Tuesday, October 14, 2014

Jauh perjalanan banyak pengalaman 2

Ketika berada di bumi Morocco, aku menerima mesej dari Malaysia bahawa aku diminta untuk mengisi program di Jepun pada 10 – 13 Oktober. Satu tuntutan yang agak mencabar. Aku akan sampai  Malaysia dari Morocco pada 7 Oktober, 10 Oktober akan ke Jepun pula? Penat juga, dari hujung benua Afrika ke hujung benua Asia... hemmm

Dengan semangat "faiza faraghta fansob", aku bertanya suami untuk mendapat pandangan serta keizinannya. Dan alhamdulillah seperti selalunya dia tidak pernah mengatakan tidak dalam hal-hal yang berkaitan dengan urusan dakwah dan jamaah.

Berlepas dari KLIA2 jam 0100 pagi 10 Oktober 2014 ditemani seorang ukhti fillah dan babynya yang sangat comel, berusia lapan bulan.



Pengalaman pertama yang menjengkelkan, sebelum jam 2400 kami telah masuk ke bilik menunggu kerana tertulis di boarding pass boarding time jam 0020. Sekian minit duduk di situ - alhamdulillah kerusi banyak – semua penumpang yang telah memenuhi tempat duduk di bilik menunggu itu di suruh keluar dan beratur dari luar. Kami pun keluar, tetapi tidak beratur kerana barisan terlalu panjang sedangkan bersama kami ada baby di atas dukung. Kami duduk di atas kerusi berhampiran dengan pintu masuk (bukan pintu sebenarnya, macam lorong saja). Setelah hampir separuh penumpang yang beratur tadi masuk dan diperiksa passport serta boarding pass mereka, tiba-tiba semua yang masih ada di luar di suruh masuk, tak perlu beratur pula. Ya Allah....! Yang sedihnya kami dan beberapa penumpang lain yang membawa baby langsung tidak diberi keutamaan sebagaimana lazimnya di tempat-tempat lain.

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kansai Internasional Airport mengambil masa lebih kurang enam jam. Pesawat dijangka mendarat jam 0800 pagi waktu tempatan. Ini bermakna kami terpaksa menunaikan solat Subuh di atas pesawat. Bila tiba waktu solat, kami bertanyakan ruang untuk solat. Pelayan menjawab, "puan boleh solat di tempat duduk". Hai, dia pula bagi fatwa. Memang boleh solat di tempat duduk kalau tiada pilihan. Kami bertanya tentang pilihan untuk kami solat secara sempurna. Dia memberi alasan bahawa tiada ruang kosong kecuali tempat-tempat yang diperuntukkan untuk kes-kes kecemasan. Itulah realitinya. Solat bukan sesuatu yang diberikan keutamaan. Mungkin kita boleh kata, pesawat itu bukan milik orang Islam. Tetapi apa salahnya sebagai warga Malaysia yang diiktiraf sebagai "Negara Islam" memberi perhatian kepada keperluan utama penganut Islam yang merupakan kaum majoriti di Malaysia? Ini belum lagi nak cakap tentang pakaian pelayan yang menjolok mata. Solat tiang agamapun tidak diambil kira, apa lagi bab-bab yang bukan tiang?

Dari Kansai Internasional Airport kami di bawa ke Kobe, menumpang di rumah seorang mahasiswi yang sedang menyiapkan pengajian di peringkat PhD. Rumah yang sangat comel dan lengkap.

Di sebelah petang kami dibawa melawat bandar Sannomiya yang sesak dengan manusia lalu lalang dengan menaiki kereta api. Petang itu adalah petang Jumaat. Sabtu dan Ahad adalah hari cuti. Ditambah pula dengan Isnin hari cuti am yang dinamakan Hari Sukan. Jadi petang dan malam Jumaat adalah masa untuk mereka enjoy dan mabuk-mabuk, Astaghfirullah. Itulah cara orang Jepun menghabiskan waktu hujung minggu mereka setelah penat bekerja selama lima hari.



Sempat melawat masjid Kobe yang merupakan masjid tertua di Jepun. Masjid ini dibina pada tahun 1928 di Nakayamate Dori, Chuo-ku. Kobe bererti gate of God atau gerbang Tuhan.

Tahun 1945, Jepun terlibat perang Dunia Kedua. Serangan Jepun ke atas pelabuhan Pearl Harbour di Amerika telah menyebabkan kerajaan Amerika memutuskan untuk menjatuhkan bom atom pertama dalam sejarah peperangan. Akibatnya Jepun menyerah kalah. Dua bandar di Jepun Nagasaki dan Hiroshima dibom oleh Amerika. Saat itu, bandar Kobe juga tidak ketinggalan menerima kesan serangan pengeboman melalui udara walaupun tidak dibom dengan bom atom seperti Nagasaki dan Hiroshima. Boleh dilihat bandar Kobe juga menjadi rata.

