Monday, January 29, 2018

Thawabit Ikhwan Muslimin


Thawabit adalah sesuatu yang tetap, tidak berubah walaupun telah berlaku perubahan pada tempat, masa dan suasana. Sesebuah jamaah atau organisasi yang mahu kekal lama mesti mempunyai perkara-perkara yang berupa thawabit dan perkara-perkara mutaghayyirat, iaitu yang boleh berubah dan disesuaikan mengikut peredaran masa dan kesesuaian tempat serta keadaan.
Jika jamaah itu hanya mempunyai thawabit sahaja, ia akan mati dan lebur dimamah waktu. Sebaliknya jika semuanya mutaghayyirat, tidak akan wujudlah identity yang boleh dikenali. Sekejap begitu dan sekejap begini.

Terdapat beberapa thawabit IM yang terpelihara sejak mula ia ditubuhkan.

A.         Dari sudut fikrah dan tasawwur:
1.         Kita bukan jamaah muslimin. Sebaliknya kita adalah satu jamaah daripada jamaah muslimin. Oleh itu, muslim yang tidak bersama dengan kita tidak terkeluar daripada Islam.
2.         Kita satu jamaah yang anggotanya adalah manusia, bukan malaikat. Justeru jamaah kita tidak maksum. Kadang-kadang pendirian kita tepat dan kadang-kadang silap.
3.         Kita berpegang teguh dengan perkara-perkara yang thabit di dalam Islam seperti rukun iman rukun Islam dan lain-lain.
4.         Usul 20 adalah asas yang menyatukan fikrah kita.
5.         Penggabungan diri di dalam jamaah apabila telah wujud dorongan yang mencetuskan keinginan yang benar untuk menyertainya. Maksudnya seseorang itu memilih untuk menganggotai jamaah setelah dia:
i.                               benar-benar ingin mencapai keredhaan Allah,
ii.                             yakin bahawa keredhaan Allah tidak boleh dicapai melainkan dengan berdakwah,
iii.                           rasa bertanggungjawab untuk melaksanakan tanggungjawab berdakwah,
iv.                          yakin bahawa berdakwah adalah masuliah fardiah ke atas dirinya,
v.                            yakin bahawa dakwah tidak berkesan melainkan dengan perubahan menyeluruh yang bermula dari dalam diri individu,
vi.                          dapat menerima dengan hati yang tenang pendekatan yang dianjurkan oleh IM
vii.                        memahami dan meyakini Qanun Waraqah bin Naufal. (yang dimaksudkan dengan Qanun Waraqah bin Naufal (QWN) ialah apabila Waraqah mendengar apa yang diceritkan oleh Nabi s.a.w. tentang wahyu pertama yang diterimanya di Gua Hira’; beliau berkata: “Inilah Namus (undang-undang atau syariah) yang diturunkan Allah kepada Musa. Aku bercita-cita kalaulah aku masih muda belia, aku bercita-cita kalaulah aku masih hidup ketika mana engkau diusir oleh kaummu!”  Nabi s.a.w. bertanya: “Adakah aku akan diusir oleh mereka?” Waraqah menjawab: “Ya. Tidak ada seorang pun yang membawa seperti apa yang engkau bawa melainkan dia akan ditentang dan dimusuhi! Seandainya usiaku panjang sehingga ke saat itu, pasti aku akan menolong dan mendukung perjuanganmu dengan sepenuh jiwa ragaku.” Itulah yang dikenali sebagai QWN “Tidak ada seorang pun yang membawa seperti apa yang engkau bawa melainkan dia akan ditentang dan dimusuhi!” Justeru, setiap orang yang memilih untuk menyertai gerabak dakwah IM, dia menyertai dengan penuh sedar akan QWN itu.


B.         Dari sudut tanzim
1.         Adanya tanzim.  Namun  bentuknya berbeza mengikuti kesesuaian masa dan tempat
2.         Adanya struktur. Namun bentuknya boleh berubah-ubah
3.         Ada saluran komunikasi yang jelas
4.         Ada undang-undang tubuh atau perlembagaan jamaah dikenali sebagai Laehah. Namun tidak semestinya sama bagi setiap Negara
5.         Ada majlis syura. Tetapi cara pemilihan anggota dan pelaksanaannya berbagai-bagai
6.         Nama IM tidak boleh dipinda. Mesti dikekalkan walaupun hanya di sebuah negeri sahaja
7.         System usrah sebagai asas tarbiah. Namun manhaj dan cara pelaksanaannya berbagai-bagai
8.         Arkanul-bai’ah sebagai teras keanggotaan
9.         System tauthiq dan tadh’eif yang standard
10.   Penglibatan di dalam tarbiah secara berterusan sebagai syarat peningkatan keahlian.

C.         Dari sudut harakah dan amal
1.         Berpegang kepada amal jama’ei
2.         Amal secara bertahap, langkah demi langkah, bukan melompat-melompat
3.         Amal mengikut maratib atau susunan, bukan tetap dan jumud di satu tahap.
4.         Sejajar dengan hukum syarak:
i.                               Berpegang kepada kaedah: matlamat tidak menghalalkan cara
ii.                             Mengambil kira kesesuaian dengan waqi’
iii.                           Mengambil kira kesesuain dengan siasah syar’iah serta maqasidnya

D.        Dari sudut manhaj taghyir
1.         Perubahan dari akar umbi (jazari la fauqi)
2.         Perubahan yang mendalam  (‘ameeq la suthi)
3.         Secara beransur-ansur (mutadarrij la fauri)
4.         Secara berterusan (mustamirr la waqti)
5.         Merangkumi seluruh alam (‘alami la qutri)

E.          Dari sudut hubungan dengan manusia yang bukan anggota IM

Pada pandangan IM, mereka sama ada;
i.                               Suka kepada kita (sympathizer), maka kita mengajak dan mengalu-alukan mereka menyertai kita dan beramal bersama-sama dengan kita
ii.                             Ragu-ragu dan teragak-agak dalam memberikan penilaian terhadap kita, maka kita berikan penjelasan, ajak mereka membaca penulisan-penulisan kita, mengikuti perkembangan kita sehingga mereka rasa tenang dan hilang keraguan yang mengacau fikiran mereka
iii.                           Mencari keuntungan duniawi, maka kita katakan kepada mereka bahawa kita tidak punya apa-apa dan tidak menjanjikan sebarang ganjaran dan keuntungan di dunia. Di sini bukan tempatnya untuk dia mencapai apa yang dihajatinya
iv.                          Sentiasa bersangka buruk dan berniat jahat terhadap kita, maka kita berdoa kepada Allah agar memberikan petunjuk dan hidayah kepadanya.

F.          Dalam hubungan dan cara berinteraksi dengan kumpulan atau institusi lain, IM mengambil pendekatan berdasarkan sikap kumpulan tersebut terhadap kita:
i.                               Bekerjasama dan saling bantu membantu
ii.                             Bermusyarakah atau berkongsi
iii.                           Bertahaluf  atau mengadakan pakatan dan perjanjian

iv.                          Bersaing atau tanafus

No comments:

Post a Comment