Monday, December 28, 2015

CIRI-CIRI PEMIMPIN MENURUT AL-QURAN

Ramai yang berpendapat bahaw pemimpin yang ada sekarang kurang prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat. Lantaran itu mereka perlu diganti.
Soalnya apakah ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemimpin yang benar-benar boleh diharapkan dapat membela nasib rakyat semua peringkat?

Untuk menjawabnya, mari kita perhatikan ciri-ciri pemimpin yang dinyatakan di dalam al-Quran:
Firman Allah bermaksud: "Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata: Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya." (Al-Baqarah:247)

Di dalam ayat ini, Bani Israel menolak perlantikan Talut sebagai raja mereka kerana dia bukan dari keturunan raja dan bukan dari kalangan orang yang berharta. Namun Allah menyebut dua ciri utama yang ada pada Talut yang melayakkan dia dipilih menjadi raja, iaitu keluasan ilmu dan kekuatan tubuh badan. Keturunan dan harta bukanlah perkara yang utama untuk melayakkan seseorang itu menjadi pemimpin yang baik dan berwibawa.

Ciri seterusnya, firman Allah bermaksud: "Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya". (Yusuf:55)

Apabila Nabi Yusuf alaihissalam ditawarkan jawatan dalam kerajaan Mesir, beliau menawarkan diri untuk mengurus perbendaharaan hasil bumi Mesir dengan alasan beliau mempunyai kepakaran dalam bidang itu, iaitu hafeedz dan 'aleem. Hafeedz bermakna sangat menjaga dan 'aleem bermakna sangat mengetahui. Jadi orang yang hendak dipilih menjadi ketua yang diamanahkan mentadbir negara dan menjaga kepentingan rakyat jelata mesti memiliki dua ciri ini; yang sangat mengetahui cara mentadbir (berilmu la maksudnya) dan sangat menjaga, atau dengan kata lain: amanah, tidak khianat, tidak mengaut khazanah negara atau yang didermakan dari luar negara untuk kegunaan atau kepentingan peribadi semata-mata.
Ada ilmu tanpa amanah, harta disalah guna
Ada amanah tanpa ilmu, harta diguna dengan cara yang salah.

Berikutnya pula kita perhatikan firman Allah Ta'ala yang bermaksud: "Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah." (Al-Qasas:26)

Ayat di atas merupakan petikan daripada kisah Nabi Musa alaihis-salam yang bertemu dengan dua orang gadis yang terpaksa menjalankan kerja mengembala kambing disebabkan ayah mereka yang tua. Lalu seorang daripada gadis itu mencadangkan supaya Musa diambil bekerja dengan mereka. Perhatikan kebijaksanaan gadis itu menilai ciri yang mesti ada pada calon yang hendak diambil bekerja sebagai pengembala kambing! Dia mestilah seorang yang kuat lagi amanah.

Untuk menjaga kambing di sebuah ladang milik satu keluarga sahaja mesti kuat lagi amanah, maka apa lagi kalau yang hendak dijaga itu sebuah negara yang di dalamnya manusia, kambing dan segala khazanah yang melata di atas bumi dan yang terpendam di dalamnya? Tidakkah lebih-lebih lagi memerlukan kekuatan yang amat kental, bukan sahaja kekuatan jasmani, malah kekuatan dalam semua aspek di samping sifat amanah yang tidak bolah diketepikan sama sekali.
Kuat tanpa amanah, senanglah nak kaup semua benda!
Amanah tapi tak kuat, bagaimana nak pertahankan harta yang dijaga?

Di dalam ayat berikut, Allah berfirman maksudnya: "Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.” (As-Sajdah:24)
Dua ciri yang ditonjolkan di dalam ayat di atas: sabar dan yakin kepada ayat-ayat Allah.
Menurut ahli tafsir, maksud sabar bukan sekadar sabar dalam menghadapi kesukaran memimpin, sebaliknya yang lebih penting adalah sabar ketika berhadapan dengan godaan dunia seperti senangnya mengaut harta melalui projek-projek pembangunan, sogokan-sogokan dan lain-lain.
Manakala yakin kepada ayat-ayat Allah dapat mengawal diri daripada sebarang bentuk kekeliruan atau tergelincir dari jalan yang lurus.
Ibn Taimiah mengungkapkan dengan bahasanya yang ringkas, tepat dan padat: "Dengan sabar pemimpin dapat mengawal diri dari syahwat (keinginan kepada dunia),
dengan yakin pemimpin dapat mengawal diri dari syubuhat".

Ciri yang berikut ini adalah berdasarkan ayat-ayat yang memuji sikap serta keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang pemimpin yang paling unggul, yang wajib dicontohi oleh semua pemimpin.
Firman Allah Ta'ala bermaksud:
"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Aali ’Imran:159)
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubah:128)

Perhatikan sifat-sifat terpuji yang menghiasi peribadi baginda s.a.w: pengasih, sangat mengambil berat, berlemah lembut dan pemaaf. Baginda sentiasa memberi perhatian terhadap kesusahan yang dialami oleh masyarakat dan sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah ummah dengan cara yang paling bijaksana.

Mungkin ada yang bertanya, adakah pemimpin yang memiliki semua ciri-ciri yang disebutkan itu?

Sesungguhnya ia tidak lahir dalam sehari semalam. Tidak terjadi secara tiba-tiba. Tidak muncul dengan tongkat mukjizat Nabi Musa. Ia mesti diusahakan. Mesti dibentuk dengan proses tarbiah yang mantap dan berkesan. Sesungguhnya kenyataan hari ini adalah jelmaan mimpi semalam. Ayuh kita sama-sama mengorak langkah menyediakan generasi yang bakal memimpin umat ini pada hari esok mengikut model kepimpinan nubuwwah berteraskan konsep khilafah.



No comments:

Post a Comment