Ketika bangunan di sekitarnya hampir rata dengan tanah, Masjid Muslim Kobe tetap berdiri tegak. Masjid ini hanya mengalami keretakan pada dinding luar dan semua kaca tingkapnya pecah. Bahagian luar masjid menjadi agak hitam kerana asap serangan bom. Tentera Jepun yang berlindung di bawah tanah masjid terselamat dari ancaman bom, begitu juga dengan senjata-senjata yang disembunyikannya. Masjid ini kemudian menjadi tempat untuk mangsa perang. (Cerita tentang masjid  Kobe di'copy' dari: http://detikislam.blogspot.com)



Singgah makan malam di sebuah restoran makanan halal di tengah-tengah bandar Sannomiya.  Makanan ala Arab dan India. Tetapi sama seperti di USA, walaupun restoran makanan halal, arak masih tetap dijual.

Orang Jepun memang terkenal dengan bersih, menepati masa dan berdisiplin. Semasa di dalam kereta api, terpandang sekumpulan remaja perempuan empat atau lima orang berdiri sambil bergurau bergelak ketawa sesama sendiri. Tiba-tiba air daripada air kotak yang dipegang salah seorang daripada mereka tertumpah di atas lantai kereta api. Kawannya segera mengeluarkan tisu daripada begnya. Gadis yang airnya tumpah itu mengambil tisu, mengelap air yang tumpah dan tisu yang basah itu disimpan di dalam begnya. Ma Syaa Allah!

11 Oktober berangkat ke tempat program di suatu kawasan tanah tinggi Shizen No Ie di Nara. Memberi sedikit pengisian dan perkongsian.



Yang menarik tempat program ni ialah sistemnya yang cukup kemas. Di pintu masuk bangunan disediakan rak-rak kasut untuk kita meletakkan kasut-kasut di situ dan mengambil kasut atau selipar yang disediakan untuk dipakai di dalam bangunan. Bila hendak ke tandas, terdapat pula selipar-selipar yang disediakan untuk masuk tandas. Semuanya berada dalam keadaan yang tersusun dan bersih.

Bilik tidur disediakan katil dua tingkat lengkap dengan tilam, bantal, cadar dan selimut. Ketika hendak keluar dari tempat ini, semuanya mesti dilipat dan disusun kembali sebagaimana asal.  Sebelum kita keluar, mereka akan periksa. Jika terdapat selimut atau cadar dilipat tidak seperti asalnya, mereka panggil kita supaya dilipat semula. Begitu juga sampah-sampah tidak boleh ditinggalkan. Semuanya mesti dibawa balik dan urus sendiri pembuangannya. Dewan makannya sangat menarik susunannya. Masuk pintu dewan, perkara pertama yang kita temui ialah sinki untuk membasuh tangan, siap dengan sabun dan mesen pengering tangan. Betul-betul ikut sunnah, basuh tangan sebelum makan walaupun mereka tak makan guna tangan. Guna chopsticks.

Selepas makan, bekas-bekas dihantar ke tempat yang disediakan mengikut kategori secara berasiangan. Mula-mula letak cawan, lepas cawan sudu dan chopstick, tisu, sisa, makanan, pinggan mangkuk dan akhir sekali dulang. Pinggan mangkuk, sebelum diletakkan di dalam bekas yang disediakan dibilas terlebih dahulu supaya tidak lekat kesan-kesan makanan padanya. Setelah semuanya diletakkan mengikut susunan dan tempat yang disediakan, baru keluar dewan melalui pintu keluar.

Hari Isnin kami berangkat pulang. Sepanjang hari, Kobe redup dan hujan. Bandar sepi. Kedai-kedai kebanyakannya tutup. Sebelum menaiki bas ke lapangan terbang, sempat singgah di restoran sushi. 

Kemudian terus ke airport dengan bas. Bas kosong. Hanya kami yang menjadi penumpangnya. Jalanpun lengang. Hujan sepanjang jalan. Perjalanan dari Sannomiya ke Kansai Internasional Airport  yang dijangka mengambil masa 65 minit tiba dalam tiga minit lebih awal. Orang Jepun memang sangat berkira setiap minit dan detik. Pantang lewat walaupun seminit. Satu perkara yang hampir sama dengan Malaysia ialah tol. Sepanjang perjalanan ke airport terdapat lima plaza tol. Berapa yen yang dibayar di setiap plaza tak tahulah?

Setelah selesai check-in, kami mencari surau untuk solat. Alhamdulillah, ma syaa Allah! Suraunya cantik dan selesa. Diasingkan tempat lelaki dan wanita. Siap dengan tempat mengambil wuduk yang proper. Terdapat rak telekung dan al-Quran. Tak ubah seperti kita singgah di sebuah negara Islam yang maju.

Ketika hendak menaiki pesawat, tidak berlaku lagi kekecohan seperti di KLIA 2. Kami terus ke depan mendukung baby. Dan bila petugas nampak kami dengan baby, dia terus tahan penumpang lain yang sedang beratur. Dan tidak ada di kalangan mereka yang merungut atau tunjuk muka tak puas hati.


Di dalam pesawat juga pramugari melayan dengan baik. Mencari tempat duduk yang lebih selesa untuk kawan yang memegang baby, alhamdulillah. Penerbangan pulang tidak timbul soal solat di dalam pesawat. Kami mendarat jam 0450, 25 minit lebih awal daripada jangkaan, alhamdulillah.

Beberapa perkataan dalam bahasa Jepun yang sempat dipelajari:

Midori = hijau
Abunai = bahaya
Gambarimasho = kerja sama-sama
Konnichiwa = selamat tengahari atau selamat petang

No comments:

Post a Comment