Sunday, May 24, 2015

Peranan Wanita Dalam Mendidik Generasi Lelaki Pelindung Wanita

Pendahuluan

“Inilah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang memberi penjelasan. (2) Kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari kisah Nabi Musa dan Firaun dengan keterangan yang benar bagi orang-orang yang beriman. (3) Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah dia dari golongan yang membuat kerosakan. (4) Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). (5) Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu. (6) Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami. (7) Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah. (8) Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: (Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya). (9) Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah). (10) Dan berkatalah dia kepada kakak Musa: Pergilah cari khabar beritanya. (Maka pergilah ia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya. (11) Dan Kami jadikan dia dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata: Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya? (12) Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya) dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu). (13) Dan ketika Musa sampai ke peringkat umurnya yang cukup kekuatannya dan sempurna, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan dan demikian Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.“ (14)
…………………………………….
“Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing) dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: Apa hal kamu berdua? Mereka menjawab: Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga penggembala-penggembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya. (23) Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan. (24) Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami. Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu. (25) Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah. (26) Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama lapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya. (27) Musa menjawab: Perjanjian itu adalah antaraku denganmu (tetap dihormati bersama); yang mana sahaja dari dua tempoh itu yang aku tunaikan, maka janganlah hendaknya aku disalahkan dan Allah jualah menjadi Pengawas terhadap apa yang kita katakan itu. (28) Setelah Musa menyempurnakan tempoh kerjanya itu dan (mendapat izin) berjalan dengan isterinya (kembali ke Mesir), dia melihat (dalam perjalanannya itu) api dari sebelah Gunung Tursina. (Ketika itu) berkatalah dia kepada isterinya: Berhentilah; sesungguhnya aku ada melihat api, semoga aku dapat membawa kepada kamu sesuatu berita dari situ atau sepuntung dari api itu, supaya kamu dapat memanaskan diri.” (29)         

Surah al-Qasas      

Kisah bermula dengan satu bangsa yang tertindas, ditindas dan diperhambakan oleh pihak pemerintah. Penindasan yang amat dahsyat digambarkan di dalam ayat "Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah dia dari golongan yang membuat kerosakan.” (Al-Qasas:4)
Mereka diperkotak-katikkan, dipecah-belah dan dilaga-lagakan. Anak-anak lelaki dibunuh, manakala anak-anak perempuan dibiarkan hidup.

Adakah terdapat scenario sebegini pada hari ini?

Anak-anak lelaki dibunuh?
" PUTRAJAYA: Statistik penagih dadah golongan belia yang dikesan dari Januari hingga Julai tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata jumlah penagih belia pada tahun ini ialah 2,242 iaitu 70.4 peratus dari jumlah keseluruhan penagih, seramai 3,185 orang.
"Jumlah penagih tahun lalu ialah 3,767. Golongan belia didefinasikan berumur antara 16 hingga 39 tahun," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Program Bual Bicara Kenali anak kita peringkat kementerian serta Majlis menandatangani memorandum kerjasama antara Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), di sini, hari ini.

Beliau berkata antara faktor penurunan itu ialah keberkesanan program yang dijalankan kementerian dalam memberi pendedahan kepada ibu bapa mengenai bahaya dadah.

Terdahulu dalam ucapannya, Rohani berkata, jurang perbezaan antara remaja dan ibu bapa perlu diuruskan dengan bijaksana kerana ia amat mempengaruhi hubungan kekeluargaan terutamanya membabitkan komunikasi dalam keluarga.” (BH 2013/11/13)

“SABAN tahun negara akan dikejutkan dengan isu nisbah tidak seimbang apabila bermulanya sesi kemasukan mahasiswa baharu ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Hakikatnya, jumlah pelajar perempuan meneruskan pengajian di IPT jauh lebih ramai berbanding lelaki sudah menjadi fenomena sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, nisbah antara bilangan pelajar lelaki dan perempuan di beberapa universiti untuk kemasukan sesi ini adalah sebanyak 30:70 di Universiti Kebangsaan Malaysia dan 33:67 di Universiti Putra Malaysia.
Walaupun terdapat pandangan yang mengatakan perkara ini tidak begitu membimbangkan, jurang tidak seimbang bilangan antara pelajar lelaki dan perempuan akan memberikan implikasi jangka masa panjang sekiranya langkah-langkah kawalan dan tindakan bersepadu semua pihak tidak dilaksanakan.” (UM 14/09/2011)

Apabila Allah takdirkan penindasan itu berakhir, dilahirkan seorang anak lelaki sebagai pembela dan lihat betapa peranan yang dimainkan oleh wanita dalam melahir dan memelihara dan mendidik anak itu.

