Monday, November 21, 2016

ELITE's CAMP 18


Pada 11 hingga 13 November 2016 saya diberi kesempatan menghadiri satu latihan kepimpinan yang dianjurkan oleh sebuah syarikat yang gigih berjuang mengeluarkan produk halalan toyyiban untuk kegunaan muslim khususnya dan umat manusia amnya di Indonesia.

Latihan yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu sangat luar biasa, mencabar dan amat berkesan.

Hari pertama para peserta seramai 105 (10 orang dari Malaysia dan selebihnya adalah dari Indonesia) diarahkan melaporkan diri dan berkumpul di ibu pejabat syarikat (KanPus atau Kantor Pusat) pada jam 7.30 pagi.

Selepas diberi sedikit taklimat dan ucapan perasmian, peserta dibawa ke lokasi program dengan menaiki trak askar (tronton), duduk bersusun-susun dalam keadaan padat bercampur orang dengan barang-barang keperluan. Perjalanan mengambil masa hampir tiga jam.

Daripada mula sampai, acara terus menerus di dalam dewan. Berhenti sekejap untuk solat dan makan tengahari, kemudian bersambung lagi. Ketika berhenti untuk solat maghrib dan makan malam, peserta diarahkan supaya menukar pakaian untuk acara padang. Masa yang diberi hanya sempat untuk tukar pakaian, tapi tak sempat mandi. Tambahan air bermasalah, sekap keluar, sekejap kering.

Masuk ke dewan ada pengisian yang berlainan daripada pengisian pada siang tadi. Pengisian sebelah malam berupa kuliah agama tentang kepentingan membangun ekonomi umat dari perspektif agama. Mata mula diserang ngantuk dan terasa agak bosan kerana dalam hati saya terfikir bahawa kebanyakan poin-poinnya saya sudah tahu dan biasa dengar. Saya kerap melihat jam di tangan. Sudah lebih 10 malam, ceramah masih belum nampak gaya untuk berhenti. Saya menjangkakan, berdasarkan apa yang pernah dilalui semasa menghadiri apa-apa program, ini merupakan acara terakhir untuk hari pertama. Namun, jangkaan saya meleset. Ceramah berakhir sekitar jam 23.30.

Pengacara mengumumkan bahawa selepas ini akan berlangsung acara padang! Subhanallah! Kami hanya diarahkan hanya membawa lampu suluh dan sebatang pen. Selepas penyampaian motivasi yang penuh semangat, kami diarah keluar berbaris di padang. Kemudian kami diberikan sebuah sampul surat dan sehelai kertas bercetak. Komander mengarahkan supaya jangan dibaca dulu apa yang tertulis di kertas itu. Beliau mengarahkan agar menulis nama ibu dan bapa sendiri di luar sampul dengan jelas beserta alamat yang lengkap. Saya tanya, kalau ibu bapa dah mati? Soalan itu disambut ketawa para peserta. Saya terlupa mereka membahasakan panggilan ibu dan bapa kepada kita. Jadi maksud ibu bapa itu adalah diri kita sendiri lah (ketawa). Selepas itu peserta diminta menulis beberapa perkara di atas kertas yang disediakan dan menjawab soalan-soalan. Kertas dilipat, dimasukkan ke dalam sampul, digam, kemudian serahkan kepada komander.

Acara padang pertama ialah berjalan di atas api. Sungguh tidak disangka bahawa ia benar-benar dilakukan. Semua peserta disuruh berjalan di atas api yang sedang menyala sejauh lebih kurang 6 kaki. Alhamdulillah dengan izin Allah tidak ada seorang pesertapun yang melecur kakinya. Semuanya selamat dan dapat meneruskan acara seterusnya dengan semangat.

