Tuesday, April 10, 2018

MALAIKAT TURUN MENGUNDI


Ekoran tular satu video seorang ustaz yang menggambarkan kemungkinan malaikat akan turun beratur membawa ic dan mengundi calon parti Islam bagi pihak mereka yang tidak dapat balik mengundi pada 9 Mei nanti, ramai yang bertanya dan meminta pandangan pelbagai pihak.

Pandangan saya yang jahil ini adalah seperti berikut:

1. Saya yakin dan bersetuju bahawa tidak ada siapapun yang boleh mempertikaikan kehandak dan kuasa Allah Ta’ala. Kalau itu yang Dia kehendaki Dia akan lakukan tanpa sesiapapun dapat menghalangnya.

2. Pada masa yang sama saya juga yakin bahawa Allah bersifat dengan maha adil dan maha bijaksana. Setiap apa yang dilakukan pasti ada hikmah serta tujuannya.

3. Benar Allah turunkan malaikat membantu pejuang Islam dalam peperangan Badar. Peperangan Badar adalah peperangan tentera Islam menentang pasukan musuh yang jelas kafir dan menghalang dakwah sejak kebangkitan Nabi s.a.w. di Mekah lagi. PRU tidak sama dengan perang Badar. Pejuang Islam tidak melawan tentera kuffar. Dalam PRU, yang bertanding adalah semua parti-parti yang dianggotai oleh orang Islam. Muslim yang bertanding atas tiket pelbagai parti semuanya memilih berdasarkan ijtihad politik yang pada pandangan mereka itulah wadah yang paling sesuai untuk membawa kebaikan kepada masyarakat dan Negara pada masa ini. Justeru, kita tidak boleh kata dengan yakin bahawa kebenaran mutlak hanya berada pada satu parti tertentu dan kesalahan mutlak berada di sebelah lawannya. BN, walaupun tidak meletakkan nama Islam pada partinya tidak bermakna ia tidak membawa kebaikan langsung kepada Islam. Tidak boleh dinafikan terdapat juga usaha-usaha tertentu yang dilakukan oleh kerajaan BN yang membawa kebaikan kepada Islam. PH, walaupun parti-parti yang bergabung di dalamnya tidak menjenamakan parti mereka dengan jenama Islam, tidak semestinya mereka membawa agenda yang merugikan Islam, apalagi untuk menghancurkan Islam. Lihatlah kepada manifesto yang dikemukakan, adakah terdapat satu ayat atau satu perenggan yang menunjukkan hasrat mereka untuk mengetepikan Islam atau yang bercanggah dengan ajaran Islam? Jadi, kalau Allah hendak turunkan malaikat sekalipun belum tentu malaikat itu akan undi PAS.

4. Kemenangan Islam jarang berlaku secara magic. Ia berlaku mengikut peraturan, mengikut sunnatullah, undang-undang sebab dan musabbab. Dalam peperangan Uhud, tentera musyrikin yang dipimpin oleh Khalid bin al-Walid berpatah balik menyerang tentera Islam dari bukit yang ditinggalakan oleh pasukan pemanah. Mereka telah melanggar arahan Rasulullah s.a.w. agar tidak meninggalkan tempat itu sebelum baginda mengarahkan mereka turun. Akibatnya tentera Islam mengalami kekalahan selepas kemenangan. Rasulullah s.a.w. mendapat cedera parah di bahagian muka, bapa saudara baginda, Asadullah Hamzah bin Abdul Mutalib r.a. terkorban. Kenapa Allah tidak menurunkan malaikat untuk menghalang tentera musyrikin dari menyerang? Kenapa Allah biarkan kekasihnya cedera parah sehingga tersebar berita baginda telah wafat menyebabkan sebahagian sahabat dihinggapi perasaan putus asa dan lemah semangat? Mereka tewas bukan kerana mereka berjuang di jalan yang salah. Sebaliknya mereka tewas kerana mengabaikan sebab kemenangan, iaitu taat dan ikut arahan panglima.

5. Oleh sebab itu, setiap parti yang bertanding mestilah mengusahakan sebab-sebab kemenangan sedaya mampu mereka. Allah yang menilai. Allah yang maha adil, maha mengetahui, maha bijaksana menentukan keputusan yang terbaik. Yang menang tidak semestinya betul dan yang tewas tidak semetinya salah. Kerana Dia sahaja yang maha mengetahui kepada siapakah amanah kepimpinan yang hendak diberikannya sebagai ujian pada hari-hari mendatang ini. Mungkin untuk lima tahun lagi atau kurang daripada itu.

No comments:

Post a Comment