Monday, November 24, 2014

Meraih Cinta Allah


Pada hari Isnin 24 November 2014 jam 8.30 malam telah berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Mawaddah Malaysia di pejabat MPP Zon 3, Seksyen 7 Shah Alam.

Sebagai pembuka tirai majlis mesyuarat yang amat sederhana itu, saya menyampaikan ucapan yang berupa tazkirah dan peniup semangat kepada ahli yang hadir agar terus thabat dalam usaha menyebarkan Islam dan membantu golongan yang memerlukan.

Selepas memberi salam, memuji Allah, selawat ke atas Rasulullah, membaca doa, dan berterima kasih kepada yang hadir, saya memulakan ucapan dengan membaca sepotong ayat daripada surah Aali 'Imran yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Aali ‘Imran:31)

Cinta Allah dan redhaNya merupakan matlamat kita sebagai hamba. Orang yang berjaya meraih cinta Allah bererti dia telah memperolehi segala-galanya meskipun seluruh dunia membencinya. Sebaliknya orang yang gagal meraih cinta Allah bererti dia kehilangan segala-galanya meskipun seluruh dunia memuja dan mengagungkannya.

Ayat ini menegaskan hanya satu cara sahaja untuk meraih cinta Allah, iaitu dengan mengikuti Rasulullah s.a.w.

Mengikuti Rasulullah s.a.w. bukan hanya sekadar meniru penampilan zahirnya sahaja malah yang lebih penting daripada itu ialah mengikuti jejak langkah baginda dalam menyampaikan risalah Islam kepada seluruh umat manusia. Ini ditegaskan di dalam firman Allah yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Yusuf:108)

Tugas utama Rasulullah s.a.w. dan orang-orang yang mengikutinya ialah berdakwah, iaitu mengajak manusia kepada menyembah Allah, melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

Apabila kita hendak mengajak manusia kepada kebaikan, kita mesti memulakan dengan sendiri. Diri sendiri mesti baik dan berbuat baik kepada makhluk-makhluk lain.

Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Sebelum diangkat menjadi Rasul, baginda dikenali sebagai insan yang sangat mulia akhlaknya. Kehidupannya diisi dengan bakti yang tidak mengenal batas dan sempadan. Kebaikan dan kebaktian baginda terungkap di dalam kata-kata isterinya Khadijah r.a. ketika baginda diselimuti kebimbangan akan berlaku sesuatu yang tidak baik ke atas dirinya yang baru didatangi malaikat Jibril membawa wahyu pertama: “Demi Allah, tidak akan terjadi sesuatu yang tidak diingini selama-lamanya. Allah tidak sekali-kali akan menghinamu. Sesungguhnya engkau seorang yang selalu menghubungkan silatul rahim, memikul kesusahan orang lain, membantu orang-orang miskin, memuliakan tetamu, membela dan mempertahankan kebenaran.”

Apabila kita menyebut berbuat baik dan mengajak orang lain kepada kebaikan, kita mesti sedar bahawa kebaikan itu sangat luas ruang lingkupnya. Asas kepada kebaikan ialah mentauhidkan Allah dan mengikhlaskan ubudiah (pengabdian diri) kepadaNya semata-mata. Dan kebaikan paling minimum yang mampu dilaksanakan oleh semua kita ialah menahan diri dari kejahatan.

Abu Dzar r.a. berkata bahawa beliau berkata kepada Rasulullah s.a.w.: "Ya Rasulullah, apakah saranan anda sekiranya saya tidak mampu untuk beramal (berbuat baik kepada orang lain)?" Baginda s.a.w. menjawab: "Tahan dirimu dari melakukan kejahatan terhadap manusia. Itu merupakan sedekah kamu kepada diri kamu sendiri." Muttafaq 'alaih.

Dan antara perlakuan yang dihitung sebagai kejahatan ialah berbisik dengan seseorang di hadapan orang ke tiga. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "(Ketik kamu bertiga), jangan kamu berbisik berduaan tanpa menghiraukan seorang lagi. Kerana itu menyakitkan hati mukmin. Dan Allah 'Azza wa Jalla benci mukmin disakiti." At-Tirmizi.

Mungkin ada yang terfikir, kalau begitu tidak susah untuk menjadi baik dan berbuat baik. Seorang diripun boleh. Tidak perlu berpersatuan, kena datang mesyuarat, jadi ajk, ikut keputusan suara ramai dan berbagai-bagai commitment lagi.

Tunggu, jangan lupa tajuk perbincangan kita yang asal, iaitu kita hendak mengikuti Rasulullah s.a.w.  Baginda berdakwah dan mengajak manusia kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran. Memperbaiki diri hanyalah permulaan. Lagipun, yang disebutkan di dalam hadis di atas itu adalah kebaikan yang minimum. Orang yang bijak tidak berpada dengan mengambil yang minimum. Hidup ini terlalu singkat. Kita mesti rebut peluang kebaikan semaksimum mungkin.

Berbalik kepada mengikuti Rasulullah s.a.w. dalam berdakwah. Sedia maklum, dakwah adalah satu tugas yang berat. Tidak mampu dipikul oleh individu secara perseorangan. Ia mesti dilakukan bersama-sama dalam satu jamaah, satu organisasi yang tersusun kukuh. Allah s.w.t. berfirman maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff:4)

Oleh itu, kita mesti mengukuhkan saff kita ini. Sesuai dengan sebuah organisasi yang kecil, bilangan anggota yang sedikit, kita cuba mencari ruang dan peluang mengajak manusia kepada kebaikan bermula dengan diri kita sendiri. Dan oleh kerana ruang kebaikan itu terlalu luas skopnya, maka kita cari peluang-peluang yang mampu kita terokai sesuai dengan keupayaan yang ada pada kita serta besar pula ganjarannya. Antara yang kita boleh fikirkan ialah apa yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. ketika mula berhijrah ke Madinah.

Abdulullah bin Sallam r.a. berkata: "Manakala Nabi s.a.w. tiba di Madinah, aku datang menemuinya. Setelah aku meneliti wajahnya, tahulah aku bahawa wajahnya bukan wajah seorang pendusta. Maka perkara pertama yang baginda ucapkan ialah: "Wahai sekelian manusia, hebahkanlah salam, berikanlah makanan, hubungkanlah silatul-rahim, tunaikanlah solat ketika manusia sedang tidur di waktu malam, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera." At-Tirmizi dan Ibn Majah.

Saranan itu merupakan asas pembentukan masyarakat Islam di Madinah, iaitu bermula dengan pembentukan peribadi yang baik, hubungan yang intim dan harmoni dengan sesama manusia dan Pencipta, dan seterusnya bersambung ke alam abadi menuju ke syurga.

Dengan ini saya mencadangkan, untuk sesi akan datang, kita fokuskan perancangan dan aktiviti kita kepada empat perkara di atas:
Hebahkan salam
Berikan makanan
Hubungkan silatul-rahim
Tunaikan solat di waktu malam.

Mudah-mudahan Allah s.w.t. terus memimpin kita semua untuk memikul amanah menggerakkan pertubuhan ini demi mencapai redha dan cintaNya.


Wassalamu'alaikum wr. wb.

No comments:

Post a Comment