Selepas semua peserta melalui ujian keberanian berjalan di atas api, acara dilanjutkan dengan berjalan keliling tapak perkhemahan secara berkumpulan seramai 10 orang satu kumpulan. Peserta diwajibkan berhenti pada enam stesyen yang telah ditetapkan. Pada setiap perhentian peserta akan ditanya dengan soalan-soalan mengenai wawasan diri, bagaimana menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang dan sebagainya. Setengah soalan dijawab secara perseorangan, ada soalan yang dijawab secara berkumpulan. Setelah semua enam perhentian dilalui, fajarpun menjelma menandakan masuk waktu subuh. Acara berhenti seketika untuk solat subuh, namun peserta diarahkan agar tidak menukar pakaian walaupun sebagiannya sudah basah lenjun.

Selepas solat subuh, masuk ke dewan untuk dengar kuliah subuh. Selepas kuliah, ke padang lagi melakukan senaman ala senamrobik. Selepas senaman duduk dalam kumpulan untuk tasmi' al-Quran (peserta telah diminta menghafal ayat 10 hingga akhir surah as-Sof sebelum datang ke perkhemahan). Selepas itu bersarapan. Selesai sarapan, sambung acara padang.

Ada enam acara lagi yang mesti dilalui. Setiap satu mempunyai objektif yang telah ditetapkan, iaitu membangun sifat-sifat yang mesti ada pada pemimpin yang ingin menggapai kejayaan: patuh, yakin, fokus, berani konsisten, berkorban dan komitmen. Acara pagi ini terdiri dari berjalan dengan menutup mata sambil mengikuti arahan ketua, terjun di dalam kolam disambut oleh ahli kumpulan, memanah, memasukkan air ke dalam cawan yang ada bola sehingga bola timbul di permukaan kemudian tiup bola tersebut supaya masuk ke dalam cawan kosong di sebelahnya, mengisi air ke dalam balang yang berlubang, mengangkat cawan yang berisi air dengan tali dan membuat bangunan manusia.

Selesai semua acara padang, berhenti seketika untuk solat dan makan tengahari. Peserta dibenarkan untuk menukar pakaian dan bersiap-siap bawa semua barang-barang ke luar dewan. Penginapan mesti dikosongkan. Kami pulang ke penginapan untuk tukar pakaian, tapi tak dapat mandi kerana air terlalu sedikit. Ada yang terpaksa basuh kencing dengan air botol, hu hu.

Selepas solat dan makan, masuk ke dewan untuk menerima arahan seterusnya. Acara seterusnya adalah apa yang disebut sebagai latihan di lapangan selama 22 jam. Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan terdiri dari 9 atau 10 orang barjalan memasuki pekan dan perkampungan di luar dari tapak perkhemahan. Tiada seorangpun dibenarkan membawa wang walaupun satu sen. Yang boleh dibawa hanya produk untuk dijual. Peserta mesti mencari ikhtiar sendiri, apa yang hendak dimakan dan di mana hendak bermalam pada malam itu. Ketua kumpulan mesti melaporkan kepada urusetia di mana lokasi dan apa yang terjadi kepada ahli kumpulannya pada pukul 17, 20, 24 dan 05 pagi esok. Semua peserta mesti pulang ke kem pukul 10 pagi esok dan melaporkan apa yang dialami. Jalan yang terpaksa dilalui adalah berbukit-bukit (agak tinggi jugala). Bolehlah dikatakan berjalan kaki naik bukit turun bukit mencari prospek untuk menjual produk yang dibawa. Nak naik kenderaan, tidak ada wang untuk bayar tambang. Sungguh menginsafkan. Bagaimana keadaan orang yang tidak ada duit dan tidak ada sebarang produk untuk dijual. Nak makan apa agaknya? Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan, lucupun ada, sedihpun ada. Kami temui seorang wanita menjinjit sesikat pisang, mungkin baru pulang dari pasar atau pulang dari tempat kerja. Tetiba ahli kumpulan kami ternampak sebiji pisang terjatuh. Lalu beliau meminta izin dari wanita itu untuk mengambil pisang yang jatuh itu. Beliau mengizinkan dan kami bahagikan sebiji pisang kepada empat orang ahli kumpulan (yang lain telah jauh ke depan).