Ibn Kathir menceritakan:
“Setelah Firaun membunuh begitu ramai anak-anak lelaki Bani Israel, orang-orang Qibti berasa bimbang Bani Israel akan pupus. Jika begitu, merekalah yang akan mengambil alih kerja berat yang selama ini dipikul oleh Bani Israel. Apabila mereka menyatakan kebimbangan ini kepada Firaun, maka Firaun perintahkan supaya pembunuhan dilakukan secara selang seli. Setahun dibunuh dan setahu lagi dibiarkan. Maka Harun dilahirkan pada tahun yang tiada pembunuhan. Musa pula dilahirkan pada tahun pembunuhan.
Firaun melantik pegawai-pegawai yang memantau perkembangan Bani Israel dan melantik bidan-bidan yang khusus untuk menyambut kelahiran anak-anak mereka. Jika lahir anak perempuan, mereka biarkan. Jika lahir anak lelaki, bidan akan memanggil pembunuh lantas anak itu segera dibunuh.
Ketika ibu Musa hamil, Allah lindungi kehamilannya dan mereka tidak menyedarinya. Namun apabila dia melahirkan anak lelaki dia mula rasa bimbang mereka dapat mengesaninya.
“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.” (Al-Qasas:7)

PERANAN WANITA SEBAGAI IBU

Di sinilah terserlahnya peranan ibu atau wanita. Ibu mesti beriman kepada janji Allah, tawakkal dan pasrah.

Ibu Musa telah dijanjikan anaknya akan dialantik menjadi salah seorang daripada rasul-rasul Allah. Pengajaran untuk ibu-ibu, letakkan harapan, jadikan cita-cita anak yang dilahirkan akan menjadi seorang muslih, seorang yang berjasa membawa ummah keluar dari kemelut kejahilan, kemuduran, penindasan dan sebagainya.

PERANAN WANITA YANG MEMPUNYAI KEDUDUKAN

Selain ibu, wanita yang mempunyai kedudukan di dalam Negara atau masyarakat juga berperanan. Allah Ta’ala berfirman (maksudnya): “Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: (Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).” (Al-Qasas:9)

Musa yang diletakkan di dalam sebuah peti hanyut dibawa arus. Peti itu melintasi istana Firaun, lalu dipungut oleh dayang-dayang. Dayang-dayang mempersembahkan peti itu kepada permaisuri tanpa mengetahui apa yang ada di dalamnya. Mereka takut timbul fitnah jika mereka membukanya tanpa kehadiran permaisuri. Apabila peti itu dibuka, mereka mendapati di dalamnya seorang bayi yang sungguh comel membuatkan setiap orang yang memandangnya akan menyayanginya. Apabila Firaun mengetahui tentang kehadiran bayi itu, dia memerintahkan agar bayi itu dibunuh kerana disyaki ia anak keturunan Bani Israel. Asiah bertegas mempertahankannya dan merayu agar ia tidak dibunuh.
Ini menyerlahkan sikap seorang wanita yang berada di puncak kuasa. Dia mestilah seorang yang beilmu, mengetahui yang benar dan yang salah, prihatin, tidak membiarkan kezliman berlaku di depan mata. Berani mempertahan dan membela kebenaran walaupun berhadapan dengan suami sendiri, seorang maharaja yang ganas dan garang.



PERANAN WANITA SEBAGAI ANGGOTA MASYARAKAT

Seterusnya wanita sebagai anggota masyarakat yang dilambangkan sebagai Ukhti Musa. “Dan berkatalah dia kepada kakak Musa: Pergilah cari khabar beritanya. (Maka pergilah ia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya. Dan Kami jadikan dia dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata: Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?” (Al-Qasas: 11-12)

