Monday, February 16, 2015

Mengingati syahidnya al-Banna

Hasan al-Banaa, nama penuh beliau ialah Hasan Ahmad Abdul Rahman Muhammad al-Banna as-Sa'ati
(14/10/1906 – 12/2/1949)

Beliau telah mengasaskan gerakan Ikhwan Muslimin dan merupakan mursyidnya yang pertama. Ditembak semasa keluar dari bangunan Jam'iyyah Syubban Muslimin di jalan Ramsis, Kahirah dan meninggal pada 12/2/1949

Ayah baliau Ustaz Ahmad as-Sa'ati menceritakan:

Aku mendapat khabar kewafatannya pada jam satu pagi dan diberitahu bahawa mereka tidak akan menyerahkan jenazahnya kepadaku kecuali selepas aku berjanji untuk menguburkannya pada jam 9 pagi tanpa sebarang upacara. Jika aku tidak sanggup berbuat demikian, mereka terpaksa membawa jenazahnya dari hospital Qasru Aini terus ke kubur.

Berdepan dengan keadaan demikian aku terpaksa berjanji untuk melaksanakan apa yang diperintahkan oleh kerajaan kerana aku mahu jenazah anakku dibawa ke rumahnya supaya aku dapat menatap wajahnya buat kali terakhir. Seketika sebelum fajar, mereka membawa jenazah ke rumah dalam keadaan bersembunyi. Tidak ada seorang jiranpun yang menyaksikannya dan tidak ada seorangpun yang mengetahui ketibaannya kecuali aku.

Kepungan di sekeliling rumah

Polis terus membuat kepungan, bukan saja di sekeliling rumah malah di sekeliling jenazah itu sendiri. Mereka tidak membenarkan seorangpun mendekatinya walaupun dari kalangan ahli keluarganya yang terdekat. Aku lakukan sendirian urusan memandi dan mengkafankan jenazah anakku. Tidak ada seoangpun insan yang bertugas secara khusus dalam urusan ini dibenarkan masuk. Kemudian jenazah diangkat dan diletakkan kembali di atas keranda yang mereka bawa tadi.

Kemudian timbul persoalan, siapakah yang akan mengusung jenazah ini ke tempat persemadiannya? Aku meminta kepada pihak polis agar membenarkan beberapa orang lelaki datang untuk mengungung keranda, namun mereka menolak permintaanku. Aku berkata kepada mereka bahawa di rumah ini tiada seorang lelakipun. Mereka menjawab, biarkan ia dibawa oleh wanita. Maka jenazah dibawa ke kubur dengan diletakkan di atas bahu kaum wanita.

Puluhan mata mengiringi jenazah

Jenazah diusung tanpa pengiring ke tanah perkuburan. Sepanjang jalan di kanan kiri polis berkawal dengan kawalan yang sangat ketat. Puluhan mata mengiringi jenazah dari celah-celah tingkap rumah-rumah yang berderet di sepanjang jalan. Mereka memandang dengan perasaan kasihan dan kemarahan yang membuak-buak kepada kezaliman yang dilakukan.

Masjid yang kosong

Ketika kami sampai di masjid Qaisun untuk solat jenazah, tidak ada seorangpun yang berada di dalam masjid, sehingga petugas-petugas masjid telah diarahkan keluar daripadanya sebelum kami sampai supaya mereka tidak ikut solat ke atas jenazah anakku.

Solat dan airmata

Aku berdiri di hadapan jenazah untuk solat. Maka air mata mengalir deras dari mataku. Sebenarnya ia bukan air mata, tapi rintihanku ke langit agar menurunkan rahmatNya kepada manusia. Kemudian jenazah dibawa ke tanah perkuburan, lalu kami tanam jasad yang padanya terletak harapan yang amat tinggi. Dan kami pulang ke rumah yang sedang menangis kesedihan.

Siang berlalu, malampun tiba. Tiada seorangpun datang mengucap takziah kerana bala tentera bak singa menghalang mereka datang. Kalau ada yang berjaya menyusup masuk, mereka tidak akan sampai ke rumah mereka kembali kerana ditangkap dan disumbat ke dalam penjara."

Itulah dunia

Dalam masa 12 jam as-Syahid Hasan al-Banna dibunuh, dibedah, dimandi, dikafan dan ditanam. Dengan cara itu berakhir sebuah kehidupan. Tiga orang wanita yang mengusung jenazah di bahu mereka pulang ke rumah, serta seorang ayah yang meratap kesedihan.

Selepas disemadikan di tanah perkuburan imam asy-Syafi'i, sekupumpulan tentera berkawal di sepanjang jalan menuju ke kubur dan sekumpulan lain berkawal di sepanjang jalan menuju ke rumah asy-Syahid. Tiada seorangpun dibenarkan masuk walaupun untuk berzikir dan baca al-Quran. Kalau ada yang masuk, mereka akan dtangkap dan dipenjarakan walaupun mereka hanyalah seorang jiran (bukan anggota Ikhwan).





No comments:

Post a Comment