Perjalanan diteruskan. Produk belum terjual. Menjelang maghrib hujan turun agak lebat. Seorang daripada ahli kumpulan, kakinya terseliuh dan agak sukar untuk terukan misi. Kami singgah di pekarangan sebuah hotel. Hendak menyewa tidak ada duit. Kebetulan pula memang tidak ada bilik yang kosong. Kami ke suraunya, harap-harap boleh tumpang bermalam. Malangnya surau itu tidak ada bilik atau tabir. Kemudahan tandaspun tidak ada. Hanya tempat berwuduk sahaja. Dan tertulis pula notis tidak dibenarkan tidur di dalam surau (musholla). Kembali semula ke pekarangan. Di pinggir hotel terdapat sebuah warung kopi yang juga menjual barang-barang runcit. Terserempak  di situ dengan beberapa orang anggota kumpulan (kelompok) lain. Mereka telah berjaya menjual produk dengan jumlah yang agak lumayan. Pemilik warung memberitahu kakaknya mempunyai rumah tumpangan yang agak besar dengan sewa yang berpatutan. Alhamdulillah, kami sepakat bersetuju menyewa rumah tumpangan yang mempunyai dua bilik tidur dan ruang tamu yang agak besar dan selesa untuk kami seramai 11 orang, gabungan kelompok (kumpulan) 5 dan 10.

Esok paginya selepas solat subuh, saya diminta memberikan kultum (kuliah 7 minit). Antara poin yang saya sentuh ialah, saya kagum dengan semangat, cita-cita serta wawasan para mentor dan leaders. Mereka begitu ikhlas, gigih dan penuh semangat memperjuangkan apa yang menjadi fardhu kifayah ke atas umat Islam dan mempunyai wawasan untuk menjadi seorang muzakki (pengeluar zakat) yang paling banyak jumlahnya. Kalimah itu (menjadi muzakki terbesar) membuatkan saya tersentak dan membuka minda saya. Saya dapat melihat bidang perniagaan dari perspektif yang berbeza daripada apa yang saya fikir sebelum ini.

Kemudian, aktiviti diteruskan. Kami mesti pulang ke kem tepat jam 10.00 pagi.  Jika terawal atau terlewat akan didenda. Yang membuat saya teruja adalah cara mereka menyambut kepulangan kami, para mentor dan leaders berbaris dengan memakai pakaian seragam yang kemas. Nampak profesional dan terasa kami dihargai.

Sesi terakhir adalah pengumuman peserta terbaik, kumpulan terbaik dan tercorot. Sebelum berlepas ke lapangan, penganjur telah memaklumkan bahawa pemenang akan mendapat hadiah dan kelompok yang paling rendah markahnya akan dihukum. Hukumannya adalah tidak berhak untuk pulang dengan menaiki kenderaan yang disediakan oleh penganjur. Sebaliknya mereka mesti mencari kenderaan sendiri untuk pulang ke HQ di Jakarta yang jaraknya lebih daripada 100 km.

Setelah pengumuman dibuat, penganjur bertanya kepada para peserta, setuju atau tidak kumpulan yang paling corot itu tidak dibenarkan menaiki kenderaan yang disediakan untuk pulang ke Jakarta? Peserta menjawab tidak setuju, sebaliknya berilah mereka peluang untuk pulang bersama yang lain. Penganjur menjawab, tidak boleh kerana itu melanggar peraturan yang telah ditetapkan.  Mereka meminta cadangan lain daripada peserta. Semua peserta sepakat untuk memberi sumbangan bagi meringankan beban mereka. Pada masa itu juga tabung dibuka. Masing-masing memasukkan wang sumbangan.

Sumbangan terkumpul melebihi 1 juta rupiah. Pengacara menjemput ketua kumpulan untuk menerima sumbangan. Ketua kumpulan menerima sumbangan dan menyampaikan ucapan ringkas. Di dalam ucapannya, beliau berterima kasih kepada semua rakan-rakan peserta. Namun beliau telah berbincang dengan semua ahli kumpulan, sumbangan ini akan diberikan kepada pihak yang lebih memerlukan, iaitu saudara-saudara kita di Palestin. Ucapan itu disambut tepukan serta takbir yang bergemuruh dari peserta. Pengacara lantas mengambil peluang membuka tabung untuk Palestin sebagai tambahan kepada sumbangan kumpulan yang kecundang tadi. Dan peserta bangkit berasak-asak memasukkan sumbangan di dalam tabung (kotak kertas) yang disediakan. Sumbangan terkumpul menghampiri 10 juta rupian dan sebentuk cincin emas. Kemudian cincin itu dilelong dan terjual dengan bidaan tertinggi sebanyak 1 juta 5000 rupiah.

Itulah sekelumit pengalaman yang mampu saya catat, namun yang tersirat pastinya berlipat ganda yang akan dikenang insyaaAllah sepanjang hayat. Antara perkara yang saya belajar daripada program tiga hari dua malam yang padat itu ialah:
1.     Membangunkan ekonomi umat merupakan fardhu kifayah yang masih kurang diberi tumpuan oleh umat Islam termasuk pertubuhan-pertubuhan Islam.
2.     Mengusahakan barangan kegunaan yang halalan tayyiban adalah satu usaha murni yang mesti disokong
3.     Muslimin mesti berpadu tenaga dalam usaha menembusi dan seterusnya menguasai pasaran di dalam kalangan umat Islam sendiri khususnya dan manusia umumnya. Sampai bila kita harus bergantung kepada produk yang dikeluarkan oleh pihak lain, terutamanya produk kegunaan harian kita seperti sabun, ubat gigi dan lain-lain
4.     Muslim sepatutnya bercita-cita untuk jadi kaya supaya dapat membanyakkan sumbangan untuk jidah fi sabilillah. Bukankah Allah sentiasa menyeru orang-orang yang beriman agar berjihad dengan harta dan jiwa? Kalau tidak ada harta, mana mungkin kita dapat menyahut seruan itu? Menurut sepotong hadis sahih riwayat Muslim, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan yang di atas membawa maksud tangan yang memberi. Orang yang memberi tentulah yang ada sesuatu untuk diberi.
5.     Tidak ada batas usia untuk memulakan sesuatu. Nabi s.a.w. pernah berpesan, sekiranya qiamat telah terlalu hampir, sedangkan ketika itu tangan kamu memegang benih pokok, andainya kamu sempat tanam sebelum qiamat tiba di tempat kamu, tanamlah. Dan bagimu pahala. (riwayat Ahmad) Perhatikan! Rasulullah s.a.w. sebut sekiranya qiamat telah terlalu hampir. Baginda tidak kata sekiranya kamu hampir mati. Bezanya kalau kita mati ada anak cucu atau orang lain akan nikmati hasil tanaman kita. Kalau qiamat, siapa lagi yang hidup untuk nikmati hasilnya? Lagipun qiamat telah terlalu hampir. Pastinya pokok yang ditanam itu tidak sempat mengeluarkan apa-apa hasil. Namun Nabi s.a.w. hanya mahu kita terus berusaha dan tidak cepat mengalah dan berserah kepada keadaan.
6.     Tujuh ciri yang mesti dimiliki untuk Berjaya di dalam bisnes: PATUH, YAKIN, FOKUS, BERANI, KONSISTEN, BERKORBAN, KOMITMEN.

Ok. Perkongsian yang panjang berjela. Ada sesiapa berminat untuk join? Sila PM saya ye.
Apapun terima kasih kerana sudi membaca coretan ini. Maafkan saya sekiranya anda rasa masa anda telah terbuang dengan sia-sia kerananya……



No comments:

Post a Comment