Wednesday, February 11, 2015

Kisah teladan – bahaya sombong

Jabalah bin al-Aiham seorang raja daripada raja-raja Ghassan. Iman telah menyusup ke dalam hatinya, lalu dia memeluk Islam.
Kemudian dia menulis surat kepada Khalifah Umar bin al-Khattab menyatakan hasratnya untuk datang ke Madinah.
Surat itu diterima Umar dengan penuh kegembiraan. Kaum muslimin juga turut bergembira dengan perkhabaran itu.
Umar menjawab suratnya dengan mempersilakan dia datang serta menyatakan bahawa hak kamu sama dengan hak kami. Tanggungjawab kamu sama dengan tanggungjawab kami.
Maka Jabalahpun datang bersama 500 orang tentera berkuda. Dia memasuki Madinah dengan memakai pakaian yang ditenun dengan emas, di atas kepalanya terletak mahkota bertatah permata yang berharga. Tenteranya juga memakai pakaian yang mewah-mewah.
Semua penduduk Madinah termasuk wanita dan kanak-kanak keluar untuk melihat Jabalah serta ahli rombongannya.
Umar mengalu-alukan ketibaannya dan membawa Jabalah duduk di sisinya di dalam majlis.
Apabila tiba musim haji, Umar berangkat ke Makkah untuk menunaikan haji. Jabalah ikut serta menunaikan haji.
Ketika Jabalah sedang tawaf, tiba-tiba kainnya dipijak oleh seorang lelaki miskin dari qabilah Bani Fizarah. Jabalah berpaling ke arah lelaki itu dengan marah lantas menampar mukanya sehingga patah hidungnya.
Lelaki itu mengadu kepada Umar.
Umar memerintahkan agar Jabalah datang mengadapnya.
Umar bertanya: apakah yang mendorong kamu menampar saudaramu sehingga patah hidungnya?
Jabalah menjawab: sesungguhnya dia telah memijak kainku. Kalaulah tidak kerana kemuliaan Baitillah, nescaya aku tetak lehernya!
Umar: maknanya kamu telah mengaku menamparnya. Maka kamu ada dua pilihan, sama ada memohon maaf daripadanya atau jika tidak, kamu dikenakan qisas. Dia menampar muka kamu sebagaimana kamu menampar mukanya.
Jabalah: dia akan membalas dengan menampar mukaku, sedangkan aku seorang raja dan dia pengembala?
Umar: wahai Jabalah, sesungguhnya Islam telah menyamakan antara kamu dengan dia. Tidak ada kelebihan seseorang ke atas yang lain kecuali dengan taqwa.
Jabalah: kalau begitu, biarlah aku memeluk kristian.
Umar: sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka hendaklah dibunuh! Justeru, jika kamu meniggalkan Islam dan memeluk kristian, aku pancung lehermu!
Jabalah: beri aku tempoh sehingga esok, wahai Amirul-Mukminin ....
Umar: baiklah. Aku beri kamu tempoh itu.

Pada malamnya Jabalah serta pengikutnya keluar dari Makkah menuju ke Qastantin lalu memeluk kristian.
Hari-hari berlalu berganti tahun. Keseronokan dunia semakin padam. Jabalah mula didatangi penyesalan. Dia teringat hari-hari berada di dalam dakapan Islam, teringat lazatnya solat dan siam (puasa). Dia menyesal kerana meninggalkan agama yang benar dan mempersekutukan Tahan semesta alam. Dia menangis sambil mengungkap syair:
Orang mulia memeluk kristian kerana malu untuk satu tamparan
Apalah kemudaratannya kalau dia bersabar?
Hatiku dibalut perasaan sombong dan bongkak
Aku telah menjual mata yang sihat dengan mata yang cacat.
Maka alangkah baiknya kalau aku tidak pernah dilahirkan oleh ibuku
Alangkah baiknya kalau aku kembali kepada apa yang telah diputuskan Umar untukku.....

Namun penyesalan hanya tinggal penyesalan. Akhirnya dia mati dalam kekufuran hanya kerana sombong dan enggan tunduk kepada Syari'at Tuhan semesta alam.

Dipetik daripada buku karangan Dr Muhammad bin Abdul-Rahman al-'Arifi, "Fi Batnil-Hut".





No comments:

Post a Comment