Thursday, July 10, 2014

Tadabbur One Day One Ayat (OnDOA) 6


Katakanlah (wahai Muhammad); Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan).” (As-Sajdah 32:11)

Tadabbur hari ini bukan ayat yang bermula dengan seruan “wahai orang-orang yang beriman”. Pagi tadi solat subuh di masjid imam baca surah as-Sajdah. Yang paling terkesan adalah ayat ke 11 seperti tertera maksudnya di atas. Terasa seolah-olah ketika itu Malikil Maut datang merentap nyawaku dan aku rebah di atas sejadah. Oh! Kalau itu benar-benar berlaku, alangkah bahagianya. Moga-moga aku terpilih mati dalam husnul-khatimah.

Sehubungan dengan ayat ini, al-Hafidz Ibn Kathir membawakan Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim daripada Jaafar bin Muhammad, dia berkata, aku mendengar ayahku berkata: Rasulullah s.a.w. melihat Malikil Maut berada di kepala seorang lelaki daripada Ansar. Maka Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya: "Wahai Malikil Maut, berlembutlah dengan sahabatku ini. Sesungguhnya dia seorang yang beriman." Malikil Maut menjawab: "Wahai Muhammad, tenangkan jiwamu, senangkan matamu. Sesungguhnya aku memang berlembut dengan setiap mukmin. Dan ketahuilah bahawa tidak ada sebuah rumah atau khemah yang berpenghuni di daratan dan di lautan kecuali aku menjenguk dan meninjau mereka setiap hari sebanyak lima kali sehingga aku mengenali setiap orang daripada mereka, seorang demi seorang, yang kecil dan yang besar. Demi Allah wahai Muhammad, sekiranya aku hendak mencabut nyawa seekur nyamuk sekalipun aku tidak berkuasa melakukannya sehinggalah Allah perintahkan aku mencabutnya.

Jaafar berkata lagi: "Disampaikan kepadaku bahawa Malikil Maut datang menjenguk di waktu-waktu solat. Sekiranya seseorang yang telah tiba masa kematian itu dari kalangan mereka yang menjaga solat, Malikil Maut mendekatinya, dia menghalang syaitan dari menghampirinya dan mengajarnya la ilaha illa Allah, Muhammad Rasulullah pada waktu yang amat penting dan genting itu."

Abdul Razzaq meriwayatkan bahawa Mujahid berkata: "Tidak ada rumah atau khemah di atas muka bumi ini kecuali Malikil Maut berulang alik datang dua kali setiap hari."

Kaab al-Ahbar pula berkata: "Tidak ada sebuah rumah yang didiami oleh penduduk dunia melainkan Malikil Maut datang berdiri di muka pintunya tujuh kali setiap hari. Dia memandang kepada setiap ahli rumah adakah seseorang yang dia diperintahkan mencabut nyawanya?" Riwayat Ibn Abi Hatim.

Walaupun kata-kata itu zahirnya bercanggah dari segi kekerapan Malikil Maut menjenguk  kita, yang pasti tidak ada khilaf dari segi kepastian kunjungan itu.. Dan apabila tiba masa nyawa setiap orang daripada kita dicabut, dia tidak tersilap mencabutnya.

Zahir ayat ini juga menunjukkan bahawa Malikil Maut itu satu peribadi tertentu dari kalangan malaikat. Yang masyhur namanya ialah Izrael.

Qatadah dan lain-lain berkata: Malikil Maut mempunyai pembantu-pembantu. Di dalam hadis dinyatakan bahawa pembantu-pembantunya akan mencabut nyawa seseorang dari seluruh tubuh sehingga apabila tiba di halkum Malikil Maut  sendiri yang mencabutnya.

Kata-kata ini selari dengan ayat-ayat al-Quran. Ayat  dibawah menyatakan Allah mewafatkan seseorang:
“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya dan jiwa orang yang tidak mati: Dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)." (Az-Zumar 39:42)

Ayat di bawah ini pula menyatakan para malaikat yang melakukannya:
"Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hambaNya dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).” (Al-An’am 6:61)

Dan dalam ayat 11 surah as-Sajdah dinyatakan Malikil Maut yang melakukan.

Penjelasannya, kematian atau kewafatan seseorang Allah jua yang ditentukan. Dia arahkan Malikil Maut mencabut nyawa orang yang telah sampai ajalnya. Dan Malikil Maut menjalankan tugas yang diarahkan bersama dengan pambantu-pembantunya.


Perkataan yang digunakan di dalam al-Quran untuk menunjukkan kematian ialah wafat. Kata kerjanya: tawaffa, yatawaffa. Yatawwaf bermaksud mengambil dengan sempurna tanpa kurang sedikitpun. Jadi orang yang mati itu ruhnya diambil sepenuhnya dan dibawa ke suatu tempat. Ruh itu tidak dipadam atau dihilangkan atau musnahkan. Ia tetap wujud dalam keadaan yang sempurna. Hanya  dipisahkan sementara dari jasad dan akan dicantum kembali bila tiba masanya kelak.

No comments:

Post a Comment