Wednesday, July 29, 2015

Wasiat Berguna Untuk Semua


Manakala Umar bin Abdul Aziz dilantik menjadi khalifah, beliau terus menghantar surat kepada Hasan Basri, seorang ulamak yang terkenal dengan taqwa dan warak meminta nasihat bagaimana menjadi seorang pemerintah yang adil. Maka Hasan menjawab surat tersebut, surat yang mengandungi nasihat berguna bukan saja kepada khalifah Umar, malah kepada seluruh umat sehingga akhir zaman. Antara lain, beliau menulis:
·      Ketahuilah wahai Amirul-Mukminin, sesungguhnya Allah menjadikan imam yang adil itu penegak kepada setiap yang menyeleweng, tempat bergantung orang yang tergelincir, kekuatan bagi yang lemah, pembela bagi yang dizalimi, penyelamat bagi yang kebulur.
·      Imam yang adil wahai Amirul-Mukminin, seperti pengembala yang sangat sayangkan untanya, yang berlemah lembut dengannya, yang sentiasa membawanya ke padang rumput yang paling subur, yang mempertahankannya dari sebarang ancaman yang membinasakannya, yang mengawalnya dari binatang buas, yang melindunginya dari gigitan panas dan sejuk.
·      Imam yang adil wahai Amirul-Mukminin, seperti ayah yang sangat cintakan anaknya, dia berkerja keras untuk mereka sewaktu mereka kecil, mengajar mereka ketika mereka besar, mencari harta untuk mereka semasa hayatnya, menyimpan atau menabung untuk mereka selepas dia meniggal dunia.
·      Imam yang adil wahai Amirul-Mukminin, seperti ibu yang sangat menyayangi anaknya, berbakti dan menatangnya dengan sepenuh hati. Dia mengandungnya dengan kepayahan, melahirkannya dengan kepayahan, membelainya semenjak bayi, berjaga malam ketika anaknya tidak tidur dan hanya berehat ketika anaknya terlena, menyusukannya ketika dia memerlukan dan menceraikan susunya ketika anaknya tidak lagi memerlukan. Dia gembira apabila anaknya sihat, dan berduka ketika anaknya mengaduh sakit.
·      Imam yang adil wahai Amirul-Mukminin, penerima wasiat untuk memelihara anak-anak yatim, penyimpan khazanah orang-orang miskin, dia mendidik mereka yang masih kecil, menyara mereka yang sudah besar. Dia laksana hati bagi seluruh anggota. Anggota akan baik sekiranya hati itu baik. Dan akan rosak sekiranya hati rosak. Dia pemegang tanggungjawab antara Allah dengan hamba-hambaNya. Dia mendengar Kalam Allah dan memperdengarkannya kepada mereka. Dia memandang (mengenali) Allah dan memperkenalkan Allah kepada mereka. Dia dipimpin kepada Allah dan dia memimpin mereka kepadaNya. Maka janganlah engkau wahai Amirul-Mukminin, dengan kuasa yang Allah beri kepadamu itu, jadi seperti seorang hamba yang tuannya amanahkan kepadanya harta dan keluarganya, lalu dia menghabiskan harta tuannya, mengusir keluarganya sehingga keluarga tuannya jadi papa dan dia menghambur-hamburkan harta tuannya.
·      Ketahuilah wahai Amirul-Mukminin, sesungguhnya Allah turunkan hukum hudud untuk menggentarkan manusia dari kelakuan buruk dan jahat. Maka apa akan terjadi sekiranya orang yang diamanahkan melaksanakan hudud melakukan kejahatan? Sesungguhnya Allah menurunkan hukum qisas untuk memelihara kehidupan hambaNya. Maka apa akan terjadi sekiranya orang yang dipertanggungjawabkan melaksanakan qisas itu sendiri yang membunuh rakyatnya? Ingatlah wahai Amirul-Mukminin akan kematian dan apa yang berlaku selepasnya, sedikitnya orang yang akan bersamamu ketika itu dan tiada yang dapat menolongmu di waktu itu. Maka sediakanlah bekalan untuk menghadapi saat itu dan dugaan yang maha besar selepas itu.


No comments:

Post a Comment