Saturday, February 27, 2016

JOM TADABBUR 17 - Aali ‘Imran:26-27


Sedang hangat berita mengenai seseorang yang dipecat dari jawatan timbalan presiden sebuah parti politik yang kini berkuasa di tanah air kita yang tercinta.
Kepada kedua-dua pihak yang memecat dan dipecat, marilah kita tadabbur firman Allah Ta'ala di dalam kitab suciNya yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya.” (Aali ‘Imran:26-27)

Ayat di atas menerangkan bahawa dalam hidup ini kita mengalami perubahan dan pertukaran dari segi:
1.    Kuasa. Kadang-kadang kita diberi kuasa, kadang-kadang kuasa ditarik daripada genggaman kita.
2.    Mulia dan hina. Ada ketika kita dipandang mulia, ada ketikanya kita dihina.
3.    Hidup dan mati. Hari ini kita hidup, namun pada bila-bila masa saja hidup ini bertukar kepada mati.
4.    Rezeki. Ada masa rezeki melimpah ruah. Namun ada ketikanya segala pintu bagaikan enggan terbuka walau seketika cuma.

Kalau kita insaf adanya pertukaran serta perubahan di dalam hidup ini, dan pertukaran serta perubahan itu bukan ditentukan oleh kita atau sesiapa saja di muka bumi ini, tentunya kita tidak akan berlagak sombong dan bongkak ketika berkuasa, disanjung sebagai orang mulia, bernafas lega menghirup udara dalam timbunan harta berjuta-juta.


Dan begitulah juga sebaliknya, kita tidak mungkin keciwa dan berputus asa andai dipecat, dihina dan dirampas segala yang ada pada kita kerana sebagaimana Allah menukarkan malam menjadi siang dan siang menjadi malam, begitulah pertukaran itu pasti berlaku dalam hidup kita, baik sebagai individu mahupun sebagai suatu bangsa. Lebih-lebih lagi mereka yang sedang berjuang untuk mengislah diri menuju negara rahmah, negara indah penuh maghfirah.  

No comments:

Post a Comment