk bulan Ramadan dibuka pintu-pintu syurga, dikunci pintu-pintu jahannam dan dirantai syaitan-syaitan.” Maksud Hadis Sahih riwayat al-Bukhari dan lain-lain.

Berkenaan maksud Hadis yang disebutkan di awal tulisan ini, iaitu “puasa itu untuk Ku dan Aku yang akan membalasnya”, para ulamak telah mengemukakan beberapa pandangan dan huraian. antara lain:
i.               Rukun-rukun selain daripada puasa membawa kerehatan kepada hamba. Misalnya, syahadatain merehatkan daripada syirik, gangguan para musyrikin serta tarikan manhaj-manhaj yang menyeleweng dan batil. Solat merehatkan daripada berpaling arah kepada sesuatu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Zakat merehatkan hati daripada iri hati, dengki dan benci kepada golongan yang tidak berada. Haji merehatkan diri dari kongkongan hidup yang sempit, membuka ufuk pemikiran yang amat luas dengan menyaksikan bukti-bukti nyata keEsaan Allah, kehebatan dan kekuasaanNya yang tiada tara. Kecuali puasa. Puasa adalah kepenatan hamba semata-mata demi mencapai redha Allah Ta’ala. Puasa adalah tidak melakukan apa-apa kecuali menahan diri dari melakukan perkara yang diingini oleh nafsu dan dihajati oleh fitrah. Maka puasa adalah penyucian dan peningkatan, satu-satunya ibadah yang tidak dilakukan kecuali kerana Allah.
ii.              Puasa tidak dilihat dan diketahui oleh sesiapa melainkan Allah. Ibadah lain berupa perbuatan dan pergerakan yang dapat dilihat dan disaksikan oleh manusia. Puasa hanyalah niat dan menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkannya. Justeru, unsur ria tidak mudah untuk menyelinap ke dalamnya.
iii.            Puasa adalah rahsia paling besar antara hamba dengan Tuhannya kerana menahan diri daripada syahwah itu, syahwah perut, syahwah seks tidak diketahui hakikatnya melainkan Allah. Maka orang yang berpuasa sebenarnya sedang menghayati maqam ihsan atau mencapainya, iaitu “Kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya, jika kamu tidak melihatNya maka Dia melihat kamu.” Maksud Hadis riwayat Muslim


Jadi, untuk setiap ibadah itu ganjarannya. Untuk setiap kebaikan itu pahalanya. Satu kebaikan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Adapun puasa, ganjarannya tidak diketahui melainkan Allah yang di TanganNya tersimpan khazanah langit dan bumi. Ia tidak dihitung dengan bilangan, tidak ditimbang dengan timbangan, tidak diukur dengan sukatan. Ia dianugerahi dengan longgokan pahala yang tidak mampu dianggarkan, anugerah dari Yang Maha Agong. Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya 10 kali sehingga 700 kali ganda. Allah berfirman: kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untukKu dan Aku akan memberikan ganjarannya.” Riwayat Muslim

No comments:

Post a Comment