Sebagai anggota masyarakat, wanita mesti peka terhadap apa yang berlaku di sekitarnya, mempastikan tidak ada bahaya yang bakal menimpa dan tidak lengah dalam mengemukakan cadangan yang boleh menyelamatkan masyarakat dari perkara-perkara yang tidak diingini.
Ibu Musa menyuruh puterinya memerhati keadaan peti yang membawa adiknya dari jauh dan berhati-hati agar pergerakannya tidak disedari dan dicurigai. Apabila Musa dijadikan anak angkat oleh permaisuri Firaun, dipanggillah perempuan-perempuan yang ada di istana untuk menyusukannya, namun bayi itu enggan menghisap susu mereka. Musa dibawa ke pasar dengan harapan bertemu dengan perempuan yang dapat menyusukannya. Apabila kakaknya terpandang bayi itu, dia mengenalinya namun dia tidak mendedahkan identitinya. Dia berkata kepada mereka yang membawa adiknya: “Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?” Mereka memandang kakak Musa dengan penuh curiga dan berkata: “Mana kamu tahu keluarga itu akan menyayangi bayi ini dan menjaga dengan ikhlas?”
Kakak Musa menjawab: “Mereka akan menjaga bayi ini dengan sebaiknya dan menyayanginya dengan ikhlas demi menyenangkan hati Raja dan menerima ganjaran darinya.”
Mereka dapat menerima jawapan yang diberikan, lantas membawa Musa ke rumah yang ditunjukkannya. Musa diserahkan kepada ibunya. Mereka begitu gembira melihat Musa mahu menyusu dengan wanita itu. Perkhabaran yang baik itu segera disampaikan kepada permaisuri yang menyambutnya dengan gembira yang tidak terkata.
Permaisuri menjemput ibu Musa ke istana. Dia memuliakannya dan memberinya hadiah yang sangat lumayan. Dia menawarkan Ibu Musa tinggal di istana untuk menyusukan Musa. Ibunya menolak dengan alasan yang dapat diterima oleh permaisuri:
“Sesungguhnya patik ada suami dan anak-anak. Oleh itu patik tidak dapat tinggal di sini. Namun sekiranya tuanku mahu patik susukan dia di rumah patik, patik sedia lakukannya.” Permaisuri bersetuju. Dia memberikan upah yang lumayan, sentiasa berhubung dan mengambil berat tentang urusan keluarga itu. (Ibn Kathir)

Hasil didikan ibu yang solehah, lahirlah anak yang menjadi pelindung wanita. “Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.” (Al-Qasas:24)
Pertemuan Musa dengan dua orang gadis puteri Syuaib yang dikisahkan di dalam ayat ke 23 hingga 28 memaparkan banyak pengajaran.

Tentang hukum wanita keluar bekerja serta tanggungjawab masyarakat, khususnya kaum lelaki dalam menangani masalah yang dihadapi oleh wanita yang terpaksa bekerja. Dan apabila Musa dijemput untuk bertemu dengan ayah gadis yang ditolongnya, beliau tidak langsung mengambil kesempatan berbuat perkara yang tidak senonoh. Diceritakan bahawa ketika berjalan ke rumah gadis itu, Musa meminta supaya gadis itu berjalan di belakangnya agar dia tidak dapat melihat linggang lingguk dan susuk tubuhnya ketika berjalan, lebih-lebih lagi waktu itu angin sedang bertiup kencang.

PERANAN WANITA YANG MASIH GADIS

Ayat-ayat di atas juga mengandungi panduan dalam memilih pasangan. Untuk melahirkan generasi yang soleh dan musleh, wanita wajib menyedari bahawa unsur yang paling penting yang mesti diberi keutamaan ialah orang yang bakal menjadi ayah kepada anaknya. Jangan hanya memandang pada rupa, pangkat atau harta semata-mata. Sebaliknya pilih pasangan yang berakhlak mulia, amanah dan bertanggungjawab. “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah. Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini,….” (Al-Qasas: 26 – 27)

Langkah yang diambil oleh Nabi Syuaib menawar puterinya berkahwin dengan Musa melambangkan keprihatinan seorang ayah yang menjadi pelindung kepada anak-anak perempuannya. Bayangkan sekiranya dia menerima cadangan puterinya supaya mengambil Musa sebagai pekerja, secara tidak langsung mungkin akan terjadi pergaulan bebas yang sukar dikawal. Untuk menyelamatkannya, dia terus tawarkan supaya berkahwin di samping mungkin dia sendiri telah dapat membaca riak rasa cinta yang berputik di dalam hati puterinya. Maskahwin yang begitu tinggi adalah mengelak salah faham bahawa tawarannya itu sesuatu yang terdesak.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, Allah Ta’ala mengiktiraf peranan wanita dalam melahirkan generasi yang soleh dan musleh. Namun peranan ini tidak boleh dimainkan secara bersendirian dan terpisah daripda kaum lelaki. Di dalam al-Quran, banyak ayat-ayat yang menunjukkan bapa memainkan peranan yang langsung dalam mendidik dan menanamkan nilai murni di dalam diri anak-anak. Lihat surah Luqman ayat 13 hingga 19, al-Baqarah ayat 133 dan lain-lain.

Wacana Wanita Selangor
Shah Alam
22 Mei 2015
05 Syaaban 1436


No comments:

Post a Comment