Kisah Nabi Musa dengan Khidhir ‘alaihimas-salam bermula daripada ayat:
“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya:
"Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan
dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun".” (Al-Kahfi 18:60)
Ayat ini menceritakan betapa kentalnya keazaman Nabi Musa a.s. untuk
menuntut ilmu daripada seseorang yang dianugerahkan ilmu yang tidak diberikan
kepada beliau walaupun beliau sendiri seorang Rasul Kaleem Allah.
Apabila telah bertemu dengan insan yang dicari di tempat yang
ditentukan, baginda berkata kepada Khidhir, orang alim yang dicarinya itu:
“Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang
telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?" (Al-Kahfi 18:66)
Untuk memenuhi permohonan Nabi Musa yang berhasrat berguru dengannya,
Khidhir tidak membawa muridnya masuk kelas di masjid, di dewan atau di
bilik-bilik kuliah yang serba lengkap. Sebaliknya Khidhir membawa Nabi Musa
berjalan menjelajah muka bumi:
“Lalu berjalanlah keduanya ….” (Al-Kahfi 18:71)
Ini menunjukkan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran tidak
semestinya berlangsung di tempat yang rasmi sama ada di masjid, di dalam dewan
dan sebagainya. Penjelajahan dan pengembaraan juga merupakan kaedah menuntut
ilmu. Mungkin boleh dikatakan sebagai kaedah terbaik kerana ia dilakukan oleh insan
yang mendapat ilmu ladunni daripada Allah s.w.t. dan dikisahkan pula di dalam
kitab suci yang merupakan kitab hidayah buat sekelian manusia.
Ke manakah Khidhir membawa muridnya dan apakah yang diajarkannya?
“Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah
perahu, ia menebuknya. Nabi Musa berkata: "Patutkah engkau menebuknya
sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya
engkau telah melakukan satu perkara yang besar".” (Al-Kahfi 18:71)
Pelajaran pertama adalah pelayaran di dalam laut dengan menumpang sebuah
perahu. Khidhir tiba-tiba menebuk perahu yang ditumpangi. Menurut ar-Razi, pada
pendapatnya mungkin yang ditebuk adalah dindingnya supaya terserlah kecacatannya
dan tidak menjadikan perahu itu karam kerana dimasuki air. Tujuan beliau
berbuat demikian dijelaskan pada ayat:
“Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang
bekerja di laut; oleh itu, aku menebuknya dengan tujuan hendak mencacatkannya,
kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah
perahu yang tidak cacat.” (Al-Kahfi
18:79)
Pelajaran yang hendak disampaikan adalah kewajipan melindungi
kepentingan orang miskin daripada kerakusan penguasa yang zalim. Orang alim,
tempatnya bukan hanya di masjid menyampaikan kuliah dan tazkirah semata-mata. Orang
alim berkewajipan menjelajah di mana jua, lautan dan daratan menyelusuri denyut
nadi masyarakat dan membantu mereka melawan kezaliman dan ketidak-adilan.
Pelajaran kedua:
“Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan
seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata "Patutkah engkau
membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya
engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!" (Al-Kahfi 18:74)
Namun Khidhir ada alasannya. Sebab pemuda itu dibunuh, dijelaskan:
“Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman,
maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim
dan kufur.”
Pengajarannya, orang alim mesti peka kepada perkara-perkara yang boleh
mengancam dan merosakkan aqidah masyarakat dan bertindak membanterasnya hingga
ke akar umbi. Ia tidak boleh dibiarkan atau dilengah-lengahkan. Aqidah masyarakat
mesti dipelihara dan diselamatkan dengan tegas dan tuntas.
Pelajaran ketiga:
“Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada
penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu
orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah
tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: "Jika
engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!" (Al-Kahfi 18:77)
Usaha membina tembok yang hendak runtuh itu dilakukan kerana sebab yang
dinyatakan di dalam ayat berikut:
“Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di
bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepunyaan mereka;
dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya
mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu,
sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak
melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud
dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".”
(Al-Kahfi 18:82)
Pengajarannya ialah orang alim mesti memikirkan kepentingan generasi
akan datang. Membuat perancangan yang kemas dan jitu demi menjamin masa yang baik
dan sejahtera buat mereka. Anak-anak adalah masa depan umat dan negara. Andainya
keperluan mereka terabai, tidak dapat tidak akan memberikan kesan yang serious
ke atas kesejahteraan umat seluruhnya.
Kesimpulannya:
·
Tidak ada tempat yang khusus untuk menuntut ilmu. Ia boleh dilakukan di
mana-mana dan pada bila-bila masa.
·
Tugas orang yang berilmu bukan sekadar mengajar dengan mengupas isi
kandungan kitab demi kitab di dalam masjid dan di bilik-bilik kuliah. Di samping
mengajar, orang yang berilmu mesti bergaul dengan masayrakat, mengambil tahu
permasalahan mereka dan mencari jalan untuk mengatasinya.
·
Antara isu penting yang perlu diberi perhatian adalah kezaliman pihak
berkuasa, ancaman terhadap aqidah dan mengambil berat tentang keperluan dan kepentingan
kanak-kanak. Mereka adalah pewaris yang bakal menggantikan kita. Dan di tangan
merekalah terletaknya masa depan umat dan alam seluruhnya.
Allahu A’lam
Shah Alam, Jumaat 9 Mac 2018 bersamaan 21 Jamadil-Akhir 1439
Alhamdulillah..kupasan pengajaran dari sudut pandang yg berbeza, yg berkait rapat dgn isu semasa. Benar2 membuka mata dan menyegarkan minda..
ReplyDeleteJazaakillahu khair, ustazah