Tuesday, January 16, 2018

Tazkirah : Berat vs Ringan



“Sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia:
"Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) -
"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan".
Tidak!
Masakan dapat?
Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka, dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan.

Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka Jahannam -

Api neraka itu membakar muka mereka, dan tinggalah mereka di situ dengan muka yang hodoh cacat.”


PERHATIKAN AYAT INI : “Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

Untuk berjaya, amal kebaikan mesti lebih berat daripada kejahatan.

Apakah amalan yang memberatkan timbangan amal baik kita? Di ataranya:

1.        Tahlil (la ilaha illa Allah)

Daripada Abdullah bin Amru bin al-Aas r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah akan memilih salah seorang daripada umatku di hadapan khalayak ramai pada hari qiamat nanti, lalu dibentangkan 99 lembaran catatan amalnya. Setiap satu lembar sejauh mata memandang. Kemudian Allah berfirman: “Adakah engkau menafikan apa yang tercatat ini? Adakah malaikat pencatat telah menzalimimu?”
Hamba itu menjawab: “Tidak ya Tuhanku!”
Allah berfirman: “Adakah engkau mempunyai alasan (untuk membebaskan dirimu daripada balasan jahat)?”
Hamba itu menjawab: “Tidak ada ya Tuhanku!”
Allah berfirman: “Sesungguhnya di sisi Kami terdapat satu kebaikanmu. Sesungguhnya pada hari ini tidak ada kezaliman ke atasmu!”
Lalu dikeluarkan sekeping kad yang tertulis di atasnya dua kalimah syahadah.
Allah pun berfirman: “Bawakan timbangan untuk ditimbang amalanmu!”
Hamba itu berkata: “Apakah erti sekeping kad ini berbanding dengan lembaran yang banyak itu?”
Allah menjawab: “Sesungguhnya engkau tidak dizalimi!”
Lalu diletakkan semua lembaran catatan di sebelah neraca dan kad kalimah syahadah di sebelah lagi. Maka terangkatlah neraca sebelah lembaran dan neraca sebelah kad jatuh memberat. Sesungguhnya tiada suatupun yang lebih berat daripada Nama Allah.”
Riwayat Ahmad (6699) dan At-Tirmizi (2639)

2.        Tasbih dan tahmid

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Dua kalimah, ringan di lidah, berat di dalam mizan (timbangan), disukai oleh ar-Rahman: “subhanallahil-‘adzim, subhanallahi wabihamdih”. Riwayat al-Bukhari (6406) dan Muslim (2694)

3.        Sentiasa mengamalkan zikir selepas solat fardhu

Daripada Abdullah bin Amru r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Dua perkara, tidak ada seorang hamba yang muslim sentiasa memeliharanya melainkan dia akan masuk syurga. Dua perkara itu mudah tetapi orang yang beramal dengan keduanya sedikit (tidak ramai). Iaitu:
i.                               Bertasbih (menyebut subhanallah) setiap kali lepas solat fardhu10 kali, bertahmid (menyebut Alhamdulillah) 10 kali dan bertakbir (menyebut Allahu Akbar) 10 kali. Maka ia dikira 150 di lisan dan 1500 di dalam mizan (timbangan)
ii.                             Bertakbir (menyebut Allahu Akbar) 34 kali ketika mendatangi tempat perbaringan (sebelum tidur di waktu malam), bertahmid (menyebut Alhamdulillah) 33 kali dan bertasbih (menyebut subhanallah) 33 kali, maka semua itu dikira 100 kali di lidah dan 1000 kali di dalam mizan (timbangan)”
Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Bagaimana dua perkara yang mudah tetapi orang yang beramal dengannya sedikit?”
Baginda menjawab: “Apabila selesai solat, syaitan datang kepada salah seorang kamu menyebut atau mengingatkan tentang hajatnya atau urusannya, lantas dia bangun tanpa berzikir. Dan di waktu hendak tidur, syaitan datang kepadanya, lalu menidurkannya sebelum dia berzikir.”
Riwayat Ahmad (6616), Abu Daud (5065), at-Tirmizi (3410), an-Nasae (1331), Ibn Majah (926)

4.        Akhlak mulia

Daripada Abu Dardaa’ r.a. Nabi s.a.w bersabda maksudnya: “Tidak ada sesuatupun yang lebih berat timbangannya di dalam mizan daripada akhlak yang baik (yang mulia).” Riwayat Abu Daud (4799)


5.        Sabar ketika kematian anak

Daripada Zaid, daripada Abi Sallam, daripada Maula Rasulullah s.a.w. bahawa baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Bakh, bakh! lima perkara, alangkah beratnya mereka ini di dalam mizan:
La ilaha illah Allah, Allahu Akbar, Subhallah dan Alhamdulillah, dan seorang anak yang soleh yang diwafatkan lalu ibu bapanya bersabar dengan mengharap ganjaran daripada Allah. Bakh,bakh! Sesungguhnya lima perkara itu, sesiapa yang bertemu Allah dengan yakin kepadanya, dia akan masuk syurga di samping dia beriman kepada Allah dan hari akhirat, dengan syurga dan neraka, dengan kebangkitan selepas mati dan dengan hisab.” Riwayat Ahmad (15107)

6.        Mengiringi jenazah

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang hadir (menzirahi) jenazah sehingga selesai solat ke atasnya, baginya satu qirat. Dan sesiapa yang hadir sehingga selesai pengkebumiannya, maka baginya dua qirat.” Baginda ditanya: “Apakah maksud dua qirat?” Baginda menjawab: “Seperti dua bukit yang besar!” Riwayat al-Bukhari (1325) dan Muslim (945)

Adakah anda mahu termasuk di dalam golongan orang yang berjaya?


Amalkanlah enam perkara di atas.

No comments:

Post a Comment