Sunday, March 20, 2016

Rasulullah s.a.w. mengajar umatnya agar sentiasa positif dan produktif


Abu Dzar Jundub bin Junadah r.a. berkata:
"Saya bertanya Rasulullah s.a.w.: wahai Rasulullah, amalan manakah yang paling afdhal?
Baginda menjawab: Iman kepada Allah dan jihad di jalanNya.

Saya bertanya lagi: riqab (membebaskan hamba) manakah yang paling afdhal? Baginda menjawab: yang paling bernilai di sisi tuannya dan yang paling mahal harganya.

Saya bertanya lagi: sekiranya saya tidak dapat melakukannya?
Baginda menjawab: kamu tolong orang yang bekerja atau lakukan pekerjaan untuk bantu orang yang tiada pekerjaan.

Saya bertanya lagi: wahai Rasulullah, sekiranya saya tidak mampu melakukan amalan-amalan itu?
Baginda menjawab: tahan diri kamu daripada berbuat jahat kepada manusia. Itu merupakan sedekah daripada kamu kepada diri kamu."  Muttafaq 'alaih.

Beberapa pengajaran:
1.     iman juga termasuk dalam kategori amal. Bukan hanya sekadar bercaya di dalam hati. Kemuncak iman adalah jihad, berjuang dan berkorban demi menegakkan dan mempertahankan apa yang diimani
2.     membebaskan hamba pada zaman ini bolehlah diaplikasikan dengan sumbangan untuk membebaskan umat yang ditindas dan dijajah, khususnya di Palestin, Syria dan lain-lain
3.     orang yang tidak mempunyai harta untuk disumbangkan, tidak bermakna peluang beramal baginya telah tertutup. Dia boleh menyumbang tenaga, kepakaran, idea dan lain-lain untuk membantu pihak-pihak yang memerlukan
4.     dan sumbangan yang tidak kurang besarnya adalah sentiasa menjaga diri baik perbuatan, perkataan serta kelakuan kita dari menyakiti atau menzalimi orang lain, sama ada ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sekerja, pengguna jalanraya, pengguna media sosial dan banyak lagi
5.     sentiasa fikirkan yang terbaik dan yang bermanfaat untuk diri, agama, umat serta alam seluruhnya.
Allahu A'lam



No comments:

Post a Comment