Sunday, May 22, 2016

TAZKIRAH


Beberapa hari lalu saya hadir majlis tahlil yang diadakan untuk mengingati insan tersayang yang telah berhijrah ke alam baqa.

Selesai tahlil dan doa, secara spontan mereka meminta saya memberi tazkirah.
Di sini, saya ingin kongsi idea spontan saya, mudah-mudahan ianya membantu sahabat-sahabat bila diminta beri tazkirah. Sebagai panduan, cuba kaitkan tazkirah yang hendak diberikan itu dengan majlis atau suasana yang sedang berlaku. Di bawah ini adalah poin-poin yang hadir secara spontan yang sempat saya samapaikan.

Alhamdulillah, kita baru selesai majlis tahlil untuk mengingati orang-orang yang kita sayangi yang telah pergi meninggalkan kita. Hari ini kita mengadakan majlis untuk mereka. Suatu hari nanti, mungkin esok atau lusa orang akan buat untuk kita pula. Namun kita tidak boleh mengharap pada tahlil yang dibuat untuk kita. Kita mesti bersedia selagi hayat masih ada. Melihat kepada diri sendiri serta puan-puan yang hadir petang ini kebanyakannya sudah mencapai usia 50an dan 60an maka tempoh hayat kita pastinya tidak akan lama lagi. Jangka hayat kita pastinya lebih singkat berbanding dengan masa yang telah kita lalui. Dan kalaupun ditakdirkan lebih lama atau sama dengan usia yang telah berlalu, pastinya keadaan tetap tidak sama. Kita tidak sesihat dan tidak secergas dulu.

Puan-puan, hidup kita di dunia ini terlalu singkat berbanding dengan akhirat yang tidak ada hujung penamat. Mampukah kita mempersiapkan bekalan untuk hidup dalam jangka masa yang tidak berpenghujung dalam tempoh hidup yang singkat ini?

Dari segi logik akal yang biasa, mungkin kita rasa tidak mencukupi. Namun Allah Ta'ala yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pemurah, Maha Pengampun memberi kita ruang yang seluas-luasnya untuk mempersiapkan bekalan yang mencukupi walaupun amalan yang kita lakukan amat sedikit. Bagaimanakah caranya amalan yang sedikit memungkinkan kita mendapat ganjaran yang tidak terkira banyaknya?

Pertama : Allah gandakan pahala, setiap kebaikan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Ertinya apabila kita melakukan satu kebaikan seolah-olah kita melakukan 10 hingga 700 kebaikan. Kalau dalam sehari kita buat 20 kebaikan, maka banyak mana ganjaran yang Allah akan berikan? Subhanallah!

Kedua : Terdapat amalan yang ganjarannya tidak terikat dengan kadar antara 10 hingga 700 kali ganda. Sebaliknya ganjarannya adalah tanpa hisab, iaitu tanpa kadar yang boleh disukat. Allah akan berikan seberapa banyak yang Dia kehendaki.  Apakah amalan itu? Iaitu sabar (az-Zumar:10) dan puasa adalah separuh daripada sabar (maksud hadis riwayat at-Tirmizi). Maka beruntunglah orang yang sabar dan banyak berpuasa.

Ketiga : Dalam setahun Allah kurniakan pula satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan, iaitu lailatul-qadar. Sungguhpun lailatul-qadar dirahsiakan waktunya, kita tidak disuruh mencarinya setiap malam dalam setahun (lebih kurang 360 malam), tidak juga setiap malam dalam 30 malam bulan Ramadhan. Kita hanya digalakkan mencarinya dalam masa 10 malam daripada malam-malam terakhir bulan Ramadhan. Mencari satu daripada 10 adalah jauh lebih mudah daripada mencari satu daripada 360 atau satu daripada 30.  Tidak sanggupkah kita untuk bersungguh-sungguhnya mencarinya? Hanaya dalam masa 10 malam sahaja untuk mendapat yang lebih daripada 1000 bulan?

Keempat : Amalan yang boleh menggandakan pahala kita adalah dakwah. Mengajak orang lain mengenal Allah, taat kepada Allah, melakukan kebaikan yang Allah suka dan seumpamanya. Ganjarannya adalah sama dengan apa yang diamalkan oleh orang yang kita ajak, tidak kurang walau sedikitpun (makasud hadis riwayat Muslim). Dan kalau seorang diberi hidayah melalui usaha kita, maka ganjarannya lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di dalamnya (maksud hadis riwayat al-Bukhari). Maka jangan kedekut, jangan simpan ilmu yang ada walaupun sedikit. Semakin ramai orang yang mengikuti kebaikan yang kita anjurkan, semakin banyak ganjaran yang Allah beri dengan izinNya.

Kelima : Niat. Allah akan bangkitkan kita di akhirat nanti dalam keadaan bagaimana kita mati (makasud hadis riwayat Muslim). Kalau kita mati dalam keadaan melakukan kebaikan, maka dibangkitkan dalam keadaan itu. Dan jika berniat untuk buat baik kemudian mati sebelum sempat melakukannya, akan diberi pahala melakukannya secara berterusan (al-Hajj:58). Maka sentiasalah menjaga niat yang baik. Jangan sekali-kali membiarkan niat tidak baik bercambah dan bertapak di dalam hati kerana kita tidak mengetahui bila malaikat maut akan mencekup nyawa kita. Kalau tidak berhati-hati, mungkin dia datang ketika kita sedang berkira-kira untuk melakukan maksiat, na’udzu billah.

Mudah-mudahan tazkirah yang ringkas ini bermanfaat untuk diriku dan sahabat-sahabat yang mendengar dan membacanya. Allahu A’lam.






No comments:

Post a Comment