Saturday, March 17, 2018

MENGAJAK KAWAN-KAWAN KE MAJLIS ILMU II


Ekoran tulisan saya mengenai kelebihan menghadiri majlis ilmu dua hari lepas, ada yang bertanya: bagaimana kedudukan seseorang yang tidak hadir tetapi mengikutinya di internet; adakah dia dikira hadir dan mendapat pahala yang sama dengan orang yang hadir?

Saya teringat kepada sepotong hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan Ahmad daripada Abi Kabsyah r.a. bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya dunia ini hanyalah untuk empat orang (golongan):
1.         Seorang yang Allah kurniakannya rezeki harta dan ilmu, lalu dia bertaqwa kepada Tuhannya dalam menjaga dan mengurus rezekinya itu, dia menggunakan rezekinya untuk menghubungkan silatul Rahim dan dia mengetahui Allah mempunyai hak dalam rezekinya. Maka dia adalah hamba yang paling afdhal darjatnya.
2.         Seorang yang dikurniakan ilmu tetapi tidak dikurniakan harta. Namun dia mempunyai niat yang benar dengan berkata: “Sekiranya aku memiliki harta nescaya aku akan lakukan seperti apa yang yang dilakukan oleh si fulan”. Maka pahala keduanya sama.
3.         Seorang yang Allah kurniakan rezeki harta tetapi tidak dikurniakan ilmu. Maka dia mensia-siakan hartanya tanpa berlandaskan ilmu, tidak bertaqwa kepada Allah di dalam urusan hartanya, tidak menghubungkan silatul Rahim dengannya dan tidak mengetahui hak Allah pada hartanya itu. Dia adalah hamba yang paling jijik kedudukannya.
4.         Seorang yang tidak dikurniakan rezeki harta dan juga ilmu. Dia berkata: “Sekiranya aku mempunyai harta nescaya aku akan lakukan apa yang dilakukan oleh si fulan itu. Maka dengan niatnya itu dosa kedua-duanya sama.”

Hadis di atas menunjukkan betapa pentingnya niat yang tertanam di dalam hati.
Maka berbalik kepada soalan tadi, orang yang tidak hadir ke majlis ilmu kerana halangan tertentu sedangkan dia berniat untuk hadir sekiranya tiada apa-apa halangan, maka dia mendapat pahala hadir. Sekiranya dia tidak berniat untuk hadir kerana baginya cukup hanya mendengar melalui internet, maka dia mendapat pahala mendengar dan dapat manfaat daripada ilmu yang didengarnya. Tetapi tidak mendapat pahala hadir.

Namun begitu, ada perbezaan antara orang yang berniat untuk hadir tetapi tidak dapat hadir dengan orang yang benar-benar hadir. Kedua-duanya sama-sama mendapat pahala, tetapi orang yang benar-benar hadir pahalanya 10 kali ganda berbanding dengan orang yang tidak hadir. Dengan niat untuk hadir dia mendapat satu pahala penuh. Jika dia hadir, barulah pahalanya digandakan. Hal ini dijelaskan di dalam firman Allah yang bermaksud:
“Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).” (Al-An'aam 6:160

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Abbas r.a. bermaksud: “Sesiapa yang berniat untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, Allah tuliskan (ganjaran) di sisiNya satu kebaikan yang sempurna. Dan sekiranya dia berniat lalu dia melakukannya, Allah tuliskan (ganjarannya) di sisiNya 10 kebaikan sehingga 700 kali ganda dan berganda-ganda lagi … “

No comments:

Post